Tuesday, 30 September 2014

KEADILAN TUHAN

***

Antara munajat Nabi Musa a.s kepada Allah SWT di Bukit Tursina ialah, "Ya Allah, tunjukkanlah keadilan-Mu kepadaku."

Allah SWT berfirman kepadanya, "Jika Aku menampakkan keadilan-ku kepadamu, engkau tidak akan dapat bersabar dan tergesa-gesa menyalahkan-Ku."

Nabi Musa a.s berkata, "Dengan taufik daripada-Mu, aku akan dapat bersabar menerima dan menyaksikan keadilan-Mu."

Allah SWT berfirman, "Pergilah engkau ke tempat yang ada mata air. Bersembunyilah di tempat tersebut dan saksikanlah apa yang akan terjadi."



Nabi Musa a.s pergi ke tempat yang ditunjukkan. Baginda naik ke atas bukit dan bersembunyi sambil memerhatikan sesuatu yang dijanjikan Allah SWT.

Tidak lama kemudian, datang seorang penunggang kuda. Dia turun dari kudanya, kemudian berwuduk dan meminum air dari mata air tersebut. Kemudiannya dia bersolat dan meletakkan satu karung berisi 1000 dinar di tepinya. Selepas itu, dia pergi dengan terburu-buru sehingga terlupa karungnya.

Tidak lama selepas itu, datang seorang anak kecil. Dia meminum air dan melihat karung yang ditinggalkan. Dia mengambilnya dan terus pergi dari tempat itu.

Selepas itu, datang pula seorang lelaki buta. Dia minum dan berwuuduk, lalu bersolat. Selepas menunaikan solat dan bersiap hendak pergi, tiba-tiba lelaki penunggang kuda tadi datang kembali.

Dia berkata kepada lelaki buta, "Kamu telah mengambil karungku yang berisi dinar di sini."

Lelaki buta terkejut dan berkata, "Bagaimana aku boleh mengambil karung tersebut sedangkan aku tidak boleh melihat."

Penunggang kuda tetap berkeras, "Kamu jangan bohong kerana tidak ada orang lain selain kamu di sini."

Lelaki buta menjawab, "Betul, hanya aku di sini. Tetapi kamu sendiri tahu bahawa aku tidak boleh melihat."

Penunggang kuda meninggikan suaranya, "Mengambil karung tidak semestinya dengan mata, tangan pun boleh melakukannya."

Oleh sebab terlalu marah, dia membunuh lelaki buta tersebut. Selepas itu, dia cuba mencari-cari karung pada badan lelaki buta, tetapi tidak menjumpainya. Dia pun berlalu dan meninggalkan mayat lelaki buta di situ.

Selepas melihat kejadian tersebut, Nabi Musa a.s berkata, "Ya Allah, memang benar kata-Mu, ia benar-benar menguji kesabaranku. Namun, aku yakin sesungguhnya Engkau Maha Adil."

Selepas itu, Jibril a.s datang dan berkata, "Allah SWT memerintahkan aku agar menyampaikan penjelasan-Nya kepadamu. dia mengatakan bahawa Dialah yang Maha Mengetahui perkara-perkara ghaib yang engkau tidak ketahui. Dia menyebutkan bahawa anak kecil yang mengambil karung berisi dinar telah mengambil kembali haknya semula.

Dahulu, ayahnya pernah bekerja dengan lelaki penunggang kuda tersebut, tetapi tidak pernah dibayar gaji. Jumlah gaji yang harus dibayar kepadanya sama dengan sejumlah dinar yang ada di dalam karung tersebut. Lelaki buta yang dibunuh tadi sebenarnya adalah pembunuh ayah kepada anak kecil tersebut sebelum dia buta."

***

Dipetik daripada buku
Keajaiban Firasat
63 Kisah Pengubat Jiwa
oleh Muhadir Haji Jol















No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Ad