OMBAK berdesir tenang, putih buihnya sampai ke sisir pantai.
Burung-burung camar riang berterbangan di atas sana, mungkin sibuk mencari
secicip rezeki buat anak-anak di sarangan. Awan pula berarak tenang, cantik
susunan Tuhan. Langi-langit biru yang terbentang indah mendamaikan hati aku
saat ini.
Aku menoleh ke kiri, terlihat pohonan nyiur melambai-lambai, buah-buah
kelapa comel bergolek-golek di sekelilingnya. Gerai-gerai yang ada di tepian
jalan mula dibuka, pak cik yang menjual aiskrim sibuk ke sana ke mari membunyikan
hon di tangan kiri. Kanak-kanak di sekitarnya sibuk pula menahan untuk membeli.
Dari jauh aku dapat melihat pak cik aiskrim itu meleret senyum. Mungkin
terusik dengan keletah anak-anak kecil yang berebut-rebut memesan ais bewarna
warni itu. Teringat kisah dulu-dulu, aku dan abang suka beli aiskrim yang
dijual di motor, macam pakcik itu.
Tiba sahaja hari minggu, setia kami menunggu pak cik aiskrim datang. Apabila
bunyi hon yang menjerit-jerit dari jauh kedengaran. Ketika itu sibuk kami
mencari emak, meminta selipat duit untuk memenuhi permintaan kami adik beradik.
Aku dan abang selalu bergaduh, mak hanya berikan seringgit. Tak cukup, aku
mahukan aiskrim berharga enam puluh sen manakala abang pula mahukan yang lima
puluh sen. Masih lagi kurang sepuluh sen.
Abang tetap tidak mahu mengalah. Akhirnya hanya aiskrim berharga lima puluh
sen juga yang aku dapat. Terlepas aiskrim impian. Setiap kali pun begitulah.
Ada suatu ketika, aku merajuk betul dengan abang, diam dari pagi sampai ke
petang. Diusiknya pun aku tak pedulikan. Sedaya upaya dia memujuk, semua
sia-sia. Sudah puas memujuk, abang pergi, bawa diri ke rumah Mak Cik Hasanah.
Abang main sorang-sorang. Ada kertas di tangan kanan, pensel pula di tangan
kiri, abang kidal. Kemudian abang ikut suami Mak Cik Hasanah, Pak Cik Lutfi ke
gerai jual goreng pisang. Sebelum itu abang minta izin dengan emak. Ceria
mukanya apabila emak benarkan dia pergi.
Aku mencebik geram, apa yang abang buat semuanya boleh. Emak kata aku ni
perempuan, jadi baik tolong saja mak di dapur. Sejak kecil aku diajarkan emak
untuk menjejak ke dapur, segala jenis perkara aku lakukan, daripada mencuci
periuk, mengelap lantai, susun atur barang sampaila ke isi dalam periuk.
Natijahnya sekarang, macam-macam aku pandai masak, betul didikan emak, baru
aku faham. Didikan itu bermula dari rumah, didikan itu bukan ambil masa seminit
dua, bukan juga sebulan dua. Anak-anak perlu diajar sejak ia mula mengenal
dunia lagi, barulah akan menjadi sebati. Asuhan itu insyaAllah kekal sampai ke
mati kalau betul matlamat dan cita-cita yang diingini.
Selepas abang diizin oleh emak. Abang datang dekat dengan aku. Abang
senyum. Kata abang, dia nak bagi sesuatu. Kertas di tangan kanannya dihulurkan
cermat. Tapi tiada sambutan yang aku hulur, rajuk aku masih bersisa. Tidak tahu
kenapa hari rajukku lama dengan dia. Abang diam.
Dia letak kertas putih itu di atas meja sebelah aku. Lipatannya dua,
sederhana sahaja saiznya. Setelah itu abang pergi dengan Pak Cik Lutfi. Seiring
dengan kepergian bunyi motor pak cik, emak panggil untuk aku menolongnya
melipat baju.
Hari itu hari pertama emak ajar aku lipat baju. Kemas lipatan emak, cantik
emak susun di rak pakaian. Patutlah abah sayang dengan emak, pandai masak, rajin.
Bila abah balik mesti mak dah siap sedia dengan pakaian cantiknya di muka
pintu. Muka emak berseri-seri sambut kepulangan abah.
Emak salam tangan abah, kemudian pimpinnya duduk di kerusi. Abah memang
manja dengan emak. Di sisi kanan mesti mak dan siap sediakan air untuk abah,
kegemaran abah air suam saja. Jaga kesihatan katanya.
Patutla abah sayang emak. Aku nak jadi macam tu, mak bidadari abah dan
bidadari kami adik beradik.
Mak tak pernah tengking kami, bila kami buat salah
kami tak pernah didenda bahkan kami dididik dengan hemat. Kami diberi
penjelasan kenapa perbuatan kami itu salah dengan itu baru aku boleh kenal apa
salah dah aku buat, dan yang mana yang sebetulnya.
Abah dan mak memang ada seni dalam mendidik, seni yang ditiru daripada
ajaran Rasul yang mulia. Tidak menghukum apabila salah, namun jalan
penyelesaian yang disua mereka agar yang salah masih boleh diperbetulkan dan
bukan dibuang sahaja ke tepi tidak dipeduli.
Dihukum hanya kerana tidak
memahami erti tanpa memberi penjelasan yang pasti buruk padahnya, takut ada
yang makan hati. Oleh itu, perlu pandai menjaga hati.
Abah romantik orangnya. Pernah aku ternampak abah menulis sesuatu pada
emak. Surat yang abah tulis itu abah letak di laci dapur. Laci yang emak selalu
buka hari-hari, kadang-kadang abah letak di atas peti, kadang-kadang pula di
bawah gelas atas meja tepi kerusi.
Pernah aku curi-curi baca. Rasa nak tahu apa yang emak akan baca. Bila aku
buka surat itu, abah puji emak. Abah kata emak cantik, abah berterima kasih
sebab abah ada emak kat sisi dia. Ada satu masa tu abah selitkan satu resepi di
sisi almari dapur.
Bila emak terjumpa emak senyum, emak tahu itulah tandanya abah minta emak
buatkan resepi itu. Emak pun romantis juga, bila siap sediakan pakaian untuk
abah pergi kerja, emak akan masukkan nota-nota cinta buat abah, kadang di poket
baju kadang pula di kocek seluar. Comel telatah mereka, bahagia.
Hari itu selepas melipat baju, aku ke halaman rumah. Terasa sunyi bila
abang tak ada. Baru rasa abang tu penting. Masa aku dan emak lipat baju tadi,
sempat emak bercerita, kisah satu keluarga. Kesimpulan daripada cerita itu emak
kata ikatan antara adik beradik takkan putus, ibarat air, dicincang tetap tidak
akan putus jua.
Jadi, bila salah seorang buat salah, salah seorang perlu memaafkan agar
pergaduhan tak berlanjutan. Maafkanlah agar kita senang untuk dimaafkan orang
lain. Maafkanlah agar hubungan tak lari, tetap kekal berseri. Daripada
pengajaran cerita itu aku tahu, aku tak boleh merajuk lama-lama dengan abang. Kejap
lagi bila abang balik aku nak minta maaf dengan abang.
Sambil melihat ikan-ikan di kolam kecil hadapan aku. Aku ternampak
semut-semut kecil berderet-deret beratur menuruni batu-batu kecil di sekeliling
kolam. Aku tengok dekat-dekat, ada sesuatu yang mereka bawa. Rajinnya
semut-semut ni aku berbisik-bisik dalam hati, teringat dengan ustazah di
sekolah, ustazah pernah cerita kisah semut-semut yang rajin.
Ustazah kata, kita mesti jadi rajin macam semut. Semut-semut ni gigih
berusaha, walaupun mereka kecil tapi semangat mereka besar. Contohilah mereka,
jangan kita malas berusaha, nanti malu dengan ciptaan Tuhan itu, kita ini
makhluk manusia yang ada akal dan fikiran jadi kita perlu lebih rajin lagi
daripada mereka.
Sedang aku asyik melihat aksi semut-semut itu. Satu kereta ada di hadapan
pagar rumah, teksi warna biru. Aku panggil emak. Emak datang dengan cepat, mata
emak berair, ada jatuhan mutiara sudah melekat di pipi mulus emak. Aku tengok
saja, tak faham.
Emak pimpin tangan aku masuk ke dalam kereta itu, emak tak henti-henti
menangis, sampai di suatu tempat, kereta yang kami naiki berhenti. Kami masuk
ke dalam bangunan bercat putih yang tersergam kukuh di depan.
Sampai di wad kecemasan, seseorang datang dekati kami. Dia berkaca mata dan
berkot putih. Tanpa sebutir bicara, dia hanya menggelengkan kepala, abah datang
dari arah belakang, emak pengsan di situ juga. Keadaan itu membuatkan aku
pelik, suasananya muram dan emak pula terbaring lesu.
Ketika itu juga, satu sorongan keluar dari bilik kecil di hadapan kami.
Mata aku tertancap pada sekujur tubuh.. mulut aku terluncur hanya satu kata..
“Abang...”
*****
“Akak nape nangis, nak eskem?” Lamunan aku dikejutkan satu suara.
Ada adik kecil comel bertudung litup di sisi aku, disua aiskrim yang ada di
tangannya kepada aku. Mungkin cuba untuk memujuk. Aku senyum, mengusap-usap
pipi mulusnya.
Satu nama kedengaran dipanggil, dia kemudiannya berpaling ke belakang
mungkin namanya dipanggil ahli keluarga. Berlari-lari dia tuju kepada seorang
lelaki dan seorang perempuan muda di sisir pantai. Comel sekali lariannya.
Aku memandang lautan yang terbentang luas di hadapan, seluas itu jugalah
rindu aku pada abang. Abang pergi pada hari itu kerana dirempuh kereta di
warung pisang goreng Pak Cik Lutfi. Kata pak cik, abang duduk seorang diri
melukis di meja. Abang memang suka melukis.
Pemandu kereta yang merempuh abang memandu dalam keadaan mengantuk, seorang
pakcik tua yang sudah berusia enam puluhan. Selepas kejadian, aku menangis
teresak-esak.
Melihat kepada lukisan terakhir abang. Abang lukis gambar aku dan dia
bermain wau di pantai ini. Emak dan abah selalu bawa kami ke pantai
petang-petang, aku sukakan wau, jadi mungkin sebab itu abang lukis gambar wau
untuk pujuk aku. Itulah lukisan abang yang terakhir buat aku. Pujukan yang aku
takkan lupa sampai bila-bila. Di lukisan itu juga abang ada tulis.
‘Adik..abang minta maaf.”
Selepas itu jugalah aku jadi pendiam, asyik salahkan diri kerana merajuk
dengan abang. Aku salahkan diri dan aiskrim yang berharga enam puluh sen. Lama
untuk aku terima pemergiaan abang. Dia satu-satunya abang yang aku ada. Emak
tak boleh mengandung lagi kerana ada masalah kesihatan.
Berbulan-bulan lama untuk aku terima pemergian abang. Kata-kata abah suatu
hari menguatkan hati untuk aku terima semua itu takdir Ilahi.
“Allah lebih menyayangi abang. Itu yang terbaik untuknya. Kita tak salah
sayang, kita hanya sebab untuk mereka pergi kerana hakikatnya ketentuan sudah
tersurat lama. Dialah Yang Esa, Dia jualah yang menggerakkan hati kita untuk
melakukan itu dan ini. Apa yang terjadi usah ditangisi kerana yang sudah pergi
tetap tidak akan kembali. Kita hanya mampu untuk mendoakan dia di sini..
akhirnya kita juga akan kembali nanti ke alam sana.”
Kata-kata abah buat aku kuat, aku terima takdir-Nya, abang pergi dalam
usianya yang masih muda. Usia sembilan tahun. Sekarang sudah lima belas tahun
abang pergi. Aku rindu pada dia.
Muka aku dongakkan sedikit. Terlihat tali wau ditarik-tarik adik kecil di
tepian pantai. Senyum aku kuntum, moga abang juga dapat melihatnya sama. Aku
bangun, langkah kaki aku tuju untuk mencecah air. Ombak-ombak kecil masih
tenang beralun laju, angin masih lagi kekal bertiup lembut.
Burung-burung camar tetap girang berterbangan di awanan biru, pohon nyiur
makin mesra melambai-lambaikan juntaiannya, aku di sini juga sama, tetap rindu
pada dirimu. Dan kenangan itu akan kekal sampai hujung usia.
Nukilan:
Inan Naurah
No comments:
Post a Comment