MATA aku terpejam rapat, namun rohku masih memujuk diri untuk
terus berjaga. Jam menunjukkan pukul dua pagi, zikir aku usahakan untuk terus
aku lafazkan dan kuharapkan ia akan mengalir terus ke hati. Di sebelah, anak perempuan
sulung kepada sepupuku sudah nyenyak melayari mimpi.
Hatiku tidak tenteram,
jiwa seakan sakit. Tidak dapat dikesan keadaan diri, hati berdebar-debar
seakan-akan hati dan jantungku ingin terburai pecah keluar. Kelopak mata aku
buka perlahan-lahan, terlihat bintang-bintang kecil yang menghiasi ruang
syiling bilik yang agak sederhana itu.
Badan aku palingkan ke kiri dan ke kanan, namun tetap tidak menambahkan
keselesaan, hanya kegelisahan yang makin merebak ke seluruh urat sarafku. Esok,
aku akan terbang ke negeri di bawah bayu lagi. Semester akhir akan aku hadapi,
tidak lama lagi aku akan bergraduasi setelah melalui perjalanan semester nanti,
jika diizinkan Tuhan moga aku selamat menempuh dengan tenang dan cemerlang.
Matlamat untuk mencapai kejayaan bukan sahaja untuk kerjaya di dunia, namun
yang aku harap kejayaan meraih pingat di akhirat, pingat usaha, pingat yang
membawa ke syurga, moga Allah redha, moga kejayaan ini yang mengheret aku untuk
berjaya di alam sana.
Pernah ada yang berkata, kejayaan dunia dan akhirat itu terpisah, bersatu
itu mustahil. Kejayaan dunia untuk dikecapi di sini, manakala kejayaan akhirat
untuk dinikmati. Mana boleh, bagi aku kejayaan di dunia itulah penentu kejayaan
di akhirat sana, maka ia perlu bergerak seiring.
Bukan bermaksud berjaya dari
segi material sahaja, dari kerjaya yang besar-besar berpangkat Dato’ segala.
Namun, kejayaan di sini bermaksud kejayaan meraih kekayaan hati, kaya dengan
iman, kaya dengan taqwa, berjiwa besar dengan Islam dan bermatlamatkan Mardhatillah
(keredhaan Allah).
Ah, jauh lagi aku berfikir. Di kala ini macam mana lagi mahu melelapkan
mata. Esok petang penerbangan itu, pastinya tidur perlu lena, paginya tentu
riuh dengan anak-anak buah, tentu sahaja tidak dapat lagi lenakan diri. Akan
ada saja yang datang menerjah dengan soalan yang bermacam-macam.
Pagi tadi anak
sepupu yang paling kecil bertanya penuh makna, ternyata budak kecil semacamnya
banyak persoalan yang ingin dijawapi. Mungkin juga, itu ilham daripada Tuhan
untuk aku sedar diri dan perbanyakkan muhasabah diri. Jika suatu hari nanti,
akan ada anak dengan suami yang akan mengahwini diri pastinya perlu aku jawab
dengan penuh hemah dan berseni kerna pengajaran itu akan menjernihkan fikiran
dan hati anak-anak kami.
Sepetang bermain dengan Nia, tiba-tiba dia bertanya.
“Kenapa Kak Niza pakai tudung,
mama tidak pakai pun?”
Allah, soalan ini memberat, bagaimana mahu kau dimengertikan wahai anak
kecil. Anak kecil yang keliru dengan keadaan individu yang berbeza. Anak itu
yang masih kecil kadang-kadang dipakaikan tudung ke sekolah, namun
kadang-kadang hanya dibiar saja terburai lepas.
Mahu saja aku mengertikan kau dengan Tuhan, namun mampukah kau mengenal.
Nanti akan ada pula yang bertanya..
“Di mana Tuhan, kenapa tidak
boleh dinampak pun?”
Soalan-soalan ini kerap ditanya oleh segelintir pelajarku sewaktu menjadi
guru sandaran di sekolah berdekatan dengan rumah di kampung. Anak kecil yang
jika tidak disuap dengan ilmu, tidak disudu dengan akhlak yang baik dan kasih
sayang. Mereka ini yang diibaratkan dengan kain putih. Mudah saja tercorak
dengan berbagai rupa.
Bila dicorak dengan bunga, jadilah ia seperti bunga, jika dicorak pula
dengan duri, jadilah ia seperti duri, namun jika dicorak dengan ajaran Islam
itulah pasti corak yang diingini dan diredhai Allah s.w.t. Namun, berapa
ramaikah ibu bapa di luar sana yang sedar dengan tanggunggjawab diri ke atas
anak-anak, berapa ramaikah mereka yang mengambil berat akan ilmu fardhu ain
yang lebih penting daripada fardhu kifayah.
Seharusnya sejak kecil mereka ini mengenal Allah, mengenal siapa Dia di
sisi kita, mengenal siapa Rasul. Walau sedikit sahaja pendekatan namun
lama-lama akan menumbuhkan kecintaan yang meranum, akan melupuskan kejahilan,
akan menjernihkan fikiran. Bukan hanya berpeluk tubuh dan menyerah kepada
pendidik di sekolah sahaja, bukan hanya berserah dengan cikgu yang mengajar
hanya lapan jam sehari. Mereka juga kadang tidak mampu untuk membimbing, masa
yang diberi terhad. Bukan saja satu matapelajaran bahkan berderet lagi kerja
yang perlu diselesaikan.
Bagi aku,keluarga itulah yang memainkan peranan penting dalam memberi
didikan yang baik dan sempurna. Aku terasa bersalah dengan Nia, mungkin silap
aku untuk tidak menegur ibunya, namun jika ditegur adakah nasihat aku akan
diterima?
Anak kecil itu keliru, anak kecil itu butuhkan penjelasan aku, namun soalan
itu aku hanya aku biarkan sepi. Sepi apabila Nia riang diajak abangnya pergi,
mulut aku yang bagai digam rapat, merintih sendiri.
“Allah.. adakah ini teguranmu
untuk aku menegur kak Linda?”
Aku tahu, ini kasih sayangmu.. sayangnya-Mu dengan kami. Hanya kami yang
selalu tidak mengerti. Segala pesan, segala teguran hanya kami biar pergi
sealur dengan angin yang berlalu. Manusia itu memang buta kerna jarang nak buka
mata hati. Dia memang sudah bagi banyak petanda, namun jika tidak diertikan
maka hancurlah diri dengan kemurkaan-Nya. Halus teguran-Nya secantik
ciptaan-Nya.
Teringat aku pula dengan akhlak Rasulullah s.a.w, walau sehina mana dia
dikeji tidak dia balas dengan kekejian pada diri yang menghina, seburuk-buruk
dia dicaci, tiada kejahatan yang dia palingkan kembali. Dan dialah contoh
semulia-mulia manusia, adakah lagi manusia seperti itu di muka bumi?Setiap
teguran baginda disusuri dengan akhlak yang mulia, akhlak yang manis untuk
diikuti. Namun, bagaimana cara untuk aku tegur kak Linda dengan hikmah yang
ditatang dengan akhlak baik.
“Allah.. bagi aku kekuatan dan
petunjuk, moga ada jalan mulia untuk aku cengkami.”
Jam sudah menunjukkan jam 3.15 pagi. Perlahan-lahan mata aku mula tertutup
rapat. Sedetik, aku sudah berada di alam yang lain, merehatkan minda dan badan,
namun seakan-akan minda aku masih lagi bergerak ke sana ke mari. Tidak tenang
kerna ada resah lagi yang melanda di alam mimpi.
Hati yang tidak tenteram, buatkan aku terjaga lagi. Kali ini jam sudah
menunjukkan jam 4.50 pagi. Aku kuatkan hati dan tekadkan diri. Doa bangun tidur
aku baca, moga hari ini aku lalui dengan indah dan penuh kesyukuran kepada
Allah kerana membangkitkan aku lagi dan sekaligus memberikan peluang untuk aku
terus bernafas di muka bumi.
Kaki aku halakan ke tandas rumah, suis lampu di sebelah pintu tandas aku
petik, selipar yang tersedia aku sarungkan di kaki. Gigi aku beruskan dan muka
aku cuci dengan cermat. Tidak lama aku basahkan beberapa bahagian diri dengan
air untuk menyempurnakan wuduk sebagai syarat untuk menunaikan ibadah sunat.
Solat tahajjud menjadi matlamat.
Seusai wuduk aku yakini sempurna. Bilik tadi aku hampiri. Tidak aku
pasangkan lampu, biar sahaja dalam kelam, bias-bias neon di luar terlihat
indah. Bangunan berkembar petronas tersergam megah di hadapan. Seakan dekat,
namun hakikatnya jauh juga untuk sampai ke sana.
Kereta-kereta masih lagi ada
yang bergerak di jalan-jalan, ke manakah hala tuju mereka di pagi hari begini?
Sudahkah merehatkan diri? Begitulah dunia kota, sibuk dengan kerja tak kurang
juga hiburan sampaikan kehendak diri untuk berehat dicantas mati.
Kain telekung aku sarungkan, sejadah aku hamparkan berbetulan dengan kiblat
yang dipandukan dengan pelekat hijau di syiling sana. Aku hanyut dengan
kecintaan kepada Tuhan, merintih dengan dosa-dosa semalam, memohon petunjuk
dikurniakan kekuatan untuk menegur ibu Nia. Menegur bukan bermakna aku lebih
baik, namun menegur kerana aku sayang, aku kasih kepada saudara sendiri, dan
syurga yang aku ingini bukan aku ingin hampiri seorang diri, namun aku juga
mahu ajak seramai mereka menuju kepada-Nya bersama.
Dan, esoknya.. setelah bersarapan pagi. Aku duduk dekat dengan Kak Linda.
Bercerita tentang keluarga di kampung. Sudah dua hari aku di rumahnya, namun
baru hari ini sempat untuk beramah mesra. Kesibukan mencari nafkah keluarga
membuatkan hanya sedikit sahaja masa yang diluangkan di rumah. Kadang-kadang
anak-anak dibawa sama ke pejabat, kadang pula dibiar sahaja mereka lima beradik
di rumah.
Tidak aku berani untuk menegur secara langsung terus kerna mungkin ada hati
yang terguris dan luka dengan teguran itu. Tak dinafikan ada yang mampu
menerima, namun lain orang lain caranya penerimaannya. Ada yang boleh ditegur
dengan langsung, ada juga yang boleh dengan perlian sinis dan ada juga yang
mahu ditegur dengan hikmah dan bersopan dan diterangkan dengan jelas kepadanya.
Namun, aku ini yang masih kurang ilmu, tidak memiliki kehalusan akhlak yang
tinggidan masih ketandusan idea untuk berdebat jika diajak berbicara, mana
mungkin aku lakukan hal sedemikian pasti ia akan mengundang kerumitan dan
perbalahan.
Namun, aku sudah fikirkan cara yang terbaik. Mungkin, ianya berkesan,
mungkin juga tidak. Inilah percubaan pertama. Jika tidak berjaya boleh
diusahakan dengan cara lain, yang penting pendahuluan itu permulaan kepada
segala sesuatu, itu pastinya.
Beg sudah aku kemas di sisi katil. Segala barang-barang sudah aku atur dan
susun dengan baik. Di tangan aku genggam satu kotak. Kotak hadiah yang aku kira
sudah aku ikhlaskan untuk Kak Linda, di dalamnya tersembunyi dua helai tudung.
Satu bewarna hitam dan satu lagi bewarna coklat. Dan aku sudah pastikan tudung
itu tidak jarang dan tidak pula singkat. Aku simpan kemas di dalamnya. Aku
berdoa agar hadiah aku diterima.
Sewaktu ingin melangkah keluar dari pintu rumah, kotak comel itu aku
hulurkan pada Kak Linda, huluran aku diterima dengan senyuman manis
daripadanya.
“..dan di situ ada harapan yang
berbunga daripada aku untuk dikau wahai saudari sehati.”
Nukilan:
Inan Naurah
Inan Naurah
No comments:
Post a Comment