Alhamdulillah, hari ini suatu hari yang indah dan baik dalam hidup saya. Ditarbiah dengan baik dengan izin Allah SWT. Bukan secara langsung tetapi dengan memerhati, meneliti dan berfikir.
Hari ini ada dua program. Satu dinilai oleh pihak atasan berkenaan dengan tugasan kami secara berkumpulan dan dibentangkan sendiri oleh muraabi kami. Kedua, kami menerima lawatan rasmi daripada sebuah institusi pendidikan tempatan.
Pada paginya, untuk program pertama berkenaan dengan penilaian atasan, murabbi kami berkomunikasi dengan berhemah dan penuh strategi. Bagaimana cara untuk menjawab dan menutup persoalan-persoalan yang berkemungkinan besar kami ditanya dan dijatuhkan. Kedua, didikan untuk keserasian dan penyatuan dalam secara berkumpulan dan ketepatan waktu.
Komunikasi yang baik juga ditunjukkan oleh murabbi dalam bercakap dan memimpin persatuan dengan baik, berseni dan berakhlak. Tidak terlalu formal dan informal. Sederhana dan membuat orang selesa. Itulah yang membentuk kekuatan dan menaikkan imej Islam
Didikan ini walaupun kecil, tetapi amat besar impaknya dalam diri saya, mungkin juga pada kawan-kawan yang lain. Dunia kini, ramai yang tidak menyedari dengan kekuatan jemaah atau penyatuan di antara siapa pun. Baik rakan sekerja, sahabat, keluarga ataupun komuniti masyarakat itu sendiri.
Saya masih belum mampu mencapai apa yang ditunjukkan oleh murabbi kami. Tidak terlalu tegas, dan tidak terlalu longgar dalam pengarahan. Kami ada rasa hormat dan tidak rasa terlalu ditekan. Setiap kebajikan dijaga. Alhamdulillah.
Berdasarkan pengalaman-pengalaman sebelum ini. Setiap kali saya ditarbiah oleh murabbi, dengan izin Allah SWT. Hati saya akan redefined semula niat. Tujuan hidup. Tujuan belajar. Perkara yang paling saya ingat,
"Status apa pun yang kita ada sama ada degree, master atau phd atau apa sahaja yang kita akan dapat hanyalah alat untuk kita perjuangkan Islam. Walau apa pun keputusan yang kita dapat setelah berusaha itulah yang Allah inginkan, hanya bergantung kepada Dia semata-mata. Yang penting itqan dan ikhlas.
Kehidupan kita ni banyak dah lari daripada makna sebenar kehidupan tu sendiri kan?
Ada yang berkeluarga, tetapi tidak membawa ke jalan yang benar. Hanya berfungsi sebagai sebuah keluarga atas dasar nama, tiada penyatuan, tiada kasih sayang dan keharmonian. Ibu bapa bekerja, anak dihantar belajar jauh tanpa pertanyaan khabar dan jalinan hati ke hati.
Ada yang berkerja pula, pergi kerja balik kerja. Tiada ikatan ukhuwah sesama mereka. Tiada budaya saling memberi, hormat-menghormati, bantu-membantu. Yang ada hanyalah dengki-mendengki, berebut nak naik pangkat, ada yang bertegur sapa pun tidak.
Hidup berjiran pula bagaikan tiada fungsi. Jiran atas dasar nama. Komuniti masyarakat lebih banyak mendiamkan diri di rumah. Tidak lagi meriah macam dahulu. Gotong royong dan bermusyawarah. Yang ada pun hanyalah segolongan kecil. Yang muda-muda tidak diasuh dan dididik, golongan tua pula hanya tinggal sekerat. Masjid tidak diimarahkan, hanya dipenuhi apabila Jumaat tiba. Inikah yang dinamakan masyarakat Islam?
Macam-macam lagi yang sebenarnya, kita tak sedar pun ia bukan sekadar menghakis budaya melayu tetapi sebenarnya nilai-nilai Islam itu sendiri sudah jauh ditinggalkan. Dihapuskan dengan dunia Barat yang lebih mementingkan output ataupun keuntungan semata-mata tanpa mengambil kira ibadah sebagai matlamat.
Apa sebenarnya yang kita cari?
Nakkan Islam atau nakkan Barat?
Sama-sama muhasabah diri untuk membentuk diri menjadi murabbi yang terbaik buat ummah, jikapun tidak sekurang-kurangnya murabbi untuk keluarga dan diri sendiri.
Carilah semula kehidupan dengan Islam. Bukan diambil akarnya daripada dunia Barat, kemudian ditanam dan disuburkan sehingga bercambah-cambah menjadi parasit kepada ummat. Namun, tanamlah benih yang isinya Islam yang akhirnya tumbuh subur dengan nilai Islam yang menghasilkan ummah yang berjiwa besar dan berbakti pada agama, bangsa dengan penerapan sebenar-benarnya nilai akidah dan akhlak Islam, InshaAllah.
Wallahualam.
inanNaurah
20140129
911pm
No comments:
Post a Comment