Tuesday 18 September 2012

Cerpen: AISKRIM 60SEN




OMBAK berdesir tenang, putih buihnya sampai ke sisir pantai. Burung-burung camar riang berterbangan di atas sana, mungkin sibuk mencari secicip rezeki buat anak-anak di sarangan. Awan pula berarak tenang, cantik susunan Tuhan. Langi-langit biru yang terbentang indah mendamaikan hati aku saat ini.

Aku menoleh ke kiri, terlihat pohonan nyiur melambai-lambai, buah-buah kelapa comel bergolek-golek di sekelilingnya. Gerai-gerai yang ada di tepian jalan mula dibuka, pak cik yang menjual aiskrim sibuk ke sana ke mari membunyikan hon di tangan kiri. Kanak-kanak di sekitarnya sibuk pula menahan untuk membeli.

Dari jauh aku dapat melihat pak cik aiskrim itu meleret senyum. Mungkin terusik dengan keletah anak-anak kecil yang berebut-rebut memesan ais bewarna warni itu. Teringat kisah dulu-dulu, aku dan abang suka beli aiskrim yang dijual di motor, macam pakcik itu.

Tiba sahaja hari minggu, setia kami menunggu pak cik aiskrim datang. Apabila bunyi hon yang menjerit-jerit dari jauh kedengaran. Ketika itu sibuk kami mencari emak, meminta selipat duit untuk memenuhi permintaan kami adik beradik.

Aku dan abang selalu bergaduh, mak hanya berikan seringgit. Tak cukup, aku mahukan aiskrim berharga enam puluh sen manakala abang pula mahukan yang lima puluh sen. Masih lagi kurang sepuluh sen.

Abang tetap tidak mahu mengalah. Akhirnya hanya aiskrim berharga lima puluh sen juga yang aku dapat. Terlepas aiskrim impian. Setiap kali pun begitulah. Ada suatu ketika, aku merajuk betul dengan abang, diam dari pagi sampai ke petang. Diusiknya pun aku tak pedulikan. Sedaya upaya dia memujuk, semua sia-sia. Sudah puas memujuk, abang pergi, bawa diri ke rumah Mak Cik Hasanah.

Abang main sorang-sorang. Ada kertas di tangan kanan, pensel pula di tangan kiri, abang kidal. Kemudian abang ikut suami Mak Cik Hasanah, Pak Cik Lutfi ke gerai jual goreng pisang. Sebelum itu abang minta izin dengan emak. Ceria mukanya apabila emak benarkan dia pergi.

Aku mencebik geram, apa yang abang buat semuanya boleh. Emak kata aku ni perempuan, jadi baik tolong saja mak di dapur. Sejak kecil aku diajarkan emak untuk menjejak ke dapur, segala jenis perkara aku lakukan, daripada mencuci periuk, mengelap lantai, susun atur barang sampaila ke isi dalam periuk.

Natijahnya sekarang, macam-macam aku pandai masak, betul didikan emak, baru aku faham. Didikan itu bermula dari rumah, didikan itu bukan ambil masa seminit dua, bukan juga sebulan dua. Anak-anak perlu diajar sejak ia mula mengenal dunia lagi, barulah akan menjadi sebati. Asuhan itu insyaAllah kekal sampai ke mati kalau betul matlamat dan cita-cita yang diingini.

Selepas abang diizin oleh emak. Abang datang dekat dengan aku. Abang senyum. Kata abang, dia nak bagi sesuatu. Kertas di tangan kanannya dihulurkan cermat. Tapi tiada sambutan yang aku hulur, rajuk aku masih bersisa. Tidak tahu kenapa hari rajukku lama dengan dia. Abang diam.

Dia letak kertas putih itu di atas meja sebelah aku. Lipatannya dua, sederhana sahaja saiznya. Setelah itu abang pergi dengan Pak Cik Lutfi. Seiring dengan kepergian bunyi motor pak cik, emak panggil untuk aku menolongnya melipat baju.
Hari itu hari pertama emak ajar aku lipat baju. Kemas lipatan emak, cantik emak susun di rak pakaian. Patutlah abah sayang dengan emak, pandai masak, rajin. Bila abah balik mesti mak dah siap sedia dengan pakaian cantiknya di muka pintu. Muka emak berseri-seri sambut kepulangan abah.

Emak salam tangan abah, kemudian pimpinnya duduk di kerusi. Abah memang manja dengan emak. Di sisi kanan mesti mak dan siap sediakan air untuk abah, kegemaran abah air suam saja. Jaga kesihatan katanya.
Patutla abah sayang emak. Aku nak jadi macam tu, mak bidadari abah dan bidadari kami adik beradik.

Mak tak pernah tengking kami, bila kami buat salah kami tak pernah didenda bahkan kami dididik dengan hemat. Kami diberi penjelasan kenapa perbuatan kami itu salah dengan itu baru aku boleh kenal apa salah dah aku buat, dan yang mana yang sebetulnya.

Abah dan mak memang ada seni dalam mendidik, seni yang ditiru daripada ajaran Rasul yang mulia. Tidak menghukum apabila salah, namun jalan penyelesaian yang disua mereka agar yang salah masih boleh diperbetulkan dan bukan dibuang sahaja ke tepi tidak dipeduli. 

Dihukum hanya kerana tidak memahami erti tanpa memberi penjelasan yang pasti buruk padahnya, takut ada yang makan hati. Oleh itu, perlu pandai menjaga hati.

Abah romantik orangnya. Pernah aku ternampak abah menulis sesuatu pada emak. Surat yang abah tulis itu abah letak di laci dapur. Laci yang emak selalu buka hari-hari, kadang-kadang abah letak di atas peti, kadang-kadang pula di bawah gelas atas meja tepi kerusi.

Pernah aku curi-curi baca. Rasa nak tahu apa yang emak akan baca. Bila aku buka surat itu, abah puji emak. Abah kata emak cantik, abah berterima kasih sebab abah ada emak kat sisi dia. Ada satu masa tu abah selitkan satu resepi di sisi almari dapur.

Bila emak terjumpa emak senyum, emak tahu itulah tandanya abah minta emak buatkan resepi itu. Emak pun romantis juga, bila siap sediakan pakaian untuk abah pergi kerja, emak akan masukkan nota-nota cinta buat abah, kadang di poket baju kadang pula di kocek seluar. Comel telatah mereka, bahagia.

Hari itu selepas melipat baju, aku ke halaman rumah. Terasa sunyi bila abang tak ada. Baru rasa abang tu penting. Masa aku dan emak lipat baju tadi, sempat emak bercerita, kisah satu keluarga. Kesimpulan daripada cerita itu emak kata ikatan antara adik beradik takkan putus, ibarat air, dicincang tetap tidak akan putus jua.

Jadi, bila salah seorang buat salah, salah seorang perlu memaafkan agar pergaduhan tak berlanjutan. Maafkanlah agar kita senang untuk dimaafkan orang lain. Maafkanlah agar hubungan tak lari, tetap kekal berseri. Daripada pengajaran cerita itu aku tahu, aku tak boleh merajuk lama-lama dengan abang. Kejap lagi bila abang balik aku nak minta maaf dengan abang.

Sambil melihat ikan-ikan di kolam kecil hadapan aku. Aku ternampak semut-semut kecil berderet-deret beratur menuruni batu-batu kecil di sekeliling kolam. Aku tengok dekat-dekat, ada sesuatu yang mereka bawa. Rajinnya semut-semut ni aku berbisik-bisik dalam hati, teringat dengan ustazah di sekolah, ustazah pernah cerita kisah semut-semut yang rajin.
Ustazah kata, kita mesti jadi rajin macam semut. Semut-semut ni gigih berusaha, walaupun mereka kecil tapi semangat mereka besar. Contohilah mereka, jangan kita malas berusaha, nanti malu dengan ciptaan Tuhan itu, kita ini makhluk manusia yang ada akal dan fikiran jadi kita perlu lebih rajin lagi daripada mereka.

Sedang aku asyik melihat aksi semut-semut itu. Satu kereta ada di hadapan pagar rumah, teksi warna biru. Aku panggil emak. Emak datang dengan cepat, mata emak berair, ada jatuhan mutiara sudah melekat di pipi mulus emak. Aku tengok saja, tak faham.

Emak pimpin tangan aku masuk ke dalam kereta itu, emak tak henti-henti menangis, sampai di suatu tempat, kereta yang kami naiki berhenti. Kami masuk ke dalam bangunan bercat putih yang tersergam kukuh di depan.

Sampai di wad kecemasan, seseorang datang dekati kami. Dia berkaca mata dan berkot putih. Tanpa sebutir bicara, dia hanya menggelengkan kepala, abah datang dari arah belakang, emak pengsan di situ juga. Keadaan itu membuatkan aku pelik, suasananya muram dan emak pula terbaring lesu.

Ketika itu juga, satu sorongan keluar dari bilik kecil di hadapan kami. Mata aku tertancap pada sekujur tubuh.. mulut aku terluncur hanya satu kata..

“Abang...”

*****

“Akak nape nangis, nak eskem?” Lamunan aku dikejutkan satu suara.

Ada adik kecil comel bertudung litup di sisi aku, disua aiskrim yang ada di tangannya kepada aku. Mungkin cuba untuk memujuk. Aku senyum, mengusap-usap pipi mulusnya.

Satu nama kedengaran dipanggil, dia kemudiannya berpaling ke belakang mungkin namanya dipanggil ahli keluarga. Berlari-lari dia tuju kepada seorang lelaki dan seorang perempuan muda di sisir pantai. Comel sekali lariannya.

Aku memandang lautan yang terbentang luas di hadapan, seluas itu jugalah rindu aku pada abang. Abang pergi pada hari itu kerana dirempuh kereta di warung pisang goreng Pak Cik Lutfi. Kata pak cik, abang duduk seorang diri melukis di meja. Abang memang suka melukis.

Pemandu kereta yang merempuh abang memandu dalam keadaan mengantuk, seorang pakcik tua yang sudah berusia enam puluhan. Selepas kejadian, aku menangis teresak-esak.

Melihat kepada lukisan terakhir abang. Abang lukis gambar aku dan dia bermain wau di pantai ini. Emak dan abah selalu bawa kami ke pantai petang-petang, aku sukakan wau, jadi mungkin sebab itu abang lukis gambar wau untuk pujuk aku. Itulah lukisan abang yang terakhir buat aku. Pujukan yang aku takkan lupa sampai bila-bila. Di lukisan itu juga abang ada tulis.

‘Adik..abang minta maaf.”

Selepas itu jugalah aku jadi pendiam, asyik salahkan diri kerana merajuk dengan abang. Aku salahkan diri dan aiskrim yang berharga enam puluh sen. Lama untuk aku terima pemergiaan abang. Dia satu-satunya abang yang aku ada. Emak tak boleh mengandung lagi kerana ada masalah kesihatan.

Berbulan-bulan lama untuk aku terima pemergian abang. Kata-kata abah suatu hari menguatkan hati untuk aku terima semua itu takdir Ilahi.

“Allah lebih menyayangi abang. Itu yang terbaik untuknya. Kita tak salah sayang, kita hanya sebab untuk mereka pergi kerana hakikatnya ketentuan sudah tersurat lama. Dialah Yang Esa, Dia jualah yang menggerakkan hati kita untuk melakukan itu dan ini. Apa yang terjadi usah ditangisi kerana yang sudah pergi tetap tidak akan kembali. Kita hanya mampu untuk mendoakan dia di sini.. akhirnya kita juga akan kembali nanti ke alam sana.”

Kata-kata abah buat aku kuat, aku terima takdir-Nya, abang pergi dalam usianya yang masih muda. Usia sembilan tahun. Sekarang sudah lima belas tahun abang pergi. Aku rindu pada dia.

Muka aku dongakkan sedikit. Terlihat tali wau ditarik-tarik adik kecil di tepian pantai. Senyum aku kuntum, moga abang juga dapat melihatnya sama. Aku bangun, langkah kaki aku tuju untuk mencecah air. Ombak-ombak kecil masih tenang beralun laju, angin masih lagi kekal bertiup lembut.

Burung-burung camar tetap girang berterbangan di awanan biru, pohon nyiur makin mesra melambai-lambaikan juntaiannya, aku di sini juga sama, tetap rindu pada dirimu. Dan kenangan itu akan kekal sampai hujung usia.

Nukilan:
Inan Naurah

Wednesday 12 September 2012

Cerpen: Soalan Dan Harapan




MATA aku terpejam rapat, namun rohku masih memujuk diri untuk terus berjaga. Jam menunjukkan pukul dua pagi, zikir aku usahakan untuk terus aku lafazkan dan kuharapkan ia akan mengalir terus ke hati. Di sebelah, anak perempuan sulung kepada sepupuku sudah nyenyak melayari mimpi. 

Hatiku tidak tenteram, jiwa seakan sakit. Tidak dapat dikesan keadaan diri, hati berdebar-debar seakan-akan hati dan jantungku ingin terburai pecah keluar. Kelopak mata aku buka perlahan-lahan, terlihat bintang-bintang kecil yang menghiasi ruang syiling bilik yang agak sederhana itu.

Badan aku palingkan ke kiri dan ke kanan, namun tetap tidak menambahkan keselesaan, hanya kegelisahan yang makin merebak ke seluruh urat sarafku. Esok, aku akan terbang ke negeri di bawah bayu lagi. Semester akhir akan aku hadapi, tidak lama lagi aku akan bergraduasi setelah melalui perjalanan semester nanti, jika diizinkan Tuhan moga aku selamat menempuh dengan tenang dan cemerlang.

Matlamat untuk mencapai kejayaan bukan sahaja untuk kerjaya di dunia, namun yang aku harap kejayaan meraih pingat di akhirat, pingat usaha, pingat yang membawa ke syurga, moga Allah redha, moga kejayaan ini yang mengheret aku untuk berjaya di alam sana.

Pernah ada yang berkata, kejayaan dunia dan akhirat itu terpisah, bersatu itu mustahil. Kejayaan dunia untuk dikecapi di sini, manakala kejayaan akhirat untuk dinikmati. Mana boleh, bagi aku kejayaan di dunia itulah penentu kejayaan di akhirat sana, maka ia perlu bergerak seiring. 

Bukan bermaksud berjaya dari segi material sahaja, dari kerjaya yang besar-besar berpangkat Dato’ segala. Namun, kejayaan di sini bermaksud kejayaan meraih kekayaan hati, kaya dengan iman, kaya dengan taqwa, berjiwa besar dengan Islam dan bermatlamatkan Mardhatillah (keredhaan Allah).

Ah, jauh lagi aku berfikir. Di kala ini macam mana lagi mahu melelapkan mata. Esok petang penerbangan itu, pastinya tidur perlu lena, paginya tentu riuh dengan anak-anak buah, tentu sahaja tidak dapat lagi lenakan diri. Akan ada saja yang datang menerjah dengan soalan yang bermacam-macam. 

Pagi tadi anak sepupu yang paling kecil bertanya penuh makna, ternyata budak kecil semacamnya banyak persoalan yang ingin dijawapi. Mungkin juga, itu ilham daripada Tuhan untuk aku sedar diri dan perbanyakkan muhasabah diri. Jika suatu hari nanti, akan ada anak dengan suami yang akan mengahwini diri pastinya perlu aku jawab dengan penuh hemah dan berseni kerna pengajaran itu akan menjernihkan fikiran dan hati anak-anak kami.

Sepetang bermain dengan Nia, tiba-tiba dia bertanya.

“Kenapa Kak Niza pakai tudung, mama tidak pakai pun?”

Allah, soalan ini memberat, bagaimana mahu kau dimengertikan wahai anak kecil. Anak kecil yang keliru dengan keadaan individu yang berbeza. Anak itu yang masih kecil kadang-kadang dipakaikan tudung ke sekolah, namun kadang-kadang hanya dibiar saja terburai lepas.

Mahu saja aku mengertikan kau dengan Tuhan, namun mampukah kau mengenal. Nanti akan ada pula yang bertanya..

“Di mana Tuhan, kenapa tidak boleh dinampak pun?”

Soalan-soalan ini kerap ditanya oleh segelintir pelajarku sewaktu menjadi guru sandaran di sekolah berdekatan dengan rumah di kampung. Anak kecil yang jika tidak disuap dengan ilmu, tidak disudu dengan akhlak yang baik dan kasih sayang. Mereka ini yang diibaratkan dengan kain putih. Mudah saja tercorak dengan berbagai rupa.

Bila dicorak dengan bunga, jadilah ia seperti bunga, jika dicorak pula dengan duri, jadilah ia seperti duri, namun jika dicorak dengan ajaran Islam itulah pasti corak yang diingini dan diredhai Allah s.w.t. Namun, berapa ramaikah ibu bapa di luar sana yang sedar dengan tanggunggjawab diri ke atas anak-anak, berapa ramaikah mereka yang mengambil berat akan ilmu fardhu ain yang lebih penting daripada fardhu kifayah.

Seharusnya sejak kecil mereka ini mengenal Allah, mengenal siapa Dia di sisi kita, mengenal siapa Rasul. Walau sedikit sahaja pendekatan namun lama-lama akan menumbuhkan kecintaan yang meranum, akan melupuskan kejahilan, akan menjernihkan fikiran. Bukan hanya berpeluk tubuh dan menyerah kepada pendidik di sekolah sahaja, bukan hanya berserah dengan cikgu yang mengajar hanya lapan jam sehari. Mereka juga kadang tidak mampu untuk membimbing, masa yang diberi terhad. Bukan saja satu matapelajaran bahkan berderet lagi kerja yang perlu diselesaikan.

Bagi aku,keluarga itulah yang memainkan peranan penting dalam memberi didikan yang baik dan sempurna. Aku terasa bersalah dengan Nia, mungkin silap aku untuk tidak menegur ibunya, namun jika ditegur adakah nasihat aku akan diterima?

Anak kecil itu keliru, anak kecil itu butuhkan penjelasan aku, namun soalan itu aku hanya aku biarkan sepi. Sepi apabila Nia riang diajak abangnya pergi, mulut aku yang bagai digam rapat, merintih sendiri.
“Allah.. adakah ini teguranmu untuk aku menegur kak Linda?”

Aku tahu, ini kasih sayangmu.. sayangnya-Mu dengan kami. Hanya kami yang selalu tidak mengerti. Segala pesan, segala teguran hanya kami biar pergi sealur dengan angin yang berlalu. Manusia itu memang buta kerna jarang nak buka mata hati. Dia memang sudah bagi banyak petanda, namun jika tidak diertikan maka hancurlah diri dengan kemurkaan-Nya. Halus teguran-Nya secantik ciptaan-Nya.

Teringat aku pula dengan akhlak Rasulullah s.a.w, walau sehina mana dia dikeji tidak dia balas dengan kekejian pada diri yang menghina, seburuk-buruk dia dicaci, tiada kejahatan yang dia palingkan kembali. Dan dialah contoh semulia-mulia manusia, adakah lagi manusia seperti itu di muka bumi?Setiap teguran baginda disusuri dengan akhlak yang mulia, akhlak yang manis untuk diikuti. Namun, bagaimana cara untuk aku tegur kak Linda dengan hikmah yang ditatang dengan akhlak baik.

“Allah.. bagi aku kekuatan dan petunjuk, moga ada jalan mulia untuk aku cengkami.”

Jam sudah menunjukkan jam 3.15 pagi. Perlahan-lahan mata aku mula tertutup rapat. Sedetik, aku sudah berada di alam yang lain, merehatkan minda dan badan, namun seakan-akan minda aku masih lagi bergerak ke sana ke mari. Tidak tenang kerna ada resah lagi yang melanda di alam mimpi.

Hati yang tidak tenteram, buatkan aku terjaga lagi. Kali ini jam sudah menunjukkan jam 4.50 pagi. Aku kuatkan hati dan tekadkan diri. Doa bangun tidur aku baca, moga hari ini aku lalui dengan indah dan penuh kesyukuran kepada Allah kerana membangkitkan aku lagi dan sekaligus memberikan peluang untuk aku terus bernafas di muka bumi.

Kaki aku halakan ke tandas rumah, suis lampu di sebelah pintu tandas aku petik, selipar yang tersedia aku sarungkan di kaki. Gigi aku beruskan dan muka aku cuci dengan cermat. Tidak lama aku basahkan beberapa bahagian diri dengan air untuk menyempurnakan wuduk sebagai syarat untuk menunaikan ibadah sunat. Solat tahajjud menjadi matlamat.

Seusai wuduk aku yakini sempurna. Bilik tadi aku hampiri. Tidak aku pasangkan lampu, biar sahaja dalam kelam, bias-bias neon di luar terlihat indah. Bangunan berkembar petronas tersergam megah di hadapan. Seakan dekat, namun hakikatnya jauh juga untuk sampai ke sana. 

Kereta-kereta masih lagi ada yang bergerak di jalan-jalan, ke manakah hala tuju mereka di pagi hari begini? Sudahkah merehatkan diri? Begitulah dunia kota, sibuk dengan kerja tak kurang juga hiburan sampaikan kehendak diri untuk berehat dicantas mati.

Kain telekung aku sarungkan, sejadah aku hamparkan berbetulan dengan kiblat yang dipandukan dengan pelekat hijau di syiling sana. Aku hanyut dengan kecintaan kepada Tuhan, merintih dengan dosa-dosa semalam, memohon petunjuk dikurniakan kekuatan untuk menegur ibu Nia. Menegur bukan bermakna aku lebih baik, namun menegur kerana aku sayang, aku kasih kepada saudara sendiri, dan syurga yang aku ingini bukan aku ingin hampiri seorang diri, namun aku juga mahu ajak seramai mereka menuju kepada-Nya bersama.

Dan, esoknya.. setelah bersarapan pagi. Aku duduk dekat dengan Kak Linda. Bercerita tentang keluarga di kampung. Sudah dua hari aku di rumahnya, namun baru hari ini sempat untuk beramah mesra. Kesibukan mencari nafkah keluarga membuatkan hanya sedikit sahaja masa yang diluangkan di rumah. Kadang-kadang anak-anak dibawa sama ke pejabat, kadang pula dibiar sahaja mereka lima beradik di rumah.

Tidak aku berani untuk menegur secara langsung terus kerna mungkin ada hati yang terguris dan luka dengan teguran itu. Tak dinafikan ada yang mampu menerima, namun lain orang lain caranya penerimaannya. Ada yang boleh ditegur dengan langsung, ada juga yang boleh dengan perlian sinis dan ada juga yang mahu ditegur dengan hikmah dan bersopan dan diterangkan dengan jelas kepadanya. 

Namun, aku ini yang masih kurang ilmu, tidak memiliki kehalusan akhlak yang tinggidan masih ketandusan idea untuk berdebat jika diajak berbicara, mana mungkin aku lakukan hal sedemikian pasti ia akan mengundang kerumitan dan perbalahan.

Namun, aku sudah fikirkan cara yang terbaik. Mungkin, ianya berkesan, mungkin juga tidak. Inilah percubaan pertama. Jika tidak berjaya boleh diusahakan dengan cara lain, yang penting pendahuluan itu permulaan kepada segala sesuatu, itu pastinya.

Beg sudah aku kemas di sisi katil. Segala barang-barang sudah aku atur dan susun dengan baik. Di tangan aku genggam satu kotak. Kotak hadiah yang aku kira sudah aku ikhlaskan untuk Kak Linda, di dalamnya tersembunyi dua helai tudung. Satu bewarna hitam dan satu lagi bewarna coklat. Dan aku sudah pastikan tudung itu tidak jarang dan tidak pula singkat. Aku simpan kemas di dalamnya. Aku berdoa agar hadiah aku diterima.

Sewaktu ingin melangkah keluar dari pintu rumah, kotak comel itu aku hulurkan pada Kak Linda, huluran aku diterima dengan senyuman manis daripadanya.

“..dan di situ ada harapan yang berbunga daripada aku untuk dikau wahai saudari sehati.”

Nukilan: 
Inan Naurah 






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Ad