Tuesday 25 December 2012

Andai Ini Terakhir Buatku


Sunyi seketika, kala insan sibuk berlari,
Aku masih sepi mengasuh diri,
Malu dengan Dia dan mereka,
Banyaknya dosa, betapa lukanya kini.

Kala lihat cakera alamnya,
Angin-angin lembut beralun damai,
Matahari menyinsing indah dan ceria,
Awanan berkejaran hemat dan erat,
Burung-burung riang berkicau di langit dunia,
Itu tanda Kuasa-Nya Dia,

Andai inilah yang terakhir buatku,
Pergilah dunia dalam genggaman,
Hapuslah air mata tanpa tangisan,
Doakanlah daku dalam keriangan,
Biarku damai di sisi Pencipta.

Andai ini yang terakhir buatku..

--
inanNaurah
26.12.12/12.16 p.m
Bumi Tuhan

Thursday 20 December 2012

jauh di sudut hatinya

...

banyak kali disakiti, lagi dan lagi.. aku yang tak pernah puas untuk mencuba..

ya Allah.. berapa banyak hati yang terguris kerna hanya sikap begini, kenapa
mesti ada rasa macam ni..

Tuhan.. impian yang hanya tinggal secicip untuk terealisasi..kini hanya tinggal
debu putih berterbangan.. mungkinkah akan hadir lagi..

mungkinkah akan ku jumpa lagi..

sungguh,, cukup teruji diri kala ini..mencari belas namun sudah terguris tegar aku
lukis.. bukan mudah untuk diterima kembali..

kerana luka yang terhiris..pasti susah untuk ditepis..

akan mungkinkah  ada peluangnya lagi?



ya Allah..pandulah kami-kami ini menghadapi hari muka dengan 
tenang dan bahagia..


Cerpen: i Have A Dream




BERPUSING-PUSING gasing yang digolek anak kecil itu bila tali yang dipegang dihempas kuat menuju tanah. Syakir bersorak riang melihatnya, dia suka sekali. Saya sangat suka suasana ini, susah nak lihat Syakir ketawa, dia lebih banyak diam daripada bercakap. 

Susun ayat dirasakan malas baginya kerana asal sahaja ayat yang keluar daripada mulut pasti diketawakan orang. Kesian Syakir ia mewarisi gen arwah ibunya, sengal sejak lahir.

Saya sudah lama berjiran dengan dia, anak kecil yang beribu tiri itu tinggal di rumah sebelah bersama adik beradik kandungnya yang lain, enam orang semuanya dan dialah yang paling bongsu. Cik Melur baru sahaja berstatus ibu tirinya sebulan yang lepas selepas menikahi ayah kandungnya, Pak Cik Zolkifli.

Saya turut tertanya-tanya dengan penerimaan Cik Melur dengan kesanggupannya untuk menikahi ayah Syakir, perbezaan umur mereka sangat ketara, sembilan belas tahun juga bezanya. Umur pak cik Zolkifli sudah mencecah 49 tahun.

Mariam di sebelah saya mengekek ketawa, dia yang baru berusia setahun jagung lucu mendengar perkataan yang diungkapkan Syakir. Mariam menyua botol susu yang ada kemas di tangan. Susu itu masih panas. 

Syakir senyum-senyum melihat. Mariam anak sepupu saya, ditinggalksn sekejap sepeninggalan ibunya keluar ke pekan membeli baju-baju sekolah untuk anak-anaknya sempena sekolah yang akan dibuka kembali minggu depan selepas cuti panjang.

Apabila melihat senyuman Syakir. Senyumannya ikhlas, kini dia lebih banyak senyum, ketawa dan badannya terlihat lebih cerdas daripada dulu. Baju Syakir yang dulunya compang-comping kini kemas memikat. Rambut yang dulunya serabai disikat kemas dengan rapi. Selipar pula tersarung di kaki, kini agak sukar lagi bagi makhluk-makhluk mikro di tanah mempengaruhi kesihatannya. Saya tenang dengan keadaan dia sekarang. Sangat!

Saya teringat dengan kisah yang lama, dia datang dengan luka-luka kecil di tangan, berbalam-balam dibedal sang abang. Rambutnya kusut masai, lagaknya macam baru sahaja disepak terajang di medan peperangan. Baju yang labuh pula carik sana-sini. Riak di muka langsung tidak menunjukkan dirinya sakit. Syakir hanya menahan lapar kerana sepanjang hari tidak ada makanan yang menggalas perut.

Keluar air mata saya ketika melihat dia begitu. Sang ayah yang merana dengan pemergian si isteri langsung tidak mempedulikan anak-anak di rumah. Mereka yang masih kecil bergelut sesama sendiri untuk sesuap nasi. Syakir selalu dipaksa abangnya untuk mencari sumber makanan dibuat lauk. 

Memanjat pokok kelapa, mencari ikan di sungai, menggali tanah bagi mendapatkan ubi, memetik pucuk-pucuk ubi, masuk ke hutan untuk mencari rotan-rotan pun dia pernah.

Perbezaan umur antara adik-beradiknya hanya setahun seorang. Syakir baru berusia enam tahun. Saya pula anak tunggal di rumah ini. Rumah kami agak sederhana, tidak terlalu daif dan tidak terlalu mewah. Umie tak dapat nak bagi saya adik beradik yang lain lagi kerana umie sakit. 

Abah bersyukur dengan kehadiran saya. Abah sayang umie, walaupun hanya ada saya seorang, abah tak pernah bersungut untuk kahwin lain. 

Abah selalu cakap abah sayang umie sangat-sangat, abah luahkan dengan saya tanpa pengetahuan umie. Abah romantik, pandai ambil hati, umie pun lebih-lebih lagi patutla menjadi kesayangan. Cinta kerana Allah akan nampak ikhlas di pandangan mata, akan tetap tegar dibadai lara.

Syakir sudah saya anggap macam keluarga sendiri tapi nenek macam tak suka Syakir datang ke sini. Kalau ikut hati nak saja saya suruh Syakir tinggal dengan saya. Baru saya boleh jaga dia, ajar dia macam-macam. Budak mentah yang baru nak kenal erti hidup, pasti banyak yang dia nak tahu terutamanya ilmu kenal Allah. 

Bukan mudah untuk diajar jika tak diasuh bermula dari sekarang. Tapi sekarang Syakir dan keluarganya nampak lebih terurus dengan kehadiran Cik Melur. Saya rasa Cik Melur akan mampu membimbing Syakir adik beradik dan mengubat sedih di hati Pak Cik Zolkifli.

“Warghh..” Syakir menyergah. Mariam di sebelah mengekek ketawa, kuat.

“Syakir ni.. terkejut akak tau.” Saya buat-buat riak terkejut, sengaja ingin menduganya. Muka Syakir seakan rasa bersalah. Comel sekali. Saya meleret senyum.

“Akak.. minta maaf tak sengaja, hehe.” Tersengih dia menampakkan giginya yang seikit rongak. Terus berubah riak muka yang bersalahnya kepada riak nakal.


Syakir pantas memanjat pokok kelapa yang hanya tinggal separuh sahaja batangnya. Panjatannya sangat pantas. Saya mengurut dada. Takut dia akan jatuh ke tanah, bukan rendah tinggi juga. Syakir masih di atas sana menunjukkan aksi lincahnya.

“Syakir.. cepat turun sambil melambai-lambaikan tangan kiri, sedang tangan kanan erat memegang Marian.
Syakir hanya menggelengkan kepalanya di atas sana. Saya mula gelisah. Rasa takut pun ada. Nanti kalau dia jatuh bukan dia sahaja yang akan sakit, saya pun akan turut sedih. Bahkan semua yang menyayanginya pun sama.

Tiba-tiba ada satu bunyi bising, semacam bunyi ribut kecil. Lama saya perhatikan namun tak muncul juga. Apabila saya berpaling sahaja ke sebelah kiri. Satu kawanan lebah datang menyerang Syakir.

Bersambung..







Friday 30 November 2012

"..secicip ketenangan itulah kebahagiaan.."

Hati Emas itu bermula dengan mata hati..

"Tidak ada jalan dan ikhtiar lagi kecuali kembali kepada Allah. Perkukuh solat lima waktu dengan segala rawatibnya. 

Luangkan dan lapangkan masa dengan membaca Al Quran dan berselawat. Kurangkan makan dan kurangkan perkataan. Bercakap hanya yang baik atau diam.

Uzlahkan diri jika terasa mata dan telinga terlalu liar untuk ditundukkan. 

Tersenyumlah dengan penghinaan. Redhalah dengan kesepian. 

Jangan takut kepada kelicikan, tipu-daya dan kezaliman. Hayatilah sebuah sabda, jika kita menjaga Allah, Allah akan menjaga kita. Tidak mengapa jika dipinggirkan, malah dilupakan… 

kerana selamanya orang lain tidak akan tahu, betapa lapang dan bahagianya apabila memiliki hati emas itu!"

Itu kata-kata Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam artikel terbarunya Andainya Hartawan Itu Tahu . Senyum sorang-sorang saya baca artikel ni, kerna ia memberi seribu erti. benarlah Allah Maha Mengetahui.

Ketika saya mencari, Dia ada untuk memberi tanpa saya perlu meminta-minta. Hakikatnya dia Maha Tahu.
Keikhlasan yang bersemi itu sedalam mana ia tersembunyi pasti akan dapat dikenalpasti.

Oh, betapa tenangnya hati kini. Alhamdulillah Ya Allah.
Berkali-kali terjatuh baru dapat melihat dengan mata hati lagi.
sudah lama tak rasa macam ni, Alhamdulillah.
Yang aku damba selamanya hanya redha-Mu Ya Rabb..

Jika cinta percayalah, jika rindu bertakwalah,
pasti akan kau dapati TuhanMu itulah Yang
Maha Memberi,,

Sungguh!
Percayalah~
Ketenangan itulah kebahagiaan,
sebenar-benarnya yang ingin dimiliki.


"Cukuplah bila aku merasa mulia kerana Engkau sebagai Tuhan bagiku dan cukuplah bila aku bangga bahawa aku menjadi hamba bagiMu. Engkau bagiku sebagaimana yang aku cintai, maka berilah aku taufik sebagaimana yang Engkau cintai."

Sayidina Ali Karamallahu Wajhah

Saturday 24 November 2012

"..yang terutama dan paling utama.."



***

untuk memperbaiki manusia, baiki hatinya
dan untuk membaiki hati manusia,
baiki dahulu solatnya.



"Kupandang solat sangat penting. Sesiapa yang menjaga solat bermakna dia akan menjaga juga hukum Allah yang lain. Tetapi sekiranya dia tidak mengerjakan solat, dia juga berkemungkinan meninggalkan amalan-amalan Islam yang lain."

Sayidina Umar al-Khattab

Friday 23 November 2012

seuntai kata, ku utus doa..

***

"bagaimana, bagaimana untuk ikhlaskan hati bukan kerana takutkanmu.."

keringat tua itu bagai terkedu. bibir diam membisu. ada getar yang perlu disembunyi, ada manik jernih yang ditahan-tahan barangkali akan gugur tidak lama sahaja lagi.

aku yang melihat sebak seketika. dia macam bukan yang biasa. kehilangan kata-kata sekelip mata.

"jangan..jangan kerana takutkan makhluk, buat sesuatu kerana makhluk takut syirik nanti."

dia bersuara lemah, terputus-putus tidak setenang selalu.

"saya bimbang.."

diam lagi. suasana hening seketika. semua bagai melayan fikiran sendiri.

saya ketuk-ketuk kepala saya berfikir. adakah saya juga punya perasaan yang sama. takutkan mereka, buat sesuatu bukan kerana Allah tetapi kerana mereka?

hati bermain dengan kata-kata.

gusar matlamat yang dulu makin kelam dengan hasutan dunia. bimbang matlamat yang dulu makin hilang dalam kepentingan dunia.

saya menghitung diri semula. muhasabah untuk kesekian kalinya. kali ini saya betul-betul bagai dipanah petir. Allah menegur menerusi dia secara terus. setiap kali pun saya merasakan hal yang sama apabila dia berkata-kata bagai Allah yang berpesan pada saya.

"saya bimbang Allah akan menghukum jika berfikir sebegitu, bimbang apa yang kita usahakan akan hancur. bimbang tempat ini xkan utuh lagi."

dia diam lagi. raut tuanya berkerut-kerut. garis-garis tua itu riaknya sangat gelisah.

saya memerhatikan semua. ada yang mengambil iktibar ada yang hanya selamba. tak endah atau buat-buat tidak tahu. saya pernah macam mereka, jadi saya faham namun, hikmah ini terlalu indah buat saya.

Allah menegur, itu tanda sayang. Allah sayangkan kita, sentiasa hanya kita sahaja yang kadang lupa dengan dia, hilang sayang pada-Nya dengan menyayangi mahkluk/ benda-benda di dunia melebihi dia.

dengan peluang ini saya hitung diri semula. saya risau dengan diri sendiri. risau dengan semua. moga perkara hari ini diambil iktibar oleh semua pejuang-pejuang yang ada bersama saya hari ini.

"..jangan mudah tertipu dalam perjuangan. makluk hanyalah alat dalam perjuangan. bukan apa yang kita perjuangkan.."

itu kata-kata dia. akan saya semat sentiasa. terima kasih dengan madahmu yang tak putus-putus mendidik kami saban ketika.

1434H ini saya mahu mula hidup baru,
hidup penuh dengan cinta kepada Dia,
hidup yang lebih terarah,
penuh sayang penuh barakah,
inginkan redha-Nya.

InsyaAllah dengan izin-Nya jua.

please.. i need u

 ***

mencuba menjadi yang terbaik. namun hampa di pertengahan jalan.

bagai orang hilang jati diri dan arah. bagai ada satu paksaan yang mengalir di hati.
mengundang gundah dan derita, ada tangunggjawab yang xselesai. ada gelisah yang merundung.

aku rindu dia.. aku sayang kan dia..
nenek..

di mana kau menghilang, puas aku cari dalam mimpi-mimpi..
namun kau jarang muncul lagi.. tak sudikah kau lagi.. aku rindukanmu..

nek.. ketahuilah bahwa aku xpernah berhenti sayang padamu.. aku rindu tiap kasih yang
kau titip untuk kami adik beradik.. walau ada masanya kau bagai tak suka pada kami,

tapi aku tahu kau xpandai pamerkan kasih.. kaku dengan teguran namun berasas kerna kau cinta kami.
kau inginkan yang terbaik buat kami..

nek..
hadirlah lagi.. aku rindu..

please..
i miss u, sungguh!

Thursday 22 November 2012

Segumpal awan putih di celah awanan hitam


***

melihat ke dalam diri sendiri, saya jadi keliru dengan identiti yang ada. kadang saya rasa seperti telah tersasar jauh daripada apa yang saya mahu/rancangkan. bagai hilang definisi dalam hidup, definisi yang dahulunya teguh dengan keyakinan ingin mencapai hakikat kehambaan, sepenuhnya mengabdikan diri kepada pencipta. luput sekelip mata kini.

benar, apa yang saya impikan lebih kurang tercapai dengan keberadaan saya di sini. apa yang saya rancang juga ada sedikit yang sudah nampak hasilnya walaupun perubahan-perubahan itu tak menunjukkan keupayaan yang saya ada.

masalah yang ada pada diri saya sekarang. definisi itu telah hilang. saya bagai hilang punca. mencari identiti itu kembali tetapi bagai orang yang tidak tentu arah. hilang yakin pada diri dan semangat yang dulunya sirna kini saya tak nampak lagi apa yang saya mahu dan apa yang saya cari dalam hidup ini.

benar kata orang, semakin kita dewasa, semakin bertimpa masalah yang datang. tribulasi yang tidak dilihat sebagai suatu hikmah akhirnya akan merosakkan diri apabila melihat daripada dimensi yang berbeza.

apabila diri sudah hilang yakin, semua benda akan dilihat sebagai suatu penyebab yang negatif kepada suatu pencarian. saya akui saya masih dalam zon kecewa. perkara yang tidak saya target berlaku dalam sekelip mata. hakikat luaran telah menerima namun bisik-bisik yang ada dalam hati masih lagi keliru/tak dapat menerima apa yang terjadi.

penghayatan terhadap Islam itu sendiri masih kurang dalam diri saya. akui sendiri banyak bercakap tentang redha namun penghayatan redha itu masih lagi di tahap yang rendah.

inilah hikmahnya.. mungkin.. ya ini suatu hikmah. Allah benar-benar sayangkan saya. dengan ujian ini saya kenal diri sendiri, harapan pada Dia pula saya gandakan lebih dari dahulu. ya Allah betapa kau tahu apa yang terjadi, dan apa pun aku bersyukur dengan ketetapan-Mu.

maka tetapkanlah hati aku ini dalam menghadapi semua yang terjadi ini dengan penuh redha dan takwa. kau tahu aku masih dalam zon tidak selesa dengan hati dan kejadian yang terjadi, namun apa guna bersedih untuk suatu perkara yang Kau inginkan terjadi kerana aku tahu hakikatnya ia untuk kebaikan aku dan semua juga.

Ya Allah.. Syukurku pada-Mu yang menciptakan aku dan mereka, mohon kau tunjukkan aku jalan yang benar, dan sentiasa berada di pihak yang benar dengan kalimah-Mu,

ameen Ya Rabbal Alamin.

Monday 5 November 2012

Cerpen: Satu Pilihan

HAMZAH melangkah pulang dari sekolahnya yang terletak jauh di kampung sebelah. Keringat mula membasah di dahi dan membanjiri seluruh badannya. 

Tubuhnya kepenatan berkejaran dengan bas yang laju bergerak, sesiapa sahaja yang terlewat pasti ditinggal pergi. 

Tidak langsung mengasihani anak muda sepertinya. Hidup di pinggir bandar begitulah, susah bukan pilihan namun senang bukan lahirnya dia.

Jika terlepas bas yang satu, tiada lagi pilihan lain, hanya kaki yang menumpang simpati. 

Setia menuruti kehendak dirinya untuk sampai ke rumah sebelum mentari mula mengasingkan diri. 

Lot kebun getah milik orang kampung diredahnya sendiri. Tanpa teman yang menemani, hanya unggas dan daun-daun girang ditiup angin seakan mengiringi.

Ayah yang sudah lama pergi, ibu yang setia tidak lagi berkahwin lain, hanya mengambil upah menoreh di kebun Pak Abu. Hamzah jadi harapan untuk memajukan kehidupan keluarga dan adik-adik. 

Hanya dia anak lelaki tunggal dalam keluarga, dua orang lagi adiknya, masih kecil dan berlainan jantina dengannya. 

Pernah dia bertanya kenapa ibunya tidak ingin berkahwin lagi walhal ayah sudah lama tiada di sisi mereka. Dia tidak kisah, fikirnya boleh juga menumpang kasih seorang insan yang bernama lelaki. 

Namun, kesetiaan ibunya kerana menuntut kasih suami tercinta insyaAllah untuk bersama di syurga nanti. Kerana, pabila seorang perempuan berkahwin lagi, untuk bersama dengan si suami di sana nanti, akan jadi mustahil kerna suaminya yang barulah akan diikut di sana kelak jika kedua-duanya layak untuk ke syurga-Nya Yang Esa. Dia bahagia dan bangga dengan kesetiaan ibunya.

Hari ini bas yang setiap hari dinanti terlepas lagi, denda oleh guru disiplin agar membersihkan kawasan belakang sekolah bersama beberapa pelajar yang lain menyebabkan kelewatannya hari itu. 

Itulah natijah daripada kelewatannya pagi tadi. Begitulah setiap hari, kerana jimatkan duit pergi sahaja dia sanggup berjalan kerana suasana yang masih pagi, petang dia tidak sanggup lagi kerna malam yang menjelma macam-macam boleh terjadi.

Pernah suatu ketika, suatu petang yang seakan merajuk dengan kehadirannya, suatu senja yang kelam walau bukan lagi menjengah jam tujuh malam. Langit yang seakan ingin menangis sebentar lagi mendebarkan hatinya. Kalau-kalau hujan sebelum sempat melihat kawasan rumah, pasti akan membasahi dirinya dan melambatkan perjalanan untuk sampai. 

Hujan yang tidak dapat lagi membendung saratnya diri, lalu menghujani bumi dengan air yang terus bercucuran laju. Dirinya basah kuyup, kasutnya yang sudah koyak yang tunggu masa untuk dimakan tong sampah dibanjiri dengan air lumpur hitam pekat. Tapak kasutnya bila makin diseret seakan tidak lagi gagah. Dibuka sahaja kasutnya lalu ditinggal saja. 

Matanya seakan tidak dapat dibuka, dengan angin yang bertiup agak kencang. Melemahkan kakinya untuk terus menapak, pokok kelihatan bergoyang di kanan kiri. Seakan-akan juga mahu menghempap dirinya. Terlihat sebuah pondok kecil di hadapan, pondok itu nampak agak kukuh. 

Cepat-cepat dia melindungkan dirinya di pondok kecil beratapkan zink yang nampak sudah agak usang. Namun, hujan dengan angin yang agak kuat tidak menghilangkan tempias hujan. Tapi, cukuplah sudah untuk dia berlindung dari terus-terusan disimbahi berjuta rintik hujan itu.

Apabila hujan sudah mula mereda, badannya menggigil kesejukan. Bumi sudah gelita, gelap sekali. Cahaya-cahaya lampu juga tidak kelihatan. Ketakutan mula membanjiri hatinya. Namun, dikuatkan hati dan fikirannya, anak jantan mesti kuat. Teringat pesanan ibu, 
“Hamzah mesti kuat, hamzahlah harapan besar keluarga kita.”

Hanya dia yang diharapkan untuk menjaga keluarganya jika ibu sudah tidak berupaya lagi. Selalu juga dia menemani ibunya menyuluh di ladang getah apabila hujan selalunya kerap di waktu petangnya. Rela menoreh di pagi hari, agar susu getah boleh kering sebelum hujan lagi.

Dia berjalan perlahan-lahan, dalam hati turut ada kerisauan. Ibu tua yang menunggu di rumah mungkin risau dengan ketidakpulangannya lagi. Ranting-ranting kayu melambatkan lagi perjalanannya, mungkin patah akibat ribut kuat tadi. Kadangkala dia terjelopok menyembah bumi tersadung dengan ranting-ranting dan akar yang berselerak di lantai alur jalan. 

Bunyi cengkerik dan unggas bersahut-sahutan. Terkadang ada kunang-kunang yang melintas seakan ingin membantu perjalanannya. Bulan tidak kelihatan, mungkin bersembunyi di balik awan dengan memujuk diri pabila merajuk dengan awan hitam yang akhirnya menyimbahi bumi dengan sarat kandungannya itu tadi.

Tidak berapa ketika, selepas melewati ladang getah itu. Akhirnya dia sampai ke anak sungai, cahaya daripada dapur-dapur rumah orang sudah sedikit kelihatan. Anak sungai perlu diseberangi sebelum menelusuri jalan pulang ke rumah. Air sungai yang mengalir melahirkan ketenteraman di hati, arusnya berbunyi deras mungkin kesan daripada hujan yang lebat tadi yang masih berbekas. 

Dia berada di bawah pohon yang agak rendang tapi tidak berapa tinggi. Pabila, kakinya hendak melangkah meredah anak sungai di depan, terasa bahunya bagai ditepuk orang. 

Seakan ada yang memijak badannya juga. Dia kehairanan, siapa? Di dalam hatinya berdetik adakah makhluk lain yang menganggu atau apakah?. Kaki dihayun lagi, namun terasa bahunya bergesel dengan sesuatu. Lalu dia memerhatikan dengan jelas apa yang menganggu dirinya. Diamati lagi dengan jelas, sepasang kaki betul-betul di atas mukanya kini.

Ya, sepasang kaki yang terbujur kaku dari atas. Kelihatan seorang anak muda tergantung kaku. Badannya terhuyung hayang ke sana ke mari. Di tangannya kelihatan ada satu benda putih yang digenggam kemas. Kelam malam membuatkan dia tidak dapat melihat dengan jelas siapa gerangan makhluk itu. Orang ataupun benda lain, kakinya terasa melekat di tanah. Otaknya seakan berhenti, ada persoalan berat yang melanda dirinya.

Dia yang terpaku, dadanya berdegup kian kencang, hatinya tidak tenteram. Seberapa ketika pabila boleh menenangkan emosi dan bertindak dengan kewarasan akal. Dengan lajunya larian yang dihayunkan, dia berlari menuju ke rumah yang berhampiran. Termengah-mengah dia menahan sesaknya nafas. 

Bajunya yang masih basah terasa melekat di badan, dengan ketiadaan alas di kaki, telapak kakinya terasa derita dengan batu-batu kecil yang kadangkala menghunus deras.

Diketuk pintu rumah itu dengan sepenuh tenaga, namun tenaga yang tinggal hanya secebis cuma. Dikuatkan juga untuk terus mengetuk, seketika muncul seorang lelaki separuh abad di muka pintu, Pak Ayub yang berkain pelikat tersembol di muka pintu dengan tasbih ada di tangan kanannya.

 Isterinya baru sahaja meninggal dunia tidak sampai sebulan. Dia yang kini tinggal keseorangan sekali-sekala tiada di rumah. Dibawa anak-anak ke bandar untuk giliran jagaan. Nasib baik hari ini Pak Ayub tidak ke rumah anak-anaknya. Hanya rumah itu yang paling dekat untuk diterjah.

Pak Ayub pelik melihat keadaannya, bagai orang yang tidak terurus. Dengan bajunya yang lencun dengan lumpur, berkaki ayam, seluar pula diselak menampakkan betis. Dirinya yang tercungap-cungap melihat Pak Ayub kemudiannya bersuara dengan lemah.

“Pak Ayub.. Pak Ayub.. ada orang kat pokok sana.. tergantung!”

Hanya itu yang terluah dari lidah yang diterjemahkan oleh bibirnya, dia tidak tahu kata apa lagi yang paling sesuai untuk dikatakan. Sambil tangannya menunjuk ke arah belakang rumah Pak Ayub, dia meluah sekuat tenaganya. Matanya terasa berpinar-pinar. 

Pak Ayub kemudiannya melangkah ke belakang rumahnya untuk memastikan apa sebenarnya yang terjadi. Setelah disuluh dengan lampu suluh berbateri dua, diyakini ada seseorang yang tergantung di pokok sana. Pak Ayub kemudiannya memanggil orang-orang kampung yang lain.

Satu kampung gempar dengan berita itu. Emaknya juga datang untuk melihat. Kerisauan juga bertandang anak lelakinya belum lagi sampai di rumah. Anggota polis turut tiba di tempat kejadian. Tragis sekali tragedi itu. 

Dikenali, mayat yang terbujur kaku itu rakan baiknya suatu ketika dahulu sebelum mereka membawa haluan dengan dunia masing-masing. Kawan yang bersama-sama bermain perang-perang. Kawan yang sama-sama mengharung lumpur, kawan yang pernah meminjamkan basikal untuk ditungganginya kali pertama. Namun mereka ada perbezaan, harta dunia membezakan, keturunan dan pangkat menjadi penghalang. 

Rakannya anak tunggal seorang kaya dan berpangkat besar di kampung. Disayangi oleh kedua ibu bapanya dengan penuh kasih namun dimanjai dengan limpahan wang yang banyak. Satu ketika, mereka terasing dengan dunia sendiri. Mereka terpisah dengan kehendak keluarga. 

Orang miskin sepertinya tidak dibenarkan mendekati anak mereka yang dikira mulia dengan limpahan harta. Orang miskin macamnya yang dihina dan dianggap hanya sampah-sampah jalanan yang menghuni di ceruk dunia.

Walau rumah buruknya yang dilihat tidak kurang seperti pondok kecil saja, walaupun di dalamnya kurang serba serbi, di dalamnya kurang makanan dan harta, namun di dalamnya penuh dengan ilmu agama. Di dalamnya penuh dengan kasih sayang seorang ibu. Walau tanpa ayah tidak pernah ibu melepaskan tanggungjawab.

 Ilmu agama diusahakan untuk diajarkan pada tiap anaknya. Mereka kaya dengan harta untuk dibawa ke akhirat, rumah mereka sentiasa dibasahi dengan kalimah-kalimah Allah, dihujani dengan nasihat-nasihat dan dipagari dengan ayat-ayat al-Quran.

Ternyata dengan didikan ibunya itu dia yang kini menjadi pelajar cemerlang di sekolah. Dia yang menjadi juara dalam tilawah al-Quran, menjadi pelajar contoh dengan beroleh keputusan PMR paling cemerlang dan dia juga yang menjadi wakil pidato sekolah menjadi juara di peringkat daerah. 

Cuma, itulah hanya miskin yang dipandang orang, kekayaan dalaman mereka tidak nampak bahkan kekayaan luaran yang diterjemahkan dengan mata. Manusia dibeza-beza untuk memilih kawan sekasta.

Dia tidak kisah, baginya cukuplah dia menjadi mulia di sisi Allah walaupun bukan di sisi manusia. Didikan yang tidak baik, jadilah tidak baik manakala didikan yang baik pastinya berakar umbi dengan kebaikan juga.

Bunuh diri satu perkara yang berat, sudah nyata Islam menyatakan bahawa bunuh diri itu suatu perbuatan yang dicela di dalam Islam. Kenapakah masih ada juga yang lakukannya. Tanpa agama manusia lupa diri, tanpa agama manusia sesat dalam kembara dunia, dan tanpa agama pastinya manusia hanyut dalam derita. 

Orang ramai masih lagi membanjiri kawasan kejadian. Emak dan ayah rakannya itu merintih pilu di tempat kejadian, anaknya yang terbukti meninggal kerana menggantungkan dirinya yang ditangannya terdapat gam yang dihidu sehari-hari. Ketagihnya buatkan dia tidak sedar diri. Atau juga rosak dengan dunia, sampai bunuh diri yang jadi pilihan hati.

“Ya Allah.. ampunkan dia.” Dia berbisik sendiri.

Kejadian itu masih lagi menghantui dirinya kini, apabila melewati ladang getah itu hatinya kian diburu resah. Teringat kenangan silam yang menerjah fikirannya. Laluan belakang rumah Pak Ayub tidak ditapaknya lagi namun laluan yang lain ditelusuri. Hari ini kejadian yang sama berulang lagi, malam makin menghampiri. 

Langkah kaki dihayun laju, mahu sahaja kakinya melangkah ke kawasan jambatan untuk sampai ke rumah namun, hatinya terdetik untuk sampai cepat sahaja. Dikuatkan hati untuk melalui kawasan tragedi.

Di bawah pohon itu terlihat seorang manusia kelihatan memandang ke arahnya.. sambil melambai-lambaikan tangannya, di hatinya berdetik, bukankah itu dia.. 

"Qayyum.."



Nukilan
--
InanNaurah



Saturday 3 November 2012

Cerpen: Kerna Sehiris Bawang



LIGAT tangan Mak Minah membuat pusingan di kuali. Mee yang separuh masak dikacau-kacau sebati dengan sodek kayu di tangan kanan, sos tiram bercampur sos cili dan sedikit kicap manis dituang mewarnai mee yang tadinya kuning. 

Kemudian stock udang yang telah dibuang kepalanya terus dicurah dan digaul dengan hemat oleh mak minah. Apabila mee hampir masak lalu diambilnya pula sawi dan lobak merah yang sudah siap dipotong kecil-kecil lalu dikoleh ke kiri dan ke kanan.

“Wah! sedapnya bau.. apa yang Mak Minah masak pula ni? Tadi kan dah masak nasi goreng. Dari ruang tamu depan saya dah dapat bau.” Suara Aizat memecah sunyi, dia melangkah ke dapur dengan perlahan sambil membetulkan kolar baju t-shirt putih yang dipakainya. Tangannya menarik kerusi di sisi meja lalu duduk.

“Oh! nak aizat, Mak Minah masakkan mee goreng, umie kamu suka mee kalau makan sarapan. Tu haa nasi goreng kamu yang banyak bawang, ada kat atas meja, nanti Mak Minah hidangkan di ruang tamu.”Mak Minah senyum. Tangan Mak Minah masih tidak berhenti, mangkuk kaca diambil dari almari kemudian disuakan ke arah kuali. Dikoleh mee goreng dengan hati-hati.

Aizat tersengih lucu mendengar jawapan Mak Minah, “Banyak bawang.” Aizat berbisik-bisik sendiri, geli hati dengan jawapan pembantu rumahnya. Mak Minah sudah dianggap bagai keluarga sendiri. Sejak dia di bangku sekolah lagi, pembantu rumahnya itu tidak pernah bertukar. Dia selesa dengan perwatakan Mak Minah, baik dan ramah.

Aizat menongkat dagu sambil memerhatikan Mak Minah. Ke hulu ke hilir ada sahaja yang dilakukannya. Kali ini dia membancuh air teh, cawan-cawan disusun cantik di atas dulang. Cermat dan kemas.
Dalam asyik memerhatikan Mak Minah, anak matanya terpandang beberapa ulas bawang merah dan beberapa labu bawang putih. Terletak tidak jauh atas meja kecil di penjuru dapur. Ada cerita dengan bawang, episod hidup yang telah mengubah kisah hidupnya. Lima tahun sudah berlalu. Namun, tersimpan kemas di hati.

*****

“Wei.. siapa yang pandai-pandai letak bawang merah ni dalam makanan aku hah?”Jerkah Aizat lantang, semua yang berada di restoran itu cepat-cepat berpaling. Kelihatan seorang gadis muda menghayun langkah laju. Lantas berhenti di hadapan seorang lelaki muda, lelaki itu segak berbaju merah dan berseluar jeans lusuh. Rambutnya pendek, disisir rapi. Mukanya kuning langsat, tampak matang dengan sedikit kumis. Namun, matang mukanya tidak sama dengan fikirannya.

“Err.. maaf tuan, maaf saya tak sengaja..”Aina tergagap-gagap menjawab, pandangannya ditundukkan ke lantai. Bukan takut, tapi sekadar menghormati anak majikannya. Dia sudah lali dengan situasi begitu. Pernah dia diherdik Aizat gara-gara tersilap menghantar pesanan, milo panas yang dipesan neslo yang dihantarnya.

“Hah.. kau lagi, asyik-asyik muka kau! Kau ni kerja macam mana, cuai la!” Aizat menjerkah berang.
“Hish! aku rasa semua pelanggan pun lari la kalau ada pekerja macam kau ni!Aku tak faham betul, kenapa la ayah aku tak nak je buang pekerja macam ni.” Jerkahan demi jerkahan dihambur senang.
Kali ini Aizat lebih berang daripada biasa, gara-gara sehiris bawang merah di dalam nasi gorengnya dia jadi marah. 

Dia memang tak suka bawang, benci. Semua makanan atau masakan yang melibatkan bawang akan ditolak. Bagi dia bawang menimbulkan satu bau dan aroma yang tidak menyenangkan, setiap kali terbau pasti rasa loya. Di rumah, menu makanan dia dan yang lain akan dimasak asing oleh Mak Minah.

“Hei! Kau dengar sini, bawang merah ni tak berguna! Tak ada khasiatnya pun! Aku nak kau masak lagi satu untuk aku! Pastikan takde bawang yang masuk lagi walau sehiris!” Marah betul dia dengan Aina.

“Kau masak pun bukannya sedap sangat. Senang je pun masak, itu pun tak tahu.” Aizat berkata separuh berbisik, tapi dapat ditangkap telinga Aina.

Aina mengenggam erat buku limanya, kalau diikutkan hatinya mahu saja dia bagi penampar. Pantang dia kalau bab makanan dipersoalkan, tambah-tambah bawang merah adalah kegemaran arwah neneknya. Dia memang pencinta bawang, segala jenis masakan yang dimasak pasti akan dimasukkan bawang. Baginya bawang penambah perasa, sedap dan khasiatnya pun banyak. Tak kira la apa jenis bawang, tapi yang dia paling suka bawang merah, harum dari yang lain.

“Encik! Saya dah tak tahan lagi dengan perangai encik yang macam ni, dah lama saya tahan!” Aina bercekak pinggang, melampiaskan marahnya. Sudah lama dia bersabar dengan karenah anak muda itu. Umur mereka sebaya namun tidak menunjukkan kematangan di mata Aina. Aina marah betul, dia susah nak marah orang, dia gadis yang lembut tapi keadaan sekarang memaksa dia untuk bertindak kasar, lain dengan watak biasanya.

“Encik Aizat dengar sini, tak layak tau orang macam encik ni nak persoalkan, tambah-tambah mengutuk tentang makanan, ini antara anugerah Allah pada kita. Bersyukurlah sebelum Allah tarik nikmat yang ada. Makanan bukan untuk dibuang sesuka hati, tak suka kita campak. Tak ada kita cari. Sikap macam ni Allah tak suka.”Aina bersuara lantang, semua yang berada di restoran mula mengalih pandangan ke arahnya pula.

Aizat kelihatan kaget, tidak pernah ada yang menengkingnya. Selama ni, apabila dimarah, Aina hanya akan diam menunduk, membuat balik apa yang disuruh. Tidak dia nafikan masakan Aina memang sedap, sebab itu dia suka datang ke restoran bapanya. Kecuaian yang Aina buat tidaklah besar, hanya sehiris bawang namun hatinya sakit, Aina macam sengaja membalas dendam.

“Baik encik dengar sini, nilai bawang merah tu lebih tinggi tau daripada encik, sekurang-kurangnya dia yang bagi manfaat kat encik, kat saya, kat semua orang. Yang pastinya kat keluarga encik.”Nafas Aina turun naik menahan marah namun suaranya tidak selantang tadi, kemarahannya dapat dikawal.

“Encik tahu tak, bawang merah ni la yang bagi keluarga encik makan, cuba encik tanya pelanggan-pelanggan yang ada kat sini. Sedap tak makanan kalau tak ditambah bawang, mesti jawapan dia tak sedap sebab bawang ni penambah perasa dalam masakan. Kalau restoran encik ni semuanya tak nak tambah bawang, saya rasa boleh bankrupt.” Aina tergamam sekejap, tak sangka dia boleh berkata begitu.

Aizat kelihatan kaku mendengar setiap bait perkataannya, dia tidak menjawab seperti biasa. Dengan bersemangat aina berkata lagi.

“Encik dengar sini, bawang merah ni ada harganya, walaupun kecik ia mampu menguatkan sistem saraf kita, dan juga mampu untuk bunuh bakteria yang membiak dalam badan kita ni,.” Aina membetulkan sedikit tudungnya yang sedikit senget. Nada yang lebih lembut dari tadi, gayanya macam menasihati adik-adiknya di rumah.

“Bukan itu je, bawang merah juga boleh menguatkan rambut kita, bersyukurlah kita dengan kurniaan Allah ni, dengan makan dia je kita juga dapat melindungi pembuluh darah dari masalah pembekuan darah dan ada banyak lagi khasiatnya, kalau encik Aizat nak tahu lebih lanjut, pergi cari buku atau search je internet. Haa.. sape kata tak ada khasiat?” Aina memandang tepat muka Aizat. Aizat kelihatan berang.

Aina terus menerus menghujahkan benda yang dirasakan perlu dipertahankan daripada si mamat poyo macam Aizat yang pada pandangannya seorang yang tidak reti menilai suatu bahan masakan terutamanya bawang.

“Encik tahu tak saya bukannya geram dengan encik ni sebab bawang je tau, tapi..” Aina berhenti sekejap, dia cuba menyusun ayat yang baik agar penyampaiannya jelas.

“Encik tak reti nak menilai masakan, memasak ni adalah satu seni. Bukan semua orang suka memasak. Ada yang cakap susah, tapi susah tu sebab diri sendiri yang tak nak belajar. Bagi saya orang yang suka memasak ni punya jiwa yang sangat baik tau, penyayang.” Nadanya lebih lembut daripada tadi, kelihatan orang ramai yang sedari tadi melihat mereka kelihatan teruja dengan kata-kata Aina.

“Dengan memasak, air tangan seorang ibu boleh memikat hati anak-anaknya dan suaminya, kasih sayang akan lebih erat. Sebelum memasak lagi seorang ibu atau sesiapa sahaja akan memikirkan makanan yang sesuai atau bahan apa yang perlu dimasukkan ke dalam masakannya. Ini supaya makanan yang dimasak dapat menyihatkan tubuh badan diri dan keluarga.”Aina menghembus nafas panjang. Puas, dapat melepaskan apa yang terbuku di hati.

“Cuba encik bayangkan dengan keadaan yang penat berfikir seharian untuk menu yang ingin dihidang dan dalam keadaan letih setelah memasak tapi tak dihargai, kecewa tak?” Aina menyoal Aizat yang sedang memandang tepat ke arahnya. Diam, tiada jawapan. Namun, jauh di hati Aizat dia dapat menerima kata-kata Aina. Tapi egonya masih bersisa.

“Makanan yang kita makan ni boleh membina perintang badan kita daripada penyakit, Encik tengok dunia sekarang ramai yang sakit kronik, macam-macam ada sampai tak tahu puncanya dari mana, tahu sebab apa?” Aina menyoal lagi.

Aizat diam. “Sebabnya orang macam encik ni la, dah lupa nak makan sayur-sayuran dan bawang yang banyak khasiatnya ni, saya tahu encik bukan marah kat saya je tetapi sebelum-sebelum ni ramai lagi yang dah kena dengan jerkahan encik ni. Insaflah encik, Allah tak suka pada hambanya yang tidak berakhlak. Marah orang sana sini tanpa memikirkan perasaan orang lain, berdosa namanya. Hidup kita jadi tak tenang. Huru hara sebab ramai yang tak suka kita. Saya doakan moga encik berubah ya.”

Bersungguh-sungguh Aina mengungkap rasa hati. Dia tersenyum puas. Hati Aizat yang mula boleh menerima kata-kata Aina sebentar tadi kembali mendidih apabila diperli sedemikian.

Setelah beberapa ketika suasana tenang. Semua diam, memandang tepat ke arah mereka berdua.
“Eh.. eh kau ni aku datang sini nak makan, bukan nak dengar ceramah kau.. macam mak nenek je aku tengok.” Aizat berlalu pergi dari situ, merah mukanya menahan marah dan malu.

Bagi dia Aina betul-betul berlagak pandai di depannya, “Dahla orang kampung, SPM pun tak lepas sebab tu kerja kat kedai bapak aku, kau ingat kau tu siapa nak ajar-ajar aku.” Telah Aizat sendiri, dia tidak tahu Aina adalah seorang pelajar yang pandai cuma keadaan hidup keluarga mereka yang memaksa dia bekerja di situ.Tak lama kemudian bunyi pintu kereta dihempas kuat. Aizat menghidupkan enjin kereta. Lalu pergi.

*****

Malam itu Aizat tidak senang duduk, kata-kata Aina terngiang-ngiang di telinga. Tidak pernah ada yang menengkingnya. Malah abah dan mamanya tidak pernah menegur sikapnya. Itulah silap ibu bapanya dalam mendidik, terlalu sibuk dengan kerjaya sampai anak terabai. Kedua ibu bapanya baik, lembut dan sopan namun tidak Aizat. Kelakuannya demikian gara-gara tidak mendapat perhatian yang cukup oleh keluarga. Di sekolah dia juga terlibat dengan remaja liar dan kerap ponteng.

Kesungguhan Aina membuatkan dia merasa kagum. Usaha mempertahankan suatu bahan masakan patut dipuji. “Pasal bawang pun kecoh.” Dia tersenyum sinis. Geli gati teringat peristiwa tadi.

“Ada betulnya apa yang dia cakap.”Aizat berbisik dalam hati, mengiyakan kata-kata Aina.

Rasa ingin tahu tentang bawang. Dia bingkas bangun dari katil, laptop dibuka. Ditaipnya ‘khasiat bawang’ di ‘Google Search.’



“Wah! Banyaknya khasiat bawang, betul jugak cakap minah tu ya?” Aizat senyum sendiri. Terus lupa marahnya pada Aina. Aizat menekan-nekan lagi papan kekuncinya, kali ni mencari makna kepentingan bahan masakan.

Apa yang dia jumpa, fakta tentang ‘Kepentingan penjagaan makanan dapat membentuk sahsiah diri.’ Selama ni bila melayari internet. Hanya main game yang dia tahu. Nak membaca jauh sekali, bukan style dia. Fakta itu menarik minantnya. Dibelek satu-satu, daripada kepentingan bawang beralih pula kepada fakta berkaitan sahsiah diri dan seterusnya kepada akhlak mulia.

“Punca ketenangan diri adalah akhlak mulia, berakhlak dengan Allah, Rasul, Ibu bapa, berakhlak dalam kehidupan seharian dan pergaulan sosial.”Aizat menutur setiap perkataan di skrin laptop. Termenung sekejap, seolah banyak yang difikir. Teringat kata-kata Aina.

Keinginannya untuk tahu makin membuak-buak. Banyak buku agama dibeli. Sendiri dibaca di bilik. “Jika belajar sorang-sorang, takut syaitan jadi gurunya.” Teringat satu ceramah di ‘youtube.’

Dengan melayari internet dia mencari tempat-tempat pengajian yang boleh membentuk dirinya dengan akhlak mulia. Dia jumpa, setiap minggu dia pergi belajar. Ramai kawan-kawan baru yang baik-baik. Akhlaknya mula berubah. Persepsinya pada bawang juga sama sekali berubah, dia tahu dia silap besar selama ni. Diikutkan sahaja rasa hati tanpa memikirkan perasaan orang lain. Dia betul-betul kesal.

Sesalnya pada Aina lebih banyak. Teringat pesan ustaznya. “Dosa dengan Allah kita boleh mohon ampun terus, kita doa, solat taubat. Tetapi tak sama dengan dosa kita sesama manusia, perlu cari dan mengaku kesalahan yang kita buat, baru langsai.” Dia bertekad untuk meminta maaf dengan semua orang yang pernah dia sakiti.

Aizat ke restoran untuk meminta maaf pada Aina, kesalahannya dengan orang yang pernah disakitinya dulu semua ada yang sudah langsai, namun ada yang tidak lagi. Sesetengah mereka ada yang memohon ganti rugi. Dia bayar. Namun salahnya dengan Aina masih belum langsai. Aina sudah berhenti kerja sehari selepas kejadian hari itu. Puas dia mencari tapi tak jumpa.

*****

“Izat.. jom makan.” Suara En. khalil kedengaran sayup-sayup di ruang tamu depan. Aizat tersedar dari lamunan, baru dia sedar dirinya sudah lama menerawang jauh. Cepat-cepat dia membasuh tangan kanan dan kirinya. Kemudian mengatur langkah ke meja makan, umie dan abahnya tersenyum memandang.
Dia meminta izin untuk duduk. Sudah lama dia tidak duduk makan bersama umie dan abah. Sejak dia belajar di Mesir empat tahun lepas, ini baru dia pulang. Baru semalam abah menjemput di Airport.

“Banyaknya bawang ni Mak Minah, kenapa letak banyak sangat ni.” Tanya abah. Hairan, nasi goreng yang disudu ada banyak sangat hirisan bawang merah.

“Ni nak Aizat yang masukkan banyak-banyak, katanya banyak khasiat dalam bawang merah ni tuan. Sungguh-sungguh dia hiris kat dapur pagi tadi.” Mak minah senyum, air di teko dituang ke cawan. Aroma teh wangi.

“Bila tengok bawang-bawang ni teringat pulak abah kat sorang pekerja kita ni tak lama dulu. Ingat tak bukan main marah Aizat kat dia sebab masukkan bawang dalam masakan. Kesian dia malam tu dahla baru masuk kerja. Ttak tahu anak kesayangan abah ni paling anti dengan bawang.” En. Khalil mengimbas kembali kenangan lama.

Aizat hanya menyengih sahaja, diam. Tidak berkata apa-apa. Hatinya berbisik “Macam tahu-tahu je abah aku tengah teringat peristiwa dulu.”

“Mama, susah tak masak? Apa perasaan bila ada orang kata kita tak suka dengan masakan dia?” Aizat teringat persoalan Aina yang tidak terjawab dulu.

“Kalau nak tahu cuba sendiri , pergi kat dapur.. kemudian masak sendiri.Lepas tu kami semua tak makan, apa rasa?” Mama menyeloroh dalam ketawa. Aizat tak puas hati. Mak Minah dipandangnya.
“Mak minah?” Aizat menyoal. Mak Minah menyeringai lucu dengan mimik muka Aizat.

“Memasak ni Aizat, satu kerja yang mulia, kita bagi makan kat orang. Kadang-kadang walaupun rasa penat tapi puas bila tengok orang suka dan habiskan masakan kita. Bila dah penat-penat masak untuk dia tapi tak dihargai kita jadi sakit hati. bukan sebab masakan tu tak dihabiskan tapi sebab, kita dah penat-penat fikir untuk kesihatan dia. Nakkan dia sihat, tubuh badan cergas. Sebab tu orang kata orang yang suka masak ni seorang yang penyayang, lembut hati.Lembut Mak Minah menerangkan.

“Sama je macam Aina cakap.. orang yang suka masak ni penyayang.” Hati Aizat berbisik-bisik sendiri, ada senyum yang menguntum. Puas hati dengan jawapan Mak Minah. “Aizat tolong ambilkan abah air kosong kat dapur.” En. Khalil senyum. Aizat bingkas bangun menuju dapur.

“Assalammualaikum..” Kedengaran satu suara menyapa di balik pintu yang kelihatan terkuak sedikit di ruang tamu depan.

Mak Minah bergegas bangun untuk melihat siapa yang datang. Pintu dikuak luas, lantas bersalaman dengan seorang gadis berjubah coklat, cantik memakai tudung warna kuning cair. Mereka beriringan masuk menuju ke meja makan..

“Tuan, inilah anak saudara saya yang saya cerita semalam. Dia baru balik dari Perancis, baru habis belajar, sementara nak tunggu ayah dia datang ambil esok. Dia nak tumpang dekat sini bermalam.” Ceria muka minah menjelaskan.

Aizat meletakkan gelas kaca berisi air kosong di sisi abahnya. Kaku, dahinya berkerut. Mula mengimbas wajah di depan dalam kotak memori.

“Awak..bawang.” Spontan terluncur ayat itu. Terpegun seketika, itulah gadis yang dicarinya dalam lima tahun, gadis yang pernah dimarahinya dan dihambur dengan kata-kata yang kesat dulu. Akhirnya Allah memakbulkan doanya untuk bertemu dengan perempuan yang banyak merubah keadaan dirinya sekarang. Mata mereka bertembung, senyum diukir.

Gadis itu bingung memandang, dahinya berkerut. Matanya memandang tiap raut mereka tiga beranak. Dia kenal, itulah bekas majikannya dan anaknya yang garang, Aizat. Aina tersenyum manis. Hatinya berbisik “Inilah takdir.”

-TAMAT-

Terima kasih semua kerana sudi membaca ^^"
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Ad