Friday 24 July 2015

LA TAI ASU-PART 1

Dia sedang membaca al-Qur'an di penjuru selekoh sebelah bilik ICU. Sekali sekala dia berhentikan mata daripada ayat-ayat cinta Allah SWT untuk melihat sekeliling.

Orang ramai lalu lalang tanpa henti, manusia berkot putih di kiri kanan, ada yang berkejar-kejar, ada yang melenggang sambil melihat telefon di tangan. Ada pula yang berkumpulan menuju ke arah cafe. Ada pula insan beruniform lengkap warna putih, biru,  hijau tidak kurang yang berkopiah di kepala sambil duduk-duduk di kerusi bermarmar biru.

Dia memerhati segala gelagat yang ada, berlainan segala karakternya, pemakaian, cara jalan, cara bercakap, tidak kurang juga berlainan akhlak. Dia memerhati. Lama. Sambil otaknya ligat menafsir segala macam yang dia lihat sambil dalam hatinya berdoa agar semuanya diberi kebaikan yang banyak oleh Allah SWT.




Tiba-tiba seorang perempuan berkerudung kuning cair dan berbaju kebaya biru melintasi dia. Kainnya terbelah sambil dia berlalu dengan tergopoh gapah. Mukanya menunjukkan riak sedih. Terdengar-dengar dia berbincang dengan orang di sebelahnya, muka ada iras.

Dia terdengar dengan tidak sengaja perbualan dua wanita tersebut.

"Doktor yang macam tu, bukan boleh pakai. Suka hati dia aje buat pesakit macam tu."

"Sabar akak," yang seorang lagi menenangkan perempuan yang berkerudung kuning cair tadi.

"Akak sabar la ni, kalau akak tak sabar dah lama akak report saja perangai doktor macam tu. Dia ingat kita ni bukan manusia ke. Walaupun ayah sakit kronik, jangan la layan ayah macam tu. Ayah baru sedar, baru nak buka mata lepas dua hari dia tak sedarkan diri. Doktor cakap dengan kuat ayah tak ada harapan sembuh. Kata paru-paru ayah rosak, kronik. Memangla kita boleh terima memang ayah macam tu. Tapi doktor tu tak patut cakap kuat-kuat sampai satu wad dengar suara doktor dan dia ulang-ulang pula perkataan kronik dan nak tebuk lagi di tengkuk ayah jika tidak sedarkan diri lagi sekali." 

Meleleh air mata perempuan tersebut bercerita. Terhinjut-hinjut bahu menahan sebak.

"Tak boleh ke dia kata yang baik-baik. Kita bukan Tuhn nak kata ayah dah tak ada harapan sembuh. Akak yakin Allah SWT lebih berkuasa. Sekelip mata, dia boleh kurniakan kesihatan jika Dia mahu." Wanita tersebut menambah, kali ini suaranya lebih tenang.

Setelah perempuan tersebut berlalu. Kelihatan dua orang doktor muda berlalu berpasangan di hadapannya. Seorang lelaki cina dan perempuan melayu. Kedua-duanya bergerak pantas, seolah-olah ada yang dikejarkan. Dalam masa yang sama berduyun-duyun pelawat hadir di hadapan kawasan wad ICU. Keluarga terdekat dan pelawat hanya dibenarkan melawat pesakit yang berada di ICU hanya pada tempoh waktu tertentu sahaja, itupun sejam di waktu tengahari dan dua jam di waktu petang. Tidak seperti wad biasa, yang ahli keluarga boleh menjaga pesakit 24 jam.

Dia berlalu ke wad biasa, ayahnya dulu ditempatkan di wad tersebut. Ramai ahli keluarga yang hadir pada katil pesakit masing-masing. Ramai yang datang, tetapi silih berganti. Sekejap-sekejap sahaja. Kadang-kadang pelawat yang datang menjadi sesak kerana ramainya pelawat yang hadir di dalam sesuatu wad. Dia berjalan menelusuri wad padeatrik, wad yang menempatkan malaikat-malaikat kecil yang masih lagi tidak berdosa.

Sayu hatinya melihat, ada kanak-kanak yang penuh tangan kanan dan kiri dengan wayar-wayar. Ada pula di bahagian muka topeng pernafasan untuk menyokong pernafasan. Ada yang terbaring lemah, tak kurang juga yang riang dilayan emak dan ayah. Bahagia walaupun dalam derita.

Dia berjalan lambat-lambat seronok melihat telatah mereka. Dia toleh ke sebelah kanan, kelihatan satu taman kecil menempatkan sebuah kerusi dan meja, ada bunga-bunga yang berwarna warni, ada batu-batu besar dan kecil. Taman ini memisahkan wad padaetrik dan wad lelaki. Dia terkenang waktu dulu, di situlah ayah dia ditempatkan.

Keadaan di wad ini masih sama. Dia lalui lorong itu dengan perlahan, merasai semula detik-detik ketika dia menjaga ayah di situ.

"Ayah nak solat?" Dia tanya ayah dengan perlahan dengan senyuman.

Ayahnya mengangguk lemah. Walaupun badannya sangat lemah. Dia berlalu ke tandas untuk mengambil bekas untuk menolong ayah mengambil wudu'. Kemudian, dia basuh tangan ayah, sapu di mukanya, dari tangan hingga ke siku semula, kepala, dia bersihkan juga telinganya dan kemudian kakinya. Ayah melihat dengan lemah. Lalu ayah bersolat dalam keadaan berbaring.

Dia masih ingat kenangan itu. Apabila ayahnya larat. Dia bersolat secara duduk. Ayah sangat penat. Dia tahu, tapi dia gagahkan diri. Nak menangis di depan ayah, tapi dia tahan. Dia sangat rindu pada ayahnya..

"Kalaulah masa boleh diputar semula, alang nak peluk ayah sentiasa. Alang nak bercakap dengan ayah lebih lama. Tapi masa tak boleh diputar, ayah dah pergi. Ayah.. alang  sangat sayang pada ayah. Ayah satu-satunya yang sentiasa memahami anak-anak ayah. Ayah.. alang minta maaf atas semuanya. Ayah tiada ganti walau seberapa ramai yang hadir kemudiannya.."

Dia bermonolog sendiri di dalam hati.

***

'Assalammualaikum, Ni Aina Ilyani kan?"

Tiba-tiba ada satu suara yang menegur. Dia menoleh, mukanya berkerut..




***

Bersambung..



inanNaurah
20150725
1248pm




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Ad