Tuesday 2 October 2012

Cerpen: DIA SANG MERAK


Terjungkit-jungkit bahu Leman di hadapan tingkap yang agak tinggi daripada ketinggiannya. Biarpun sudah berusia 21 tahun, namun fizikalnya tidak menggambarkan usianya. Leman anak muda yang menjadi pekerja di rumah agam yang serba mewah ini, besarnya rumah agam ini bukan kepalang, halamannya mahu juga sebesar padang golf.
Leman tinggal di sini sejak setahun yang lepas, orang kaya Farid mengupahnya bekerja kerana mahu menjimatkan kosnya dalam mengupah pekerja. Leman tidak kisah dengan upah, dia sanggup asal sahaja ada tempat untuknya berlindung. Ibu dan ayah yang telah tiada menyebabkannya hidup sendirian. Walaupun dianggap hanya sebagai pekerja biasa Leman tetap menganggap orang kaya Farid sebagai keluarganya sendiri.
Orang kaya Farid hidup sendirian di rumah itu, tiada isteri, tiada anak, tiada saudara mara yang mendekat. Dia punya segala-gala, senyuman tidak pernah ada di bibir, gayanya berlagak sombong dan megah. Nikmat hidup baginya dengan punya harta, syarikat beras yang dimilikinya diusahakan sendiri, pekerja dilayan bagaikan hamba. Orang-orang kampung takut untuk dekat, para petani bersungut setiap masa dengan bayaran murah yang diterima.
Tidak pernah dia suarakan rasa hati bahawa dia sunyi, tidak pernah dia rasa dirinya sepi tanpa peneman di sisi. Keegoaannya melebihi segala-gala, hubungannya dengan Tuhan bahkan lagi tiada. Dia tidak percayakan semua yang ada di sekelilingnya, baginya mereka bagaikan sampah yang hadir sahaja. Merosakkan suasana dan bertujuan meragut segala kemewahannya yang ada.
Leman sayangkan Orang Kaya Farid, dia sesekali cuba untuk menyedarkan tuannya namun hanya bermimpi di siang hari. Cubaannya tidak pernah dilakukan, dia takut akan disingkirkan macam yang lain. Leman takut untuk dia ditolak ke tepi, dia sudah menyayangi Orang Kaya Farid bagai ayah sendiri.
Akhirnya Leman berjaya melihat ke tingkap sisi itu dengan beralaskan kerusi kecil yang berada di tepinya. Dia melihat Orang Kaya Farid berjalan dengan sendiri di tepi tasik buatan itu. Tasik itulah yang menjadi peneman Orang Kaya Farid sehari-hari. Banyak masanya dihabiskan di situ sewaktu hujung minggu.
Tasik indah buatan manusia itu terletak di halaman rumah agam besar itu. Sekelilingnya indah dilihat, rumput-rumput menjalar di sekelilingnya. Dua pokok rendang bercambah di tepian hujung tasik, bunga melur mekar menguntum, air tenang di tasik namun sepi tanpa ada aliran yang boleh berpergian.
Mesti tasik itu juga turut sunyi, tidak ada teman untuk dilirih perasaan, tidak bagaikan sungai yang sentiasa mengalir, berkilik dari hulu menuju ke hilir.
Leman kesiankan Orang Kaya Farid, Leman tahu Orang Kaya Farid punyai hati yang murni namun itulah manusia berubah apabila tidak ada kekuatan dan semangat dalam diri. Apabila ditinggal dan dibuang oleh mereka yang dikasihani manusia akan alpa, dendam yang berbuku yang tidak diluah akan menjadi nanah yang semakin membusut. Luka di hati bertambah parah. Kemarau di hati tidak akan pernah berlalu selagi tidak ada yang mengubati dan mengambil peduli.
"Leman.. Leman.." panggil Orang Kaya Farid di tasik sana.
Leman segera berlalu pergi, air mata di kelopak matanya disapu cepat. Dia sedih melihat keadaan tuannya. Dia kasihankan tuannya, egonya yang tidak pernah berbelah bahagi.
"Aku nak kau siapkan kereta aku cepat, sekejap lagi aku nak ke rumah Muslim, dah lama aku minta dia bayarkan sewa rumahnya."
"Bb..baik tuan saya segera siapkan." Takut-takut leman bersuara.
"Cepat sikit jangan nak terhegeh-hegeh.."
"Ya..ya tuan.."
Leman teringat dia pernah ditendang sehingga jatuh ke dalam tasik suatu ketika dahulu. Dia trauma. Sekarang dia lebih takut untuk mendekat. Agak berjarak jika dia bercakap dengan Orang Kaya farid.
Leman berlari laju menuju ke bahagian parkir kereta, dia mencari-cari Pak Hamid yang menjadi pemandu kepada orang kaya farid.

"Pak hamid..pak hamid, cepat..cepat.. orang kaya nak keluar ke kampung seberang, rumah Muslim." Termengah-mengah suaranya berderau.
Pak hamid cepat-cepat masuk ke dalam kereta, lantas menghidupkan enjin kereta yang sudah agak antik itu. Setelah dua minit menyegarkan enjin, Pak Hamid lantas mengambil Orang Kaya Farid di tepi tasik, leman juga ikut ada di bahagian hadapan kereta, dia sering bertindak sebagai pembantu peribadi orang kaya, banyak kerja yang dilakukannya sendiri tanpa bantuan orang lain, kecuali memandu kereta kerana faktor ketinggiannya yang tidak mencapai pemedal kereta, sebab itulah orang kaya mengupah Pak Hamid.
Pak hamid yang pada mulanya tidak mahu namun berjaya dipujuk Leman. Pak hamid terdesak dengan anak-anaknya yang ramai yang masih lagi bersekolah. Selepas waktu petang Pak Hamid akan pulang ke rumahnya sendiri.
Pak hamid diberi upah yang biasa-biasa sahaja, tetap tidak cukup untuk menanggung perbelanjaan dia dan keluarganya, itupun Leman yang membantu dengan memberikan separuh upahnya kepada Pak Hamid.Kereta antik itu bersisir keluar dari halaman rumah agam yang megah berdiri semegah ego pemiliknya.
*****
Simpang di hadapan menandakan mereka sudah hampir ke kampung seberang, di sisi sebelah simpang itulah bermualnya rumah-rumah orang kampung di seberang kampung mereka. Masuk sahaja ke selekoh Kampung Sungai Melaka, terbentang panjang satu kain rentang yang tertulis,
"Kau bagaikan Sang Merak."
Melihatkan kain rentang itu berfikir-fikir di ruang minda Leman, apakah kain rentang itu ditujukan kepada orang kaya?
Orang kaya hanya melihat sekilas, mungkin langsung tidak ada hati kain rentang itu ditujukan untuknya. Pernah Leman mendengar orang-orang kampung bercakap-cakap sesama mereka semasa membeli barang-barang keperluan dapur di kedai Mak Siti.
Kata mereka orang kaya diibaratkan Sang Merak, indah bulunya namun Merak yang hanya memujuk diri untuk terus terbang namun tidak mampu. Megah gaya jalannya, indah rupanya namun berlenggok sendiri di taman sepi.
Mendengarkan perkataan mereka itu, Leman mengherdik diri sendiri. Tidak mampu dia menghujah bicara, dia sayangkan orang kaya. Walaupun diperlakukan dengan pelbagai cerca dan hina oleh orang kaya. Leman tetap simpati kepada orang kaya. Kerana dia tahu kisahnya.
Kenapa manusia suka sahaja mengherdik, namun tidak cuba untuk mengubah. Tidak cuba untuk menunjukkan cara, kita manusia dia juga manusia. Kadang perlu teman untuk menasihati. Bukan diherdik begini. Allah aku tak mampu untuk mengubah dia hanya doa yang mampu aku pohonkan padaMu wahai Tuhan pemilik diri-diri kami.
Sampai sahaja di rumah Muslim, orang kaya berdiri betul-betul di hadapan rumahnya. Orang kaya mengetuk pintu Muslim dengan menggunakan tongkat kayu yang berada di tangannya. Berdentam dentum bunyi kedengaran. Jiran-jiran tetangga melihat di sekeliling namun hanya mampu melihat dari dalam rumah. Semua takut untuk menghadirkan diri.
Kemudian, tersembul seorang perempuan separuh usia di muka pintu. Itu ibu kepada Muslim. Dengar kata ibunya baru sahaja datang, Muslim yang selama ini tidak ketahuan dia mempunyai seorang ibu. Dulu sejak kecil lagi dia tinggal di rumah anak-anak yatim, pernah pengetua rumah memeberitahu ada seorang perempuan yang menyerahkan dia di situ.
Rupa-rupanya ibunya meninggalkannya di situ kerana mengikut lelaki lain ke Thailand. Nasib ibunya lebih parah apabila ibunya dijual lelaki tersebut untuk menjadi pelacur. Dia yang mencari identiti sebenar dirinya ketahuan bahawa itulah ibunya namun dia masih dalam usaha mencari ayahnya kerana itulah dia dan keluarganya berpindah ke sini.
Dia membawa ibunya jauh dari kota. Ibunya sudah tiada kudrat, mata juga sudah kabur selama ini dia tinggal di pusat jagaan orang-orang tua. Raut wajah tua itu dikenali orang kaya.
"Kau?"
"Kau?.."

Berulang kali orang kaya mengucapkan kata-kata itu. Dia rebah sendirian. Itu bekas isterinya. Isterinya yang meninggalkannya suatu ketika dahulu. Waktu itu dia tidak punya apa-apa. Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang pula hanya mampu untuk makan petang itu sahaja.
Selama ini rahsia itu disimpannya sendiri, dia tahan gagahkan diri. Senyuman tidak mampu untuk dia hulurkan. Luka yang masih berdarah mendidih tiba-tiba apabila terpandangkan seorang perempuan. Dendamnya merebak ke segenap urat saraf. Isterinya lari bersama lelaki lain, anaknya dibawa bersama.
Pilu hati tidak terkata, dengan tiada rasa kehambaan kepada Tuhan.

Dia mula berubah, menjadi sang merak berhati batu. Usaha gigih dengan seluruh kudrat yang ada membuktikan dia mampu berjaya, namun tidak mampu untuk meraih bahagia. Dendam yang dicipta, marah yang membakar memusnahkan diri. Hidup tidak berteman, sendiri berteman sepi.
Leman tahu cerita ini, semuanya terlakar di diari lama. Suatu hari Leman terbaca ketika orang kaya keluar seminggu ke bandar. Leman yang tidak sengaja ingin mengemas bilik orang kaya, berderaian air mata jatuh. Dia kasihankan orang kaya. Jiwa dan hatinya terseksa, dendam kesumat itu terbina hanya kerana kisah silamnya.
Jika tiada Tuhan diletakkan pada paras yang utama dalam hati, mampukah untuk menghadapi?
Orang kaya hanyalah manusia biasa, terduduk dia di situ. Bercicit-cicit bunyi motor Muslim datang dengan cepat. Takut ibunya diapa-apakan oleh orang kaya. Badannya juga memiliki kesan berbalam-balam hasil pukulan orang kaya sebelumnya kerana lambat membayar sewa. Dia tidak mahu ibunya menerima nasib yang sama.

Kali ini, orang kaya tidak memukul Muslim namun, dia memeluknya penuh erat. Selama ini ditahan air matanya, ditahan gelodak di jiwa, dia hanya manusia biasa yang mampu merindu dan rintih sendiri, walau tiada siapa yang peduli.
"Kau anakku.. Muslim Hanafi.."
Tercengang-cengang Muslim, macam mana orang kaya tahu nama penuhnya, sedangkan ibunya sudah menukar namanya kepada Muslim Abdullah bin Farid. Sejak dia berpindah ke sini dua tahun yang lalu, dia hanya mengenali orang kaya dengan panggilan sang merak oleh orang-orang kampung tidak pula dia tahu nama sebenar orang kaya.
"Akulah ayahmu Hanafi.. aku ayahmu yang bernama Farid." Orang kaya terduduk sendiri..
Air matanya jatuh juga. Tidak lagi berlagak megah seperi selalu. Manusia mana yang tidak punya hati. Seteguh mana pun hati, mampu juga lentur dengan rasa kasih rindukan anak sendiri.

nUKILAN:
Inan Naurah

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Ad