Wednesday 31 October 2012

Cerpen: Budak Kota ke Kampung


DUNIA sekarang jauh berbeza, iramanya dah tak sama. Dulu, agama masih terjaga, sekarang sosial tak kira masa, anak muda hilang dalam kemodenan. Sana sini tak terjaga, dengan gejala sosial, dengan masalah ibu bapa yang tak tahu megurus rumahtangga, sampai halal haram pun dah tak mengenal yang mana.” Tegas suara atuk mengungkap rasa, semua yang ada menadah telinga. Telinga Ija rasa bernanah, Ija membuka langkah, selaju mungkin. Bosan dengan ceramah atuknya yang ditujukan untuk seisi rumah yang ada.

“Haa..Ija nak ke mana tu? Atuk belum selesai lagi.” Tok Wan bersuara. “Err.. nak ke tandas tuk.” Alasannya berjaya. Perlahan-lahan dia melangkah ke bilik, pintu bilik dikuak perlahan, hanya satu sasarannya bawah katil Mak Cik Fifi. Suara riuh rendah di luar, Ija tidur senang di bawah katil. Semua mencarinya.

“Ija...” Satu suara garau meresap masuk ke dalam mimpinya, Ija berlari laju, namun ada satu tangan yang menarik hujung bajunya, cuba ditepis namun semakin kuat ditarik. Dia tersedar dari mimpi, dilihat ramai di depannya. Semua yang ada memandang tepat bagai meminta penjelasan.

“Puas kami cari tau.. di sini rupanya.” Kata Atuk. muka atuk kelihatan resah, kerisauan jelas terpancar di wajahnya. Ada kasih sayang yang terpamer. Namun, itu tidak dapat mencairkan hati yang sekeras kerikil. Jiwa remajanya panas mendidih. Ija mencebik geram, tidurnya terganggu.
“Mari, siap-siap cepat, nak pergi solat maghrib di surau. Ada ceramah dari Ustaz Rahim.” Atuk senyum. Ija buntu. Dia tak senang dengan ajakan itu, rasa mahu lari. Dia tak suka, dia nak balik.

Malam yang bening, banyak kaki yang menuju surau, suara azan terdengar indah mengajak menyembah pada Yang Satu, bersama menyeru menuju kejayaan. Ija pinjam telekung kak Fifi, kebetulan dia cuti. Di surau, dia hanya mengikut tingkah orang di tepinya, bila rukuk dia rukuk, bila sujud dia sujud. Ceramah ustaz rahim bagai angin lalu, masuk ke telinga kanan keluar telinga kiri, Ija bosan. Tak faham dengan kuliah. Tak minat. Dikerling ke kanan dan ke kiri mereka selalu senyum mendengar ceramah, mungkin lucu tapi tidak pada dia.
Usai kuliah, atuk sudah ada di depan. Senyum huluran atuk sedikit tak berbalas, Ija menunduk. “Mana Hana?” Atuk bertanya lembut, “Sedang bersembang dengan kawan dia.” Acuh tak acuh jawapan Ija. “Esok, Ija ikut Hana ya, pergi mengaji dengan Ustaz Rahim.” Ija diam, mahu saja dia menolak. Dalam hatinya berdesis geram “Tak nak!”
*****
Ija bingkas bangun dari duduknya di tebing Sungai Ara, tidak senang dengan keadaan semalam. Hati bagai dipagut sembilu, menusuk terus ke jantung. Dahinya berkerut-kerut, pandangan dilempar jauh ke seberang sungai, pohon-pohon melambai indah, bunga-bunga mekar menguntum, daun-daun menari riang. Air sungai berarak ke hilir, cantik susunan Allah. Namun tak seindah ombak hatinya sekarang.
“Kenapa?” Ija menyoal sendiri.
“Warghh...” Satu suara menyergah dari belakang. Ija mencebik geram. “Eee..tak baik tau.” Satu pukulan hinggap di belakang Hana.
“Amboi, kau menung apa dari tadi? Khusyuk betul.” Hana menyeringai senang. Pura-pura bertanya, walaupun dia tahu Ija rindukan rumahnya.
Ija diam menunduk, ada basahan air mata kering di pipi mulusnya. Kulitnya yang cerah memerah di sinar cahaya matahari, hujung tudung birunya melengkok-lengkok mengikut arah tiupan angin. Dia rindu, rindu dengan ibu bapanya. Dalam kerinduan ada benci yang menyusup, ditinggalkan di kampung bukan pilihannya. Dia geram.
“Kenapa mama dan papa buat macam ni?” Ija bersuara lemah. Hana diam, mendengar tiap patah yang Ija ungkap, dia faham perasaan Ija. Hana sepupu kepada Ija. Dia pernah lalui keadaan yang sama. Perkara yang sama cuma keadaan yang berbeza. Sekarang dia gembira, hidupnya berhala tuju. Bukan tak menentu lagi, sejak ayah dan ibunya menghantarnya pulang ke kampung setahun yang lepas, dia ambil keputusan untuk terus menetap di situ dengan atuk. Ibu bapanya gembira dengan keputusannya.
*****
 “Ija.. jom!” Hana menarik tangan Ija lembut. “Pergi mana?” Ija rimas diperlakukan begitu. “Mengaji.” Hana senyum riang. Dia suka pergi mengaji dengan Ustaz Rahim, baginya ustaz Rahim pandai mengajar, pengajarannya jelas. Bukan sahaja mengajar mengaji Quran, tajwid tapi ustaz juga pandai bercerita. Lucu. Setiap ceritanya juga punya makna yang dapat membimbing anak muda sepertinya.

“Tak nak!” Ija menolak keras tangan Hana. “Jomla.. best tau ustaz tu.” Hana memujuk, “Kau sahajalah yang pergi.” Ija merengus kasar. Lama-lama, Hana berhasil memujuk. Hana memboncengkan Ija di belakangnya. Basikal dikayuh hati-hati. Sawah bendang direntasi, padi-padi menguning indah, tanda tak lama lagi akan dituai. Kelihatan anak-anak girang berlari menuju surau kayu bertiang empat di tengah kampung.
*****
 “Assalammualaikum semua.. sihat?” Ustaz Rahim senyum. “Sihat...” Semua menjawab girang. Ija lihat ramai anak-anak sebayanya. Ada yang lebih kecil dari dia, yang kecil tadika pun ada. Semua yang perempuan bertudung dan berjubah, yang lelakinya berkopiah putih, berbaju melayu. Comel.

Sebelum Ustaz Rahim mengajar mengaji, surah al-Fatihah dibaca ramai-ramai, kemudian ustaz membacakan doa, sorang-sorang pergi mengaji, semua pandai. Ija malu untuk pergi ke depan ustaz, dia tak pandai, bukan tak pernah diajar, Cuma dia yang menolak untuk diajar. Ibu bapanya sudah menghantarnya ke kelas Quran di bandar, namun dia yang berkeras tidak mahu. Di sini, dia tiada pilihan.




“Ustaz, saya tak pandai.” Jujur Ija mengungkap. Ustaz hanya senyum. “Tak apa, kita belajar perlahan-lahan ya.” Ija membaca Iqra’ 1, dari mula dari alif, ba, ta. Usai mengaji ustaz bercerita. Memang lucu, semua teruja, ustaz pandai menggayakan watak di dalam ceritanya. Ija seronok.
*****
Ija rindukan rumahnya, suasana yang dialami di kampung memang tak sama, jauh berbeza. Cuti sekolahnya terasa panjang, rindu nak keluar dengan kawan-kawannya di bandar. Di kampung banyak perkara yang dia tak suka nak kena buat, kena solat, mengaji, tolong atuk kat bendang, makan makanan kampung. Kat kampung tak ada internet,  tak dapat ‘facebook’ yang ada cuma televisyen, itupun dipasang sekali sekala, atuk memang pantau tiap masa rancangan yang ditonton.

“Remaja takkan faham bila tak dididik dari awal, kita yang akan menentukan corak masa depan mereka. Sama ada nak jadikan dia Islam, Majusi atau Nasrani dan sebagainya. Ibu bapa seharusnya memainkan peranan yang sangat penting, walaupun kita berada di bandar. Tidak semestinya hidup pun cara moden. Memang boleh ikut semasa, tapi batasnya kena ada, Islam dijunjung akhlak dipelihara.” Ija menadah telinga. Ceramah Ustaz Rahim didengarnya khusyuk.  Solat pun dah tak kelam kabut, mengaji pun dah masuk Iqra’ 2. Cepat dia belajar.

“Apa tujuan kita hidup kat dunia, hanya nak puaskan diri semata-mata atau nakkan kebahagiaan yang kekal kat sana?” Ustaz menyoal yang hadir. Semua termenung mentafsir diri.
“Kita kena sedar, kita ni hidup bertuhan. Allah Tuhan kita, jangan kita sombong! Selagi Allah masih hidupkan kita lagi, dapat bekerja dan bernafas dengan senang. Jangan kita sekali-kali lupakan Dia, niatkan beribadah hanya kerana-Nya, buat sesuatu hanya kerana-Nya.” Ija mendengar khusyuk, namun ada yang tak dapat dia faham.

“Anak-anak muda sekarang banyak yang lalai, sana sini hiburan melebihi tuntutan hidup beragama. Kalau kita lihat keadaan sekarang, yang tadika pun dah pandai ber’facebook,’ tak kurang yang ‘dating’ sana sini. Bercinta jadi masalah yang serius, sebabnya kenapa? Nilai agama dah tak ada, semua ikut nafsu sana sini, melampiaskan gelora remaja sendiri.” Ija terasa diperli, terkenang teman lelakinya di bandar, Farid.

Ceramah malam itu dirasakan bagai kayu yang menghempap berat pekung dadanya, kata-kata ustaz mula merebak ke segenap urat saraf. Persoalan semakin membuku di jiwa, ingin rasanya dia nak bertanya pada ustaz. Esoknya Ija bangun pagi-pagi, tujuannya satu, Ustaz Rahim.

“Tok..tok.. Assalammualaikum ustaz..” Pintu dikuak dari dalam, terlihat seorang perempuan. Wajahnya manis sedang tersenyum ke arahnya, cantik dia menggayakan dirinya dengan jubah hijau, sedang tudung krim melitup kepalanya. “Waalaikummussalam, ya nak cari ustaz ya.” Lembut pertanyaannya. Mereka bersalaman.

“Iya kak, ustaz ada?” Ija senyum. “Ada, masukla..” Ija melangkah masuk. Cantik rumah Ustaz Rahim, susunan perabot diatur kemas, walaupun rumah kecik tapi cahaya kebahagiaan yang ada dapat dirasa tenang, selesa.
“Oh Ija, jemput duduk.” Ustaz mempelawa. Kakak tadi membawa dulang, air oren kelihatan mengisi gelas kaca yang dibawa. “Ini isteri ustaz, Kak Nia.” ustaz menjelaskan. Ija senyum senang. Kak Nia duduk di sisi ustaz, mereka sama padan.
“Ustaz.. saya nak tanya..” Ija diam sekejap, cuba mencari ayat terbaik untuk diterjemah. Ustaz dan Kak Nia setia menunggu.

“Saya nak tanya pasal semalam, ceramah kat surau, pasal cinta.” Ustaz dan Kak Nia senyum. Mereka memandang satu sama lain. Ija tunduk, dia malu tapi dia nak tahu. Di rumah nak tanya mak ayah jauh sekali, semua sibuk. Jadi semua yang dibuat rasanya betul, dah setahun dia bercinta dengan Farid, rasanya tak ada masalah. Kalau keluar cuma pegang-pegang tangan saja.

Farid baginya cahaya dalam hidup, suatu sinar yang bawa bahagia. Hatinya terbuai dengan kata-kata sayang dan cinta. Farid pandai memujuk bila dia kecewa, selalu ada untuk dia mengadu masalah hariannya.

Dia dihantar sekolah asrama penuh, keputusannya yang cemerlang dalam UPSR  menyebabkannya dihantar ke sana, yang terletak tak berapa jauh dari rumahnya. Ketika di sekolah dia sangat sosial, selalu berperang dengan ustazah yang mengajar agama. Kuliah agama selalu ponteng. Solat jemaah selalu hilang. Suatu hari pernah dia ditangkap berdua-duaan dengan Farid di taman belakang sekolahnya. Kejadian sampai ke pengetahuan ibu bapanya, keputusan diambil untuk menghantar Ija ke kampung cuti sekolah ini. Dia tak tahu apa salahnya, ibu dan ayahnya tidak pernah menerangkan silap.  
 “Ehem..” Ustaz berdehem, Ija tersedar, kemudian meleret senyum. Tak sangka lama dia berkhayal.
“Ija pernah bercinta?” Ustaz pandang wajah Ija, melemparkan senyum, agar selesa untuk teruskan kata-kata. “Pernah.. sekarang pun masih lagi, cuma tak dapat berhubung sebab mak ayah tak kasi pakai telefon bimbit datang sini.” Ija meluah perasaan. Nadanya ada rasa terkilan.

“Tapi.. ustaz.. bercinta tak salah kan?” Ija menelah, sebenarnya dia sendiri pun tak pasti, apa yang dilihatnya di televisyen dan dibaca di novel juga situasi kawan-kawan sekeliling yang sudah punya pasangan masing-masing. Ibu bapa yang tidak endahkan anak-anak pulang lewat keluar berdua sana sini menjadi sokongan pada telahannya. Dia menyifatkan bahawa cinta itu bagai air yang menyuburkan tanah, bagai baja yang menyegarkan pokok layu. Andaiannya, cinta itu perlu dalam hidup.

“Inilah pengaruh semasa, generasi baru yang tak tahu menahu yang jadi mangsa. Terutamanya mereka yang hidup di kota.” Ustaz Rahim berbisik sendiri, kesal dengan dunia yang semakin menolak nilai hidup untuk Tuhan, tapi pentingkan diri dan kebendaan semata-mata.
“Ija, cinta tu tak salah.” Ustaz diam seketika. Ija seronok, ustaz bagai menyatakan apa yang dibuatnya tidak salah.

Ustaz Rahim menarik nafas panjang, lalu berkata tenang “Rasa untuk mencintai itu tak salah. Hanya manusia yang salah dalam menilai dan menggunakan cinta itu sendiri. Cinta itu memang fitrah, rasa kasih sayang itu fitrah, memang tak boleh lari dalam kehidupan manusia.” Ustaz senyum. Ija fikir dalam hati, “Salah guna apa maksudnya?” Dia keliru.
“Maksudnya, cinta pada Allah, Rasul, ibu bapa, sahabat-sahabat Nabi, keluarga adalah dituntut. Itu cinta halal, namun cinta sesama manusia yang lain jantina dan bukan muhrim itu jatuh kepada haram sebelum menikah.” Ustaz tahu Ija masih belum faham, dia mencuba menyusun ayat bagi jelas.

“Tapi cinta tu tak salah bila kita pendam saja, jangan sampai berdua-duaan tak tentu hala tanpa ada ikatan, dalam memendam rasa juga perlu diingat jangan melebihi cinta pada Yang Esa, sebab boleh menyebabkan kemurkaan Allah.” Ustaz sungguh-sungguh menerangkan.

“Ok macam ni, cuba Ija fikir, kalau Ija cipta satu robot untuk tolong Ija buat kerja rumah, tapi dia tak nak tolong atau dia pergi tolong orang lain, Ija marah tak?” Ustaz Rahim menyoal. “Marah..” Ija menjawab laju.
“Pandai.. begitu juga kita dengan Allah, Allah yang cipta kita, jadi khidmat kita tentunya untuk Dia. Cinta kita pada dia mesti yang pertama kerana fungsi kita di dunia untuk beribadah pada-Nya, cuba bayangkan bila kita tak cinta pada Dia tapi cinta pada orang yang Dia tidak halalkan. Jadi apa makna kita hidup di dunia, untuk diri sendiri? Semua perkara yang disuruh kita tak nak buat, atau tak ikhlas kerana-Nya. Solat tak nak, mengaji tak nak, semua yang dibuat hanya untuk puaskan nafsu semata-mata.” Panjang lebar kata dari ustaz.

Ija diam, otaknya berpusing ligat, menelah apa maksud ustaz, akhirnya dia dapat tangkap. Analogi daripada ustaz berkesan. “Tapi ustaz.. saya sayangkan Farid.. saya tak boleh hidup tanpa dia..” Ija tunduk memandang lantai. Lesu.

“Ustaz faham, kamu masih muda remaja, kelam kabut lagi dalam mencari erti hidup, cinta jadi suatu yang menyeronokkan. Tambah-tambah pendorongnya banyak sana sini sebab itu kamu mesti lawan, bukan melawan fitrah tapi melawan nafsu. Kalau kamu sayangkan dia, mesti kamu mahu lihat dirinya juga disayang oleh Allah. Allah sayang pada hambanya yang berkasih kerana-Nya tapi caranya mesti betul, rasa cinta antara lelaki dan perempuan hanya akan halal apabila sah akad nikah. Kamu nak kahwin sekarang?” Lucu soalan ustaz, Kak Nia ikut senyum. Ija tersipu malu.

“Umur saya baru 13 tahun ustaz.” Ija menyeringai ketawa. “Jadi dah jelas kan, kamu boleh fikir sendiri, Ija budak yang pandai ustaz tahu, Ija boleh fikir baik buruk yang mana.” Ija diam. Masih keliru. Sehari-hari dia tekun mengikuti kuliah Ustaz Rahim, bukan hanya kuliah maghrib. Namun kelas cara solat yang betul, penyucian jiwa, kelas bahasa arab dari ustaz-ustaz lain turut dia ikut. Di kampung banyak yang ada, guru-guru mengajar ikhlas tanpa bayaran. Semuanya hanya menuntut reda Allah Yang Maha Agung.
*****
Ija sudah putus dengan Farid, bukan ustaz yang mempengaruhi fikirannya, namun dia sendiri yang dapat menilai antara kaca dan permata. Rasa yang hadir dalam hidup di kampung lebih tenang daripada hidup huru hara di kota. Rasa ketuhanan lebih dibajai daripada tuntutan nafsu. Kalau dulu misinya mencari cinta dunia, namun sekarang pencariannya hanya ke arah cinta hakiki, cinta pada Tuhan yang kekal abadi.

Dia bersyukur pada Allah kerana dibuka jalan untuk mengenal-Nya Yang Esa. Tindakan ibu bapanya menghantar dia ke kampung adalah satu tindakan yang patut dipuji. Dia bahagia sekarang. Ija tidak lagi bersekolah di sekolah lama, dia meminta ditukarkan ke sekolah agama.

Banyak yang lompang dalam dirinya semakin terisi, ilmu baru digali sehari-hari. Sahabat-sahabat yang hidup kerana Tuhan senang dicari, hidup yang kembali ada sinar dalam diri. Tiada ada lagi penyakit cinta dunia yang suatu masa meracuni dirinya, dia bahagia.
-TAMAT-
MORAL: Suatu penyakit pasti ada ubatnya, namun ubat yang diberi jangan sampai memakan diri. Anak itu perlu dididik walau kadangkala perlu dipaksa hati mereka kerana akhirnya mereka akan tahu paksa kita kerana kebahagiaan untuk ke sana yang kekal abadi. Rasa hidup bertuhan itulah yang akan menyuburkan kasih abadi, dalam tenang, rahmat dan mawaddah.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Ad