Thursday 11 September 2014

MIRAI E



Tangan aku terketar-ketar menahan kesejukan. Angin yang kuat kian lebat menerjah diri sama juga dengan mata yang semakin berkaca-kaca mahu menurunkan mutiara putih. Bunyi kaki yang menderap semakin mendekat, aku terasa bagaikan di dunia asing. Aku melihat makhluk-Nya tidak seperti biasa, mereka dipandang tetapi tidak memandang kembali kepadaku. Langkah aku semakin laju, tangan ini semakin kuat gigilannya di poket baju.

Hampir sahaja ke hadapan. Perkataan-perkataan yang ditulis di dinding-dinding itu seolah-olah memerli aku. Apakah mereka faham keadaan aku sekarang? Oh, pada siapa untuk aku mengadu, hilangnya kini sahabat-sahabat itu menambahkan perit di dalam dada. Namun, akan aku teruskan juga walaupun keadaan sudah jauh berbeza.




Aku terkebil-kebil di situ lagi. Mata aku tidak lepas memerhatikan kejangggalan keadaan di situ. Ada sedikit getir di hati. Esok adalah penentuannya, dan aku perlu menggugurkan semua ketakutan yang ada. Adakah betul keputusan ini. Hati aku terdetik bersendiri.

Keesokan harinya, aku menunggu di satu sudut yang cemas dengan manusia yang bergerak semakin laju. Kadang-kadang ada kaki yang berlari, terkadang berhenti seolah mengejar masa yang tidak pernah berhenti. Aku kaget.

Ketepatan masa yang belum pernah aku lihat di mana-mana. Kecekalan yang seolah-olah tidak pernah habis bateri kuasanya. Keadilan yang mengutamakan yang hak dan menggugurkan yang salah. Oh inikah yang aku kejar dan ingin aku lihat selama ini?

Ketelitian yang tidak pernah padam, kenyamanan yang tidak pernah aku rasa di mana-mana. Keramahan dan penghormatan yang diberikan adakah ilusi atau benar-benar terjadi pada aku. Detik demi detik, waktu berlalu pergi. Aku tercampur dengan dunia asing ini.

***

"Kak long, kenapa kak long suka tengok cerita ni?"

Kak long adalah kakak aku yang paling sulung dalam keluarga, aku anak kedua daripada empat adik beradik. Yang dua orang lagi adalah adik kembar aku. Keduanya adalah lelaki.

"Sebab.. Kak Long suka budaya mereka yang menepati waktu, bersih, menghormati dan menghargai orang lain. Bukan itu sahaja, mereka sangat berdisiplin dan bertanggungjawab."

Aku hanya mengangguk-angguk sahaja kerana aku tidak pernah mendengar perkara sedemikian berkenaan dengan mereka. Aku kebiasaannya dengan budaya aku sendiri. Orang belajar aku belajar. orang ke sekolah aku juga.

Namun, hal-hal berkenaan dengan dunia, atau lebih senang, apa-apa perkara yang berada di luar kampung atau sekitar aku, tidak aku ambil tahu. Bagi aku, semua perkara itu membebankan, kerana aku adalah aku, kenapa aku perlu berfikir tentang orang lain.

"Auni tak fahamlah kenapa Kak Long suka sangat tengok cerita ni, dahlah bahasa dia pun Auni tak faham langsung." Aku mengeluh panjang dan membuat muka sehingga Kak Long tergelak kecil.

"Auni, Kak Long ada impian.." Kak Long tersenyum sahaja. Kak Long berlalu pergi setelah ibu memanggilnya untuk menolong di dapur.

"Impian.. impian dengan orang yang aku sendiri pun tidak faham bahasanya? Pelik impian Kak Long ni." Getus hati aku sendirian.

Sebulan setelah itu, Kak Long dimasukkan ke hospital kerana menghidapi penyakit berbahaya berkaitan dengan saraf. Ayah memberitahu bahawa Kak Long tidak dapat dirawat dan hanya menunggu masa untuk pergi.

Aku menangis teresak-esak mendengar khabar duka tersebut. Aku hairan  dengan Kak Long, dia  hanya  senyum dengan tenang mendengar khabar tersebut. Namun sesekali apabila aku ke bilik rawatannya di hospital, dia selalu termenung, bukan kerana memikirkan kematian. Tetapi ada sesuatu yang lain.

Yang akhirnya, aku mengerti kenapa Kak Long selalu termenung dan apa yang difikirkannya, kerana pada saat dia telah pergi. Ada sepucuk surat yang ditinggalkannya untuk aku pada ayah. Surat putih itu tersimpan kemas dalam poket ingatan aku.

***

Surat putih itu berisi...

Aku tertanya-tanya sendirian, hidup ini untuk apa? Adakalanya sedih dan adakalanya pula bahagia. Hanya untuk itukah? Adakah hidup ini hanya untuk makan, minum, kerja, kahwin, punya anak semata-mata? Apakah yang dilakukan sehari-hari hanya untuk itu?

Dalam diam-diam aku menyertai usrah pimpinan mahasiswa di kampus. Sejak aku menjengah dunia universiti. Aku semakin mengenal diri sendiri dan lebih mengetahui apakah tujuan untuk aku hidup di dunia. Hidup bukan sahaja untuk sedih, gemira, mengambil ilmu, mengamal sahaja namun ia perlu diperjuangkan.

Dan perjuangan itu adalah untuk menjadi seorang dai'e, seorang yang berbakti kepada ummah dan memuliakan Islam. Kemuliaan pada Islam itu bukan sahaja pada apa yang kita perjuangkan dengan fizikal dan bukan sahaja dengan mengajak orang berbuat kebaikan semata-mata.

Namun, ianya juga tergantung pada akhlak dan usaha keras kita. Usaha keras yang mana umat Islam perlu maju ke hadapan dan menguasai segala bidang yang ada setanding dengan orang bukan Islam malah lebih hebat lagi.

Dalam usrah, kami dibahagikan beberapa tempat untuk dijadikan sasaran masa hadapan dan aku terpilih untuk mengenali budadaya Jepun dan juga masyarakatnya. Kajian demi kajian aku lakukan, aku memang tertarik dengan Jepun dan masyarakatnya.

Mereka berdisiplin, hebat, sesuai dengan apa yang diajarkan oleh al-Qur'an dan sunnah dengan segala apa yang mereka lakukan. Namun, sayangnya mereka tidak beragama.

Dalam seluruh Jepun hanya 1% adalah Muslim, dan itu adalah sangat sedikit. Aku melihat masyarakat Jepun adalah manusia yang sangat berpotensi bagi didakwahkan.  Kerana apa? Kerana apa yang telah disuruh agama sudah mereka amalkan sebahagiannya. Cuma pegangan akidah dan ibadah yang asing untuk mereka. Mereka perlu diperkenalkan dengan Sang Pencipta. Allah SWT.

Sejak daripada hari itu, aku berusaha untuk belajar segala-galanya berkenaan dengan negeri matahari terbit itu. Daripada perkataan, percakapan, dan juga budaya mereka. Aku sudah menguasai perkataan-perkataan Jepun, Huruh Hiragana, katakana dan kanji sebelum masuk ke Kelas bahasa yang aku jalani setiap dua minggu sekali di kampus.

Target aku adalah aku akan menyambung pengajian sarjana di Jepun untuk lebih mendekati masyarakatnya, dan inilah antara yang aku lakukan untuk Islam. Moga dengan usaha yang sedikit akhirnya akan membuahkan hasil. Jika tidak, aku sudah berusaha, namun Allah SWT pula yang menentukannya.

Walaupun aku mungkin tidak dapat meneruskannya suatu hari nanti. Aku berharap ada yang akan menyambung usahaku nanti..

KakLong
13Mac2014.
Hospital SB.

......

Bersama surat, terdapat dua lirik lagu bahasa jepun yang ditulis dengan baik oleh kakak. Lagu itu berunsurkan nasyid dalam bahasa jepun. aku kagum dengan usahanya dalam memperjuangkan Islam hingga ke negeri asing.

Kini, akulah yang menyambung harapan dan hasratnya. aku yang kini mula melangkah ke negeri ini, berseorangan dalam keasingan. namun, aku yakin aku akan berjumpa sahabat-sahabat sematlamat. Aku yakin dan sangat yakin Allah SWT pasti akan mengurniakan yang terbaik dalam setiap perjalanan aku.

Walaupun mungkin akan ada halangan-halangan di kemudian nanti, aku yakin dan percaya itu juga adalah yang terbaik untuk diri aku dalam mempersiapkan aku menjadi seorang manusia yang berjiwa besar.

Menjadi seorang yang mengetahui bahasa asing bukan sekadar untuk belajar atau bekerja. Malah, ia adalah suatu anugerah hebat daripada Allah SWT untuk kita hasilkan suatu perjuangan untuk Islam. memuliakan Islam dan memperkenalkan Islam adalah satu cara dalam mengaplikasikan bahasa yang telah kita pelajari.

Bukan hanya belajar sampai di situ, lulus kemudiannya meninggalkannya bersarang di dalam buku. Lama-kelamaan hilang merentas masa. Aku tekad. usaha ini akan aku galas kerana dakwah itu adalah tujuan utama dalam kehidupan bukan yang lainnya.

Langkah kembali aku tatihkan ke Universiti yang tersergam indah di hadapan. Hari ini permulaan aku menyambung ijazah sarjana di Jepun dalam bidang kejuruteraan..

"Kak Long, adik akan sambung impian Kak Long insyaAllah. Mirai E, sama-sama menuju masa depan dengan cemerlang dan gemilang insyaAllah." Hati aku berbisik sendiri.


***
Mirai E (Menuju Masa Depan)
inanNaurah
20140911
540pm






No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Ad