Saturday 6 September 2014

Cerita Sepotong Kek

***

Dah lama saya tak menulis. Rindu dengan penulisan sambil mendengar lagu sutera kasih dendangan kumpulan nasyid in-team. Jam 2.33 pagi mata masih segar sambil mengingat kembali pengalaman dan pengajaran yang berlaku hari ini dan semalam.

Cerita sepotong kek yang berlaku di hari-hari saya dan juga kemungkinan pengalaman yang sama sudah terjadi kepada saya berulang kali namun tahap iman itu pasti ada turun naiknya. Manusia itu sifatnya pelupa, akan terus lupa dengan nikmat dan bersedih bila ditimpa kecelakaan.

***

Sepotong kek itu berkisar apabila saya mengadakan sedikit jamuan di rumah kepada sahabat-sahabat. Dua biji kek yang bersaiz besar dan kecil dihidangkan kepada tetamu beserta makanan-makanan yang lain. Namun, disebabkan dengan kesibukan melayan tetamu saya tidak sempat untuk makan kek yang dikatakan sedap oleh kebanyakan tetamu yang dapat merasa.



Apabila baki kek yang terakhir diberikan oleh rakan serumah kepada tetamu akhir yang pulang. Saya hanya tersenyum dan bermujahadah betul di hati dengan membisikkan pada hati sendiri

'Tidak mengapalah, insyaAllah ada rezeki yang lain' dan tersenyum dengan penuh mujahadah dan keyakinan sepenuhnya kepada Allah SWT.

***

Keesokan harinya, saya dan sahabat menghantar tetamu dari Indonesia yang merupakan orang yang agak penting dalam bidang akademik untuk majikan saya. Apabila kami tiba di airport, tetamu tersebut dikehendaki berjumpa dengan majikan saya yang saya panggil Prof.

Dengan berbesar hatinya. Prof. menjamu kami dengan minuman dan hidangan kek yang sedap di salah sebuah tempat makan di airport. Saya teringat dengan kek yang tiada rezekinya semalam. Tetapi Allah SWT kurniakan rezeki yang baik dengan dibelanja pula oleh orang yang saya hormati.

Malah, bukan itu sahaja. Pada kesempatan tersebut. Prof berkongsi dengan kami akan nikmatnya sebuah kehidupan. Antara kata-kata Prof lebih kurang begini.

"Dalam hidup ini ada tiga perkara yang pasti akan terjadi pada kita dan mesti kita hadapi. Perkara yang pertama adalah kesedihan, sedih itu pasti akan terjadi kerana kesedihan adalah rezeki daripada Allah SWT kepada hambanya kerana apa?  Bila Allah SWT rindu, maka itulah saatnya kita diuji. Apabila diuji manusia akan merayu dan merintih kepada Allah SWT. Bermanja-manja dengan Allah SWT. Mengadu dengan-Nya, Meluangkan masa yang lebih kepada-Nya. Oleh itu, jika mahu sedih. Silakan. Namun, janganlah sedih itu berpanjangan..

Perkara yang kedua adalah Bahagia. Kebahagiaan pasti akan berlaku apabila surutnya kesedihan. oleh itu perlu kita bersyukur kepada Allah SWT jika diberi nikmat daripada-Nya. Namun, kebahagiaan yang berpanjangan akan menjadikan manusia selesa dan mula melupakan Tuhan. Dan, jika hanya ada kesedihan dan kebahagiaan itu belum lengkap lagi jika tidak berjuang di jalan Allah SWT.

Apa yang kita akan buat apabila orang itu memberikan kerja kepada kita, orang itu menyelamatkan kita? Kita akan berusaha untuk membantunya ataupun berjuang untuknya kembali jika dia berada dalam kesulitan ataupun berusaha sedaya mampu membalas jasanya. Begitu lah juga dengan kita, manusia yang diciptakan oleh Allah SWT, berjuanglah sebagai tanda kita bersyukur kepada-Nya, kesedihan dan kebahagiaan tidak akan lengkap tanpa perjuangan. Hidup tidak akan bermakna jika tiada perjuangan. Masa akan berlalu dengan sia-sia jika tidak berjuang. Mati di jalan Allah SWT setelah berjuang itu kan mati yang mulia.

***

Daripada kata-kata Prof. itu saya teringat kata-kata ustaz Hasrizal semasa saya menyertai satu kem pada beberapa bulan yang lalu, kata-katanya lebih kurang begini, saya ingat-ingat lupa;

Berkorbanlah..insyaAllah moga Allah SWT redha, kerana apa? Kerana kita hidup untuk Allah SWT. Bukan hidup untuk makan, minum, tidur, kahwin, kerja sahaja- Ustaz Hasrizal.

Banyak yang saya belajar dariapada sepotong kek. Allah SWT memberikan ganti yang lebih baik dengan tambahan-tambahan tarbiyah daripada seorang murabbi yang saya hormati. Walaupun sepotong kek itu nampak kecil, namun dengan sepotong kek tu sebenarnya boleh menyebabkan pergaduhan, boleh menyebabkan berkecil hati dengan manusia yang lain jika tidak menangani hati dengan betul. 

Bersabarlah jika tidak mendapat apa yang kamu inginkan, bersabarlah jika tidak diberi seperti apa yang kamu beri. Bersabarlah jika tidak dihargai dan perlu diingat bahawa pahala sabar hanya akan diperoleh pada kesabaran yang pertama sahaja. Jika sabar itu hadir setelah marah-marah dan merungut, itu tidak lagi dinamakan kesabaran.

Allah SWT, Rasulullah SAW dan orang-orang yang beriman itu cinta pada orang yang sabar.
oleh itu, jom kita berusaha menjadi orang sabar pada kali pertama ditimpa ujian hati mahupun fizikal.

Ameen, InsyaAllah..

***

Kerana sepotong kek, saya mendapatkan pengalaman dan pengajaran.

Hitunglah apa sahaja yang terjadi di sekeliling kita dan koreklah pengajarannya kerana walaupun perkara itu nampak kecil, sebenarnya ada pengajaran hikmah yang Allah SWT sampaikan pada kita.  Kita, yang perlu mencelikkan hati nurani agar sentiasa melihat dengan mata hati dan yakin dengan Allah SWT. InsyaAllah

-----
inanNaurah
20140709
0305am.







No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Ad