Thursday 1 November 2012

Novel: Sekuntum Cinta Buatmu (BAB 1)



Cahaya itu penawar hatiku,
Cahaya itu ketenangan jiwaku,
Cahaya itu sumber ilham diriku,
Cahaya itu penyuluh perjalananku,
Dan cahaya itulah petunjuk ke arah-Mu

CAHAYA (BAB 1)

HUJAN seakan tidak mahu berhenti, turunnya mencurah-curah deras dari awan gelap yang menyaluti permukaan bumi yang aku huni tika ini. Pokok-pokok di hadapan hentian bas kecil ini kelihatan menangis yang seringkali menggugurkan daunnya jatuh ke bumi. Daun-daun itu yang hanyut bersama kotak-kotak kecil dan selipar yang telah putus talinya lalu mengalir terus bersama air deras jatuh ke longkang di tepian jalan.


Surah al-Kahfi aku lumatkan di hati, 110 ayat yang terkandung, belum dapat aku hafal sepenuhnya, hanya 20 ayat pertama yang sentiasa bersimpang siur di minda aku. Ayat-ayatnya yang sedikit panjang sedikit mengelirukan. Aku tahu bukan ayat itu yang susah untuk diingati, bahkan akulah yang tidak istiqamah menghafalnya.

Aku ada impian untuk menghafal surah ini selepas surah Yassin dan surah al –Mulk yang telah aku sebatikan dalam diri. Surah al-Kahfi memberi banyak kebaikan kepada pembacanya, terutamanya di hari jumaat semacam hari ini. Ketenangan dan kebaikan hanya akan dirasai sendiri oleh si pengamalnya yang setia.
  
SURAH AL-KAHFI


Surah al-Kahfi adalah termasuk dalam surah Makkiyyah yang mengandungi 110 ayat dan merupakan surah yang ke-18 dalam al-Qur’an.

Rasulullah SAW   menerangkan tentang kelebihan surah ini pada malam Jumaat, siang hari Jumaat serta di malam lainnya.

·         Allah SWT mengurniakan cahaya dan pengampunan dosa daripada jumaat ini kepada jumaat kemudiannya.

·         Allah SWT  memberikan ketenteraman hidup kepada si pembacanya.
·         Para malaikat memohon rahmat sampai ke waktu subuh sehingga Allah SWT menjauhkannya daripada penyakit panas, penyakit yang sukar disembuhkan juga terhindar daripada tipu daya dan fitnah syaitan.



Sekejap-sekejap aku berpaling ke kanan dan ke kiri. Bas yang aku tunggu belum juga muncul, biasanya pada masa ini sudah datang. Mungkin keadaan hujan yang agak lebat telah membantutkan perjalannya. Bisik aku sendiri.

Di hentian bas kecil itu, hanya ada aku dan seorang ibu tua beserta seorang kanak-kanak lelaki. Terbit rasa kasihan aku melihat keduanya, baju mereka yang compang-camping sana sini, alas kaki yang sudah agak lusuh yang tunggu masa saja untuk ditinggal pergi.

Kelihatan anak lelaki kecil itu menggerak-gerakan ibu jarinya seakan-akan memberitahu tentang keadaan dirinya kepada perempuan tua di sisinya. Setelah lama melihat telatah mereka, aku yakin, kanak-kanak lelaki itu seorang manusia bisu, hanya isyarat yang menjadi perantara antara mereka, tangan dan mata saja yang menjadi bahasa.

Yang aku faham dari bahasa badan budak comel itu, dia kelihatan merengek kesejukan. Ibu tua hanya memeluk erat dengan penuh kasih sayang. Kasih seorang ibu walau bagaimana cacat dan tidak berertinya anak mereka pada pandangan manusia lain, kasih sayangnya tetap tidak boleh ditandingi. Anak yang hadir itu pastinya penyeri hati, takkan disia-siakan walau seketika kerana mereka punya kasih yang sejati.

Luahan anak kecil itu mengingatkan aku dengan kisahku. Di dalam hujan aku ditemui di tepi sungai, dalam keadaan diri masih berbalut dengan kain putih. Tiada kesan darah pada kain itu, ini menunjukkan aku bukan dijumpai setelah dilahirkan. Seorang apek Cina yang menghulurkan budi menghantarku ke hospital berdekatan. Keadaanku kritikal, air yang menyerapi balutan kain, membuatkan aku menangis kesejukan. Itu cerita ibu susuanku di kampung. Nasib aku baik, Tuhan masih menginginkan aku untuk hadir ke dunia.

Aku kemudiannya dihantar ke pusat kebajikan masyarakat setelah tiada pengenalan diri dan tiada siapa yang datang menuntut diri aku. Aku yang digelar anak yatim. Nasabku dinafi, mungkinkah aku ini anak luar nikah? Ramai yang memandang serong pada nasabku. Ketika itu hanya Tuhan yang tahu perasaan aku. Dicaci, dihina, diherdik sejak dari kecil oleh mereka yang tidak berperikemanusiaan. Namun, itu tidak menggugatkan semangat aku untuk terus bertahan. Jika aku ini anak luar nikah sekalipun, patutkah aku yang disalahkan?

Manusia, hanya pandai menuding jari. Sebaiknya anak yatim itu dihormati dan dipandang mulia, tentunya di sisi Allah mereka lebih baik. Jangan mudah untuk buruk sangka kerana itu mainan syaitan yang sering menyesatkan dan memecahbelahkan sesama kita sendiri. Namun aku yakin, aku tidak seteruk ini, aku yakin dengan keturunanku. Aku yakin dengan ibu bapaku. Walau ada beribu yang mencaci namun aku tahu harga diriku tinggi.

Ummi dan abi yang baik hati telah mengambilku di rumah anak yatim Harapan. Aku banyak terhutang budi dengan mereka. Setelah aku diambil menjadi anak angkat keluarga, aku disusukan sendiri oleh dia yang aku gelar ummi. Dan aku menjadi anak susuan untuk ummi dan abiku. Aku bahagia dengan mereka, tidak sekalipun aku diketepikan.




Mereka mengambilku di rumah anak yatim pada umurku setahun. Pada masa itu mereka baru sahaja kematian anaknya yang sebaya denganku. Setelah umurku mencecah usia tujuh tahun, kemudian lahir pula seorang puteri dan dua putera daripada perut ibu susuanku. Mereka bertiga sudah aku anggap sebagai saudara kandungku sendiri walaupun pada hakikatnya kami hanya adik beradik susuan sahaja.

Hujan sudah mula reda. Bas yang ditunggu sudah hampir di hadapanku, dengan langkah laju aku menaiki bas yang sudah seinci dengan hidungku. Buku yang aku pegang di tangan jatuh dengan laju, ada sisi tubuh manusia yang bergerak deras. Kemudiannya buku dihulur kepadaku. Aku lihat satu susuk tubuh yang aku kenali. Dia kawan lamaku, kawan baikku suatu ketika dahulu.

“Ya Allah, Liana. Lamanya saya tak jumpa awak?”

Aku teruja, dia yang lama menghilangkan diri, kini berada di hadapanku. Namun, hanya aku yang berucap sepi, sahutanku dibalas dengan jelingan yang menghiris, seakan aku tidak dikenalinya lagi. Mungkin juga dia bukan sahabatku yang aku kenali, mungkin juga mereka hanya sama dari segi rupa namun tidak sama yang asli. 

Setelah aku lihat dia berlalu pergi, cepat-cepat aku menaiki bas yang tadi setia menunggu aku untuk masuk ke perutnya yang sarat dengan manusia. Dalam hatiku, bersangka baik itu lebih baik dan membahagiakan.

BERBAIK SANGKA

Rasulullah  bersabda yang bermaksud: “Berhati-hatilah kalian terhadap prasangka, kerana prasangka itu perkataan paling dusta.” [Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim]

Beg aku pegang erat, bas itu penuh dengan susuk tubuh manusia. Kadang-kadang tubuhku tidak mampu untuk diseimbangkan. Kadang aku terkehadapan kadang terkebelakang. Aku pantas berpaut pada sebatang tiang yang ada di tepiku. Dalam dua puluh minit perjalanan, stesen bas utama sudah ada di depan. Aku tersenyum keriangan, terus kutuju ke kaunter tiket untuk pulang ke kampungku pula.

Akhirnya tiket dapat aku beli walaupun terpaksa menunggu dalam barisan panjang. Aku hulurkan kesyukuran kepada Tuhan, sudah lama aku tidak menjengah kampung halaman. Kesibukanku dalam kerja, dan aktiviti yang diisi penuh dengan aktiviti syarikat pada hujung minggu tidak mengizinkan. Hari ini petang jumaat yang indah mengizinkan aku untuk pulang. Hati aku berbunga riang.

Bas terus meluncur laju, muatan di dalam bas tidak lagi sama macam tadi. Suasana aman, aku melemparkan pandangan ke luar jendela.

“Hari ini, Fathiah pulang ummi, abi. Fathiah rindu kat semua.”

Nukilan
inanNaurah



##BERSAMBUNG....



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Ad