Tuesday, 12 November 2013

Kisahku dengan Bas (Hikmah 3)

***

Suatu hari aku ke negeri di selatan Malaysia. Bas yang aku naiki pada pagi jumaat selamat sampai pada jam 7 malam. Seharian aku di atas bas, jem yang sangat memenatkan kerana esok adalah hari perayaan kaum India, Deepavali.

Sampai sahaja di stesen bas, dengan keadaan yang masih longlai aku usahakan untuk ke kaunter bas yang masih dibuka untuk mendapatkan tiket pulang semula ke utara Malaysia esok malam.






"Assalammualaikum kak, tiket ke utara esok malam masih ada?"

"Waalaikumussalam wrt.wb, Maaf dik, dah habis."

"Baik, tak apa. Terima kasih." (senyum)

Aku usahakan untuk ke kaunter lain pula. Namun masih gagal, namun bila tiba di satu kaunter.

"Assalammualaikum kak, tiket bas untuk ke utara esok malam masih ada?"

"Ada dik, tapi tak sampai ke stesen bas seberang, hanya sebelah sini sahaja."

Aku berfikir dalam hati. Daripada stesen bas itu memerlukan satu jam perjalanan dari rumah. Tambahan aku tak pernah turun di stesen bas tersebut.

"Emm, takpela kak."

Aku senyum pada kakak tersebut. Otakku ligat berfikir kemungkinan-kemungkinan yang ada. Aku kalau boleh tak nak menyusahkan sesiapa. Ya Allah bantulah aku, aku hanya berharap pada Allah masa itu. Dengan tak semena-mena aku terus berjalan ke kaunter tadi dan aku membeli tiket untuk turun ke stesen bas yang agak jauh daripada rumah itu.

"Ya Allah, moga kau bantu aku. Aku tahu ini takdir-Mu."

Apa pun aku hanya bergantung pada Allah SWT.

Alhamdulillah setelah aku membeli tiket, aku menaiki bas untuk ke kolej kerana presentation proposal aku pada esok hari. Perjalanan mengambil masa selama satu jam. Dalam hati ada rasa gelisah memikirkan malam esok, namun aku pasrahkan saja pada Allah SWT. Kerana aku tahu apa-apa yang Allah SWT takdirkan adalah yang terbaik, pernah ada rasa menyesal membeli tiket, tapi aku kuatkan hati bahawa Allah SWT lah sebaik-baik perancang.

***

Malam ini aku akan menaiki bas balik ke utara. Hati berfikir-fikir jika aku sampai pada jam tiga pagi macamana? Hanya aku seorang yang akan ada di stesen bas. Puas aku hubungi siapa yang akan mengambil aku di stesen bas pagi-pagi nanti. Semua kenalan aku usahakan meminta bantuan, namun seorang pun tiada tempat untuk aku sandar.

"Ya Allah bantulah aku." Aku beristighfar banyak-banyak dan memohon hanya pada Dia, setelah semua usaha aku usahakan.

***

Bas bergerak dengan laju. Bibir hanya mampu untuk beristighfar moga Allah membantu.

"Astaghfirullahalazim, Ya Allah bantulah aku Ya Allah."

Tidak semena-mena aku berdoa pada Allah SWT.

"Ya Allah, boleh tak kalau bas ini rosak di tengah jalan, jadikanlah ia rosak Ya Allah."

Setelah aku berdoa sedemikian, aku berfikir apa yang kita nak tak semestinya terbaik yang Allah nak. Kemudian aku menukar doa ku semula.

"Ya Allah bantulah aku dengan cara terbaik pada kehendak-Mu Ya Allah."

Kemudian dalam beristighfar tak sedar bila aku tertidur.

***

Aku terjaga, aku dapat rasa bas sudah berhenti. Aku lihat jam di dinding bas. Tepat menunjukkan jam 2 pagi. Aku toleh kiri dan kanan, betul bas sedang berhenti. Aku lihat banyak kereta beratur di depan. Berkelip-kelip cahaya lampu daripada jalan nun jauh di depan sana.

Terdengar-dengar bunyi pemandu bas bercakap dengan pakcik-pakcik di bawah. Bas dua tingkat yang aku naiki memudahkan aku untuk mengamati suasana. Ramai pemandu dan penumpang bas, kereta, lori yang berderet-deret di jalan keluar berpusu-pusu ke hadapan mungkin untuk menjelaskan pada diri sendiri apa keadaan yang terjadi di hadapan.

Seketika kedengaran bunyi ambulan bertalu-talu. Aku terdengar-dengar pemandu bas bertanyakan dengan orang yang sudah pulang ke kereta yang berhenti di jalan daripada melihat kejadian di hadapan. Ternyata lebih kurang 10 kenderaan daripada bas yang aku naiki ada kemalangan yang terjadi di antara bas dan sebuah treler minyak. Keadaan bas yang melintang menghalang terus laluan.

Setelah mengetahui keadaan itu, aku mengucapkan beribu-ribu Alhamdulillah. Ya Allah inilah pertolongan-Mu buatku. Mungkin ada kesusahan buat orang lain, namun pasti ada hikmahnya yang Kau berikan padaku dan pada mereka yang terlibat. Kau takdirkan bas yang aku naiki berada di belakang kemalangan, bukan di hadapan kemalangan. Alhamdulillah Ya Allah, Kau tidak jadikan bas yang aku naiki ini rosak, tapi Kau letakkan yang terbaik pada kehendak-Mu. Alhamdulillah Ya Allah Ya Rabbal Alamin.

***

Lebih kurang sejam setengah bas tersekat di belakang kemalangan. Kira-kira jam 3.30 pagi bas bergerak meninggalkan tempat kejadian. 5km di hadapan kemalangan, kami berhenti rehat di kawasan rehat. pemandu bas memberikan masa selama 30 minit. Ini menjadikan masa untuk perjalanan semula akan bermula pada jam 4 pagi. Aku berfikir-fikir di dalam hati, jika pukul 4 bertolak daripada tempat rehat mungkin akan sampai dalam jam 5 lebih. Alhamdulillah Ya Allah. Tak henti-henti kalimah itu dibibirku sepanjang perjalanan.

***

Jam 5.30 pagi bas memasuki perkarangan stesen bas yang akan menurunkan aku dan penumpang-penumpang yang lain. Aku lihat ramai manusia sudah membanjiri sekitar kawasan. Alhamdulilah Ya Allah. Jam 5.45 pagi azan subuh sudah berkumandang aku bergerak terus ke surau yang tersedia ada. Sepanjang-panjang kesyukuran aku panjatkan pada Allah SWT.

Benarlah manusia bukan pengharapan, hanya Allah sebaik-baik penolong. Dia selalu ada, selalu bersama, selalu mendengar, selalu melihat.

Hanya kita yang perlu menghayati, memahami, membuka mata hati dan perlu kita syukuri.

Alhamdulillah Ya Allah.. Setiap kejadian ada hikmahnya.
Bukalah Mata Hati, nescaya kau akan temui..
kemanisan dalam keimanan,
keyakinan dalam ketaqwaan.




"Alhamdulillah."








No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Ad