Nabi Uzair a.s, adalah
seorang Nabi yang pernah Allah matikan selama 100 tahun dan kemudian menghidupkannya
kembali. Nabi Uzair a.s telah keluar daripada kampungnya pada umur 40 tahun
kemudian dalam perjalanan bersama keldainya dia telah berehat di bawah sepohon
pokok berdekatan dengan tanah perkuburan. Dia terlalu asyik berfikir berkenaan
dengan bagaimana Allah SWT menghidupkan kembali orang yang telah mati.
Lalu, Allah SWT
memerintahkan kepada malaikat maut agar mencabut rohnya sedangkan keldai itu
masih terikat di situ sehingga mati kelaparan. Dia dimatikan selama 100 tahun. Ramai
kaum kerabat dan orang-orang kampung yang mencarinya namun mereka berputus asa,
isterinya menangis dengan sangat lama akan kehilangannya.
Kemudian, pada 100 tahun
selepasnya, Nabi Uzair a.s dihidupkan kembali oleh Allah SWT. Apabila dia
terjaga daripada tidurnya, dia hanya merasakan bahawa dia tertidur sejak waktu
zohor sehingga waktu hendak masuk maghrib. Lalu Allah SWT mengutuskan malaikat.
Malaikat yang diutuskan bertanya kepada Nabi Uzair a.s “Berapa lama kamu tidur
di sini?
Nabi Uzair menjawab; “Saya
tinggal di sini sehari atau setengah hari.” Kemudian malaikat bersuara “Sebenarnya
engkau tinggal di sini selama seratus tahun lamanya.” Nabi Uzair a.s merasa
sangat hairan dan semakin bertambahlah imannya kepada Allah SWT.
Kemudian malaikat
menunjukkannya kepada makanan yang telah dia bawa bersama sebelum ini. Makanan itu
juga masih sama berada di keadaannya. Kemudian Nabi Uzair a.s melihat kepada
keldainya yang telah mati. Seterusnya, Nabi Uzair a.s memerhatikan kepada
keldai itu. Keldai tersebut dihidupkan oleh Allah SWT kembali dengan proses pengembalian
otot-otot saraf daging kepada tulang belulangnya kemudian terbentuklah tulang
dan rambut.
Setelah itu, roh keldai itu
diperintahkan oleh malaikat agar kembali kepada keldai tersebut dan kemudian
keldai tersebut bangun berdiri. Nabi Uzair a.s menyaksikan sendiri kejadian itu
lalu dia telah mengetahui bagaimana Allah SWT menghidupkan kembali orang-orang
yang mati yang telah menjadi tulang belulang dan tanah. Setelah melihat
kejadian tersebut Nabi Uzair berkata “Saya yakin bahawa Allah Maha Kuasa atas
segala sesuatu.”
Nabi Uzair a.s kemudiannya
menunggangi keldainya dan kembali semula ke kampungnya. Namun dia melihatkan
suasana yang sangat berbeza daripada keadaan kampung yang telah ditinggalkannya
sebelumnya. Rumah-rumah banyak telah berubah dan manusia banyak yang tidak
dikenali dan tidak pula ada yang mengenalinya. Kemudian, dia mencari seorang
lelaki dan perempuan yang telah tua yang berkemungkinan mengenalinya.
Setelah mencari, dia
bertemu dengan seorang perempuan tua yang telah uzur, dia bertanya sama ada
perempuan itu mengenal Uzair. Kemudian perempuan itu menangis dan mengatakan
bahawa Uzair telah pergi hilang selama 100 tahun yang lalu. Kemudian Nabi Uzair
a.s mengatakan bahawa dirinya adalah Nabi Uzair. Maka, wanita itu mengatakan
kepadanya bahawa jika benarlah dia adalah Nabi Uzair maka berdoalah kepada
Tuhan agar memulihkan penglihatan matanya dan sihatkan dia agar dia dapat
mengenali Nabi Uzair.
Maka Nabi Uzair a.s memohon
kepada Allah SWT. Lalu Allah SWT memperkenankannya dan wanita itu sihat dan
mengenali Nabi Uzair a.s sehinggakan dia berlari keluar dengan memberitahu
semua orang bahawa Nabi Uzair telah kembali sehingga masyarakat di situ
menganggapnya gila.
Setelah itu, diadakan
pertemuan di antara para alim ulama. Majlis itu turut dihadiri oleh cucu kepada
Nabi Uzair a.s yang telah berumur 70 tahun sedangkan Nabi Uzair a.s tetap
berumur 40 tahun sama seperti dia keluar daripada kampungnya dahulu.
Daripada perbincangan yang
dijalankan ada seorang yang pandai bertanya bahawa dia mendengar daripada
mereka-mereka yang hidup terlebih dahulu bahawa Nabi Uzair a.s adalah seorang
Nabi yang menghafal kitab Taurat. Mereka telah kehilangan kitab tersebut sewaktu
peperangan Bukhtunnashr.
Dalam peperangan tersebut,
pihak musuh telah membakar dan membunuh para ulama yang menghafal kitab suci
itu. Kemudian dia berkata, “Seandainya engkau menghafal taurat. Maka kami akan
percaya engkau adalah Uzair.”
Sebenarnya sebelum ini Nabi
Uzair a.s telah menyembunyikan taurat daripada pihak musuh dan dia tahu bahawa
tiada siapa pun daripada kaum Bani Israel yang mampu menghafal taurat. Kemudian
dia membacakan hafalannya satu persatu di hadapan mereka sampai habis. Kemudian
dia berkata “Sekarang aku akan mengeluarkan Taurat yang telah aku simpan.”
Nabi Uzair a.s kemudian pergi
ke suatu tempat dan mengeluarkan Taurat. Kertas yang terisi Taurat itu telah
rosak. Nabi Uzair a.s mengerti kenapa Allah SWT, mematikannya selama seratus
tahun. Itu kerana untuk menjaga Taurat.
Setelah itu telah terjadi
satu fitnah yang besar kepada Nabi Uzair a.s dan kaumnya. Ada di antara mereka
yang mengatakan bahawa dia adalah anak Allah SWT.
“Dan orang-orang Yahudi
berkata: “Uzair adalah anak Allah” dan orang-orang Nasrani berkata: “Al-Masih
adalah anak Allah” Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri,
(iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah
binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?” (Sura
at-Taubah: ayat 30)
***
Everything happens for a
reason.
Setiap yang terjadi ada
sebabnya yang tersendiri, Allah SWT lebih mengetahui. Dialah Yang Maha Kuasa
atas segala sesuatu.
Oleh itu, bersangka baiklah
dengan Allah SWT atas apa pun yang terjadi, inshaAllah hidup kita akan tenang,
bahagia dan aman dengan sangka baik, tanpa keluh kesah dan keluhan.
##Jom Cari Gali, baca
kisah-kisah Nabi, yang diceritakan benar dalam al-Qur’an kerana ibrah daripada
kisah benar itu terlalu indah daripada novel-novel khayalan manusia.
No comments:
Post a Comment