Saturday 3 November 2012

Cerpen: Kerna Sehiris Bawang



LIGAT tangan Mak Minah membuat pusingan di kuali. Mee yang separuh masak dikacau-kacau sebati dengan sodek kayu di tangan kanan, sos tiram bercampur sos cili dan sedikit kicap manis dituang mewarnai mee yang tadinya kuning. 

Kemudian stock udang yang telah dibuang kepalanya terus dicurah dan digaul dengan hemat oleh mak minah. Apabila mee hampir masak lalu diambilnya pula sawi dan lobak merah yang sudah siap dipotong kecil-kecil lalu dikoleh ke kiri dan ke kanan.

“Wah! sedapnya bau.. apa yang Mak Minah masak pula ni? Tadi kan dah masak nasi goreng. Dari ruang tamu depan saya dah dapat bau.” Suara Aizat memecah sunyi, dia melangkah ke dapur dengan perlahan sambil membetulkan kolar baju t-shirt putih yang dipakainya. Tangannya menarik kerusi di sisi meja lalu duduk.

“Oh! nak aizat, Mak Minah masakkan mee goreng, umie kamu suka mee kalau makan sarapan. Tu haa nasi goreng kamu yang banyak bawang, ada kat atas meja, nanti Mak Minah hidangkan di ruang tamu.”Mak Minah senyum. Tangan Mak Minah masih tidak berhenti, mangkuk kaca diambil dari almari kemudian disuakan ke arah kuali. Dikoleh mee goreng dengan hati-hati.

Aizat tersengih lucu mendengar jawapan Mak Minah, “Banyak bawang.” Aizat berbisik-bisik sendiri, geli hati dengan jawapan pembantu rumahnya. Mak Minah sudah dianggap bagai keluarga sendiri. Sejak dia di bangku sekolah lagi, pembantu rumahnya itu tidak pernah bertukar. Dia selesa dengan perwatakan Mak Minah, baik dan ramah.

Aizat menongkat dagu sambil memerhatikan Mak Minah. Ke hulu ke hilir ada sahaja yang dilakukannya. Kali ini dia membancuh air teh, cawan-cawan disusun cantik di atas dulang. Cermat dan kemas.
Dalam asyik memerhatikan Mak Minah, anak matanya terpandang beberapa ulas bawang merah dan beberapa labu bawang putih. Terletak tidak jauh atas meja kecil di penjuru dapur. Ada cerita dengan bawang, episod hidup yang telah mengubah kisah hidupnya. Lima tahun sudah berlalu. Namun, tersimpan kemas di hati.

*****

“Wei.. siapa yang pandai-pandai letak bawang merah ni dalam makanan aku hah?”Jerkah Aizat lantang, semua yang berada di restoran itu cepat-cepat berpaling. Kelihatan seorang gadis muda menghayun langkah laju. Lantas berhenti di hadapan seorang lelaki muda, lelaki itu segak berbaju merah dan berseluar jeans lusuh. Rambutnya pendek, disisir rapi. Mukanya kuning langsat, tampak matang dengan sedikit kumis. Namun, matang mukanya tidak sama dengan fikirannya.

“Err.. maaf tuan, maaf saya tak sengaja..”Aina tergagap-gagap menjawab, pandangannya ditundukkan ke lantai. Bukan takut, tapi sekadar menghormati anak majikannya. Dia sudah lali dengan situasi begitu. Pernah dia diherdik Aizat gara-gara tersilap menghantar pesanan, milo panas yang dipesan neslo yang dihantarnya.

“Hah.. kau lagi, asyik-asyik muka kau! Kau ni kerja macam mana, cuai la!” Aizat menjerkah berang.
“Hish! aku rasa semua pelanggan pun lari la kalau ada pekerja macam kau ni!Aku tak faham betul, kenapa la ayah aku tak nak je buang pekerja macam ni.” Jerkahan demi jerkahan dihambur senang.
Kali ini Aizat lebih berang daripada biasa, gara-gara sehiris bawang merah di dalam nasi gorengnya dia jadi marah. 

Dia memang tak suka bawang, benci. Semua makanan atau masakan yang melibatkan bawang akan ditolak. Bagi dia bawang menimbulkan satu bau dan aroma yang tidak menyenangkan, setiap kali terbau pasti rasa loya. Di rumah, menu makanan dia dan yang lain akan dimasak asing oleh Mak Minah.

“Hei! Kau dengar sini, bawang merah ni tak berguna! Tak ada khasiatnya pun! Aku nak kau masak lagi satu untuk aku! Pastikan takde bawang yang masuk lagi walau sehiris!” Marah betul dia dengan Aina.

“Kau masak pun bukannya sedap sangat. Senang je pun masak, itu pun tak tahu.” Aizat berkata separuh berbisik, tapi dapat ditangkap telinga Aina.

Aina mengenggam erat buku limanya, kalau diikutkan hatinya mahu saja dia bagi penampar. Pantang dia kalau bab makanan dipersoalkan, tambah-tambah bawang merah adalah kegemaran arwah neneknya. Dia memang pencinta bawang, segala jenis masakan yang dimasak pasti akan dimasukkan bawang. Baginya bawang penambah perasa, sedap dan khasiatnya pun banyak. Tak kira la apa jenis bawang, tapi yang dia paling suka bawang merah, harum dari yang lain.

“Encik! Saya dah tak tahan lagi dengan perangai encik yang macam ni, dah lama saya tahan!” Aina bercekak pinggang, melampiaskan marahnya. Sudah lama dia bersabar dengan karenah anak muda itu. Umur mereka sebaya namun tidak menunjukkan kematangan di mata Aina. Aina marah betul, dia susah nak marah orang, dia gadis yang lembut tapi keadaan sekarang memaksa dia untuk bertindak kasar, lain dengan watak biasanya.

“Encik Aizat dengar sini, tak layak tau orang macam encik ni nak persoalkan, tambah-tambah mengutuk tentang makanan, ini antara anugerah Allah pada kita. Bersyukurlah sebelum Allah tarik nikmat yang ada. Makanan bukan untuk dibuang sesuka hati, tak suka kita campak. Tak ada kita cari. Sikap macam ni Allah tak suka.”Aina bersuara lantang, semua yang berada di restoran mula mengalih pandangan ke arahnya pula.

Aizat kelihatan kaget, tidak pernah ada yang menengkingnya. Selama ni, apabila dimarah, Aina hanya akan diam menunduk, membuat balik apa yang disuruh. Tidak dia nafikan masakan Aina memang sedap, sebab itu dia suka datang ke restoran bapanya. Kecuaian yang Aina buat tidaklah besar, hanya sehiris bawang namun hatinya sakit, Aina macam sengaja membalas dendam.

“Baik encik dengar sini, nilai bawang merah tu lebih tinggi tau daripada encik, sekurang-kurangnya dia yang bagi manfaat kat encik, kat saya, kat semua orang. Yang pastinya kat keluarga encik.”Nafas Aina turun naik menahan marah namun suaranya tidak selantang tadi, kemarahannya dapat dikawal.

“Encik tahu tak, bawang merah ni la yang bagi keluarga encik makan, cuba encik tanya pelanggan-pelanggan yang ada kat sini. Sedap tak makanan kalau tak ditambah bawang, mesti jawapan dia tak sedap sebab bawang ni penambah perasa dalam masakan. Kalau restoran encik ni semuanya tak nak tambah bawang, saya rasa boleh bankrupt.” Aina tergamam sekejap, tak sangka dia boleh berkata begitu.

Aizat kelihatan kaku mendengar setiap bait perkataannya, dia tidak menjawab seperti biasa. Dengan bersemangat aina berkata lagi.

“Encik dengar sini, bawang merah ni ada harganya, walaupun kecik ia mampu menguatkan sistem saraf kita, dan juga mampu untuk bunuh bakteria yang membiak dalam badan kita ni,.” Aina membetulkan sedikit tudungnya yang sedikit senget. Nada yang lebih lembut dari tadi, gayanya macam menasihati adik-adiknya di rumah.

“Bukan itu je, bawang merah juga boleh menguatkan rambut kita, bersyukurlah kita dengan kurniaan Allah ni, dengan makan dia je kita juga dapat melindungi pembuluh darah dari masalah pembekuan darah dan ada banyak lagi khasiatnya, kalau encik Aizat nak tahu lebih lanjut, pergi cari buku atau search je internet. Haa.. sape kata tak ada khasiat?” Aina memandang tepat muka Aizat. Aizat kelihatan berang.

Aina terus menerus menghujahkan benda yang dirasakan perlu dipertahankan daripada si mamat poyo macam Aizat yang pada pandangannya seorang yang tidak reti menilai suatu bahan masakan terutamanya bawang.

“Encik tahu tak saya bukannya geram dengan encik ni sebab bawang je tau, tapi..” Aina berhenti sekejap, dia cuba menyusun ayat yang baik agar penyampaiannya jelas.

“Encik tak reti nak menilai masakan, memasak ni adalah satu seni. Bukan semua orang suka memasak. Ada yang cakap susah, tapi susah tu sebab diri sendiri yang tak nak belajar. Bagi saya orang yang suka memasak ni punya jiwa yang sangat baik tau, penyayang.” Nadanya lebih lembut daripada tadi, kelihatan orang ramai yang sedari tadi melihat mereka kelihatan teruja dengan kata-kata Aina.

“Dengan memasak, air tangan seorang ibu boleh memikat hati anak-anaknya dan suaminya, kasih sayang akan lebih erat. Sebelum memasak lagi seorang ibu atau sesiapa sahaja akan memikirkan makanan yang sesuai atau bahan apa yang perlu dimasukkan ke dalam masakannya. Ini supaya makanan yang dimasak dapat menyihatkan tubuh badan diri dan keluarga.”Aina menghembus nafas panjang. Puas, dapat melepaskan apa yang terbuku di hati.

“Cuba encik bayangkan dengan keadaan yang penat berfikir seharian untuk menu yang ingin dihidang dan dalam keadaan letih setelah memasak tapi tak dihargai, kecewa tak?” Aina menyoal Aizat yang sedang memandang tepat ke arahnya. Diam, tiada jawapan. Namun, jauh di hati Aizat dia dapat menerima kata-kata Aina. Tapi egonya masih bersisa.

“Makanan yang kita makan ni boleh membina perintang badan kita daripada penyakit, Encik tengok dunia sekarang ramai yang sakit kronik, macam-macam ada sampai tak tahu puncanya dari mana, tahu sebab apa?” Aina menyoal lagi.

Aizat diam. “Sebabnya orang macam encik ni la, dah lupa nak makan sayur-sayuran dan bawang yang banyak khasiatnya ni, saya tahu encik bukan marah kat saya je tetapi sebelum-sebelum ni ramai lagi yang dah kena dengan jerkahan encik ni. Insaflah encik, Allah tak suka pada hambanya yang tidak berakhlak. Marah orang sana sini tanpa memikirkan perasaan orang lain, berdosa namanya. Hidup kita jadi tak tenang. Huru hara sebab ramai yang tak suka kita. Saya doakan moga encik berubah ya.”

Bersungguh-sungguh Aina mengungkap rasa hati. Dia tersenyum puas. Hati Aizat yang mula boleh menerima kata-kata Aina sebentar tadi kembali mendidih apabila diperli sedemikian.

Setelah beberapa ketika suasana tenang. Semua diam, memandang tepat ke arah mereka berdua.
“Eh.. eh kau ni aku datang sini nak makan, bukan nak dengar ceramah kau.. macam mak nenek je aku tengok.” Aizat berlalu pergi dari situ, merah mukanya menahan marah dan malu.

Bagi dia Aina betul-betul berlagak pandai di depannya, “Dahla orang kampung, SPM pun tak lepas sebab tu kerja kat kedai bapak aku, kau ingat kau tu siapa nak ajar-ajar aku.” Telah Aizat sendiri, dia tidak tahu Aina adalah seorang pelajar yang pandai cuma keadaan hidup keluarga mereka yang memaksa dia bekerja di situ.Tak lama kemudian bunyi pintu kereta dihempas kuat. Aizat menghidupkan enjin kereta. Lalu pergi.

*****

Malam itu Aizat tidak senang duduk, kata-kata Aina terngiang-ngiang di telinga. Tidak pernah ada yang menengkingnya. Malah abah dan mamanya tidak pernah menegur sikapnya. Itulah silap ibu bapanya dalam mendidik, terlalu sibuk dengan kerjaya sampai anak terabai. Kedua ibu bapanya baik, lembut dan sopan namun tidak Aizat. Kelakuannya demikian gara-gara tidak mendapat perhatian yang cukup oleh keluarga. Di sekolah dia juga terlibat dengan remaja liar dan kerap ponteng.

Kesungguhan Aina membuatkan dia merasa kagum. Usaha mempertahankan suatu bahan masakan patut dipuji. “Pasal bawang pun kecoh.” Dia tersenyum sinis. Geli gati teringat peristiwa tadi.

“Ada betulnya apa yang dia cakap.”Aizat berbisik dalam hati, mengiyakan kata-kata Aina.

Rasa ingin tahu tentang bawang. Dia bingkas bangun dari katil, laptop dibuka. Ditaipnya ‘khasiat bawang’ di ‘Google Search.’



“Wah! Banyaknya khasiat bawang, betul jugak cakap minah tu ya?” Aizat senyum sendiri. Terus lupa marahnya pada Aina. Aizat menekan-nekan lagi papan kekuncinya, kali ni mencari makna kepentingan bahan masakan.

Apa yang dia jumpa, fakta tentang ‘Kepentingan penjagaan makanan dapat membentuk sahsiah diri.’ Selama ni bila melayari internet. Hanya main game yang dia tahu. Nak membaca jauh sekali, bukan style dia. Fakta itu menarik minantnya. Dibelek satu-satu, daripada kepentingan bawang beralih pula kepada fakta berkaitan sahsiah diri dan seterusnya kepada akhlak mulia.

“Punca ketenangan diri adalah akhlak mulia, berakhlak dengan Allah, Rasul, Ibu bapa, berakhlak dalam kehidupan seharian dan pergaulan sosial.”Aizat menutur setiap perkataan di skrin laptop. Termenung sekejap, seolah banyak yang difikir. Teringat kata-kata Aina.

Keinginannya untuk tahu makin membuak-buak. Banyak buku agama dibeli. Sendiri dibaca di bilik. “Jika belajar sorang-sorang, takut syaitan jadi gurunya.” Teringat satu ceramah di ‘youtube.’

Dengan melayari internet dia mencari tempat-tempat pengajian yang boleh membentuk dirinya dengan akhlak mulia. Dia jumpa, setiap minggu dia pergi belajar. Ramai kawan-kawan baru yang baik-baik. Akhlaknya mula berubah. Persepsinya pada bawang juga sama sekali berubah, dia tahu dia silap besar selama ni. Diikutkan sahaja rasa hati tanpa memikirkan perasaan orang lain. Dia betul-betul kesal.

Sesalnya pada Aina lebih banyak. Teringat pesan ustaznya. “Dosa dengan Allah kita boleh mohon ampun terus, kita doa, solat taubat. Tetapi tak sama dengan dosa kita sesama manusia, perlu cari dan mengaku kesalahan yang kita buat, baru langsai.” Dia bertekad untuk meminta maaf dengan semua orang yang pernah dia sakiti.

Aizat ke restoran untuk meminta maaf pada Aina, kesalahannya dengan orang yang pernah disakitinya dulu semua ada yang sudah langsai, namun ada yang tidak lagi. Sesetengah mereka ada yang memohon ganti rugi. Dia bayar. Namun salahnya dengan Aina masih belum langsai. Aina sudah berhenti kerja sehari selepas kejadian hari itu. Puas dia mencari tapi tak jumpa.

*****

“Izat.. jom makan.” Suara En. khalil kedengaran sayup-sayup di ruang tamu depan. Aizat tersedar dari lamunan, baru dia sedar dirinya sudah lama menerawang jauh. Cepat-cepat dia membasuh tangan kanan dan kirinya. Kemudian mengatur langkah ke meja makan, umie dan abahnya tersenyum memandang.
Dia meminta izin untuk duduk. Sudah lama dia tidak duduk makan bersama umie dan abah. Sejak dia belajar di Mesir empat tahun lepas, ini baru dia pulang. Baru semalam abah menjemput di Airport.

“Banyaknya bawang ni Mak Minah, kenapa letak banyak sangat ni.” Tanya abah. Hairan, nasi goreng yang disudu ada banyak sangat hirisan bawang merah.

“Ni nak Aizat yang masukkan banyak-banyak, katanya banyak khasiat dalam bawang merah ni tuan. Sungguh-sungguh dia hiris kat dapur pagi tadi.” Mak minah senyum, air di teko dituang ke cawan. Aroma teh wangi.

“Bila tengok bawang-bawang ni teringat pulak abah kat sorang pekerja kita ni tak lama dulu. Ingat tak bukan main marah Aizat kat dia sebab masukkan bawang dalam masakan. Kesian dia malam tu dahla baru masuk kerja. Ttak tahu anak kesayangan abah ni paling anti dengan bawang.” En. Khalil mengimbas kembali kenangan lama.

Aizat hanya menyengih sahaja, diam. Tidak berkata apa-apa. Hatinya berbisik “Macam tahu-tahu je abah aku tengah teringat peristiwa dulu.”

“Mama, susah tak masak? Apa perasaan bila ada orang kata kita tak suka dengan masakan dia?” Aizat teringat persoalan Aina yang tidak terjawab dulu.

“Kalau nak tahu cuba sendiri , pergi kat dapur.. kemudian masak sendiri.Lepas tu kami semua tak makan, apa rasa?” Mama menyeloroh dalam ketawa. Aizat tak puas hati. Mak Minah dipandangnya.
“Mak minah?” Aizat menyoal. Mak Minah menyeringai lucu dengan mimik muka Aizat.

“Memasak ni Aizat, satu kerja yang mulia, kita bagi makan kat orang. Kadang-kadang walaupun rasa penat tapi puas bila tengok orang suka dan habiskan masakan kita. Bila dah penat-penat masak untuk dia tapi tak dihargai kita jadi sakit hati. bukan sebab masakan tu tak dihabiskan tapi sebab, kita dah penat-penat fikir untuk kesihatan dia. Nakkan dia sihat, tubuh badan cergas. Sebab tu orang kata orang yang suka masak ni seorang yang penyayang, lembut hati.Lembut Mak Minah menerangkan.

“Sama je macam Aina cakap.. orang yang suka masak ni penyayang.” Hati Aizat berbisik-bisik sendiri, ada senyum yang menguntum. Puas hati dengan jawapan Mak Minah. “Aizat tolong ambilkan abah air kosong kat dapur.” En. Khalil senyum. Aizat bingkas bangun menuju dapur.

“Assalammualaikum..” Kedengaran satu suara menyapa di balik pintu yang kelihatan terkuak sedikit di ruang tamu depan.

Mak Minah bergegas bangun untuk melihat siapa yang datang. Pintu dikuak luas, lantas bersalaman dengan seorang gadis berjubah coklat, cantik memakai tudung warna kuning cair. Mereka beriringan masuk menuju ke meja makan..

“Tuan, inilah anak saudara saya yang saya cerita semalam. Dia baru balik dari Perancis, baru habis belajar, sementara nak tunggu ayah dia datang ambil esok. Dia nak tumpang dekat sini bermalam.” Ceria muka minah menjelaskan.

Aizat meletakkan gelas kaca berisi air kosong di sisi abahnya. Kaku, dahinya berkerut. Mula mengimbas wajah di depan dalam kotak memori.

“Awak..bawang.” Spontan terluncur ayat itu. Terpegun seketika, itulah gadis yang dicarinya dalam lima tahun, gadis yang pernah dimarahinya dan dihambur dengan kata-kata yang kesat dulu. Akhirnya Allah memakbulkan doanya untuk bertemu dengan perempuan yang banyak merubah keadaan dirinya sekarang. Mata mereka bertembung, senyum diukir.

Gadis itu bingung memandang, dahinya berkerut. Matanya memandang tiap raut mereka tiga beranak. Dia kenal, itulah bekas majikannya dan anaknya yang garang, Aizat. Aina tersenyum manis. Hatinya berbisik “Inilah takdir.”

-TAMAT-

Terima kasih semua kerana sudi membaca ^^"

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Ad