Monday 5 November 2012

Cerpen: Satu Pilihan

HAMZAH melangkah pulang dari sekolahnya yang terletak jauh di kampung sebelah. Keringat mula membasah di dahi dan membanjiri seluruh badannya. 

Tubuhnya kepenatan berkejaran dengan bas yang laju bergerak, sesiapa sahaja yang terlewat pasti ditinggal pergi. 

Tidak langsung mengasihani anak muda sepertinya. Hidup di pinggir bandar begitulah, susah bukan pilihan namun senang bukan lahirnya dia.

Jika terlepas bas yang satu, tiada lagi pilihan lain, hanya kaki yang menumpang simpati. 

Setia menuruti kehendak dirinya untuk sampai ke rumah sebelum mentari mula mengasingkan diri. 

Lot kebun getah milik orang kampung diredahnya sendiri. Tanpa teman yang menemani, hanya unggas dan daun-daun girang ditiup angin seakan mengiringi.

Ayah yang sudah lama pergi, ibu yang setia tidak lagi berkahwin lain, hanya mengambil upah menoreh di kebun Pak Abu. Hamzah jadi harapan untuk memajukan kehidupan keluarga dan adik-adik. 

Hanya dia anak lelaki tunggal dalam keluarga, dua orang lagi adiknya, masih kecil dan berlainan jantina dengannya. 

Pernah dia bertanya kenapa ibunya tidak ingin berkahwin lagi walhal ayah sudah lama tiada di sisi mereka. Dia tidak kisah, fikirnya boleh juga menumpang kasih seorang insan yang bernama lelaki. 

Namun, kesetiaan ibunya kerana menuntut kasih suami tercinta insyaAllah untuk bersama di syurga nanti. Kerana, pabila seorang perempuan berkahwin lagi, untuk bersama dengan si suami di sana nanti, akan jadi mustahil kerna suaminya yang barulah akan diikut di sana kelak jika kedua-duanya layak untuk ke syurga-Nya Yang Esa. Dia bahagia dan bangga dengan kesetiaan ibunya.

Hari ini bas yang setiap hari dinanti terlepas lagi, denda oleh guru disiplin agar membersihkan kawasan belakang sekolah bersama beberapa pelajar yang lain menyebabkan kelewatannya hari itu. 

Itulah natijah daripada kelewatannya pagi tadi. Begitulah setiap hari, kerana jimatkan duit pergi sahaja dia sanggup berjalan kerana suasana yang masih pagi, petang dia tidak sanggup lagi kerna malam yang menjelma macam-macam boleh terjadi.

Pernah suatu ketika, suatu petang yang seakan merajuk dengan kehadirannya, suatu senja yang kelam walau bukan lagi menjengah jam tujuh malam. Langit yang seakan ingin menangis sebentar lagi mendebarkan hatinya. Kalau-kalau hujan sebelum sempat melihat kawasan rumah, pasti akan membasahi dirinya dan melambatkan perjalanan untuk sampai. 

Hujan yang tidak dapat lagi membendung saratnya diri, lalu menghujani bumi dengan air yang terus bercucuran laju. Dirinya basah kuyup, kasutnya yang sudah koyak yang tunggu masa untuk dimakan tong sampah dibanjiri dengan air lumpur hitam pekat. Tapak kasutnya bila makin diseret seakan tidak lagi gagah. Dibuka sahaja kasutnya lalu ditinggal saja. 

Matanya seakan tidak dapat dibuka, dengan angin yang bertiup agak kencang. Melemahkan kakinya untuk terus menapak, pokok kelihatan bergoyang di kanan kiri. Seakan-akan juga mahu menghempap dirinya. Terlihat sebuah pondok kecil di hadapan, pondok itu nampak agak kukuh. 

Cepat-cepat dia melindungkan dirinya di pondok kecil beratapkan zink yang nampak sudah agak usang. Namun, hujan dengan angin yang agak kuat tidak menghilangkan tempias hujan. Tapi, cukuplah sudah untuk dia berlindung dari terus-terusan disimbahi berjuta rintik hujan itu.

Apabila hujan sudah mula mereda, badannya menggigil kesejukan. Bumi sudah gelita, gelap sekali. Cahaya-cahaya lampu juga tidak kelihatan. Ketakutan mula membanjiri hatinya. Namun, dikuatkan hati dan fikirannya, anak jantan mesti kuat. Teringat pesanan ibu, 
“Hamzah mesti kuat, hamzahlah harapan besar keluarga kita.”

Hanya dia yang diharapkan untuk menjaga keluarganya jika ibu sudah tidak berupaya lagi. Selalu juga dia menemani ibunya menyuluh di ladang getah apabila hujan selalunya kerap di waktu petangnya. Rela menoreh di pagi hari, agar susu getah boleh kering sebelum hujan lagi.

Dia berjalan perlahan-lahan, dalam hati turut ada kerisauan. Ibu tua yang menunggu di rumah mungkin risau dengan ketidakpulangannya lagi. Ranting-ranting kayu melambatkan lagi perjalanannya, mungkin patah akibat ribut kuat tadi. Kadangkala dia terjelopok menyembah bumi tersadung dengan ranting-ranting dan akar yang berselerak di lantai alur jalan. 

Bunyi cengkerik dan unggas bersahut-sahutan. Terkadang ada kunang-kunang yang melintas seakan ingin membantu perjalanannya. Bulan tidak kelihatan, mungkin bersembunyi di balik awan dengan memujuk diri pabila merajuk dengan awan hitam yang akhirnya menyimbahi bumi dengan sarat kandungannya itu tadi.

Tidak berapa ketika, selepas melewati ladang getah itu. Akhirnya dia sampai ke anak sungai, cahaya daripada dapur-dapur rumah orang sudah sedikit kelihatan. Anak sungai perlu diseberangi sebelum menelusuri jalan pulang ke rumah. Air sungai yang mengalir melahirkan ketenteraman di hati, arusnya berbunyi deras mungkin kesan daripada hujan yang lebat tadi yang masih berbekas. 

Dia berada di bawah pohon yang agak rendang tapi tidak berapa tinggi. Pabila, kakinya hendak melangkah meredah anak sungai di depan, terasa bahunya bagai ditepuk orang. 

Seakan ada yang memijak badannya juga. Dia kehairanan, siapa? Di dalam hatinya berdetik adakah makhluk lain yang menganggu atau apakah?. Kaki dihayun lagi, namun terasa bahunya bergesel dengan sesuatu. Lalu dia memerhatikan dengan jelas apa yang menganggu dirinya. Diamati lagi dengan jelas, sepasang kaki betul-betul di atas mukanya kini.

Ya, sepasang kaki yang terbujur kaku dari atas. Kelihatan seorang anak muda tergantung kaku. Badannya terhuyung hayang ke sana ke mari. Di tangannya kelihatan ada satu benda putih yang digenggam kemas. Kelam malam membuatkan dia tidak dapat melihat dengan jelas siapa gerangan makhluk itu. Orang ataupun benda lain, kakinya terasa melekat di tanah. Otaknya seakan berhenti, ada persoalan berat yang melanda dirinya.

Dia yang terpaku, dadanya berdegup kian kencang, hatinya tidak tenteram. Seberapa ketika pabila boleh menenangkan emosi dan bertindak dengan kewarasan akal. Dengan lajunya larian yang dihayunkan, dia berlari menuju ke rumah yang berhampiran. Termengah-mengah dia menahan sesaknya nafas. 

Bajunya yang masih basah terasa melekat di badan, dengan ketiadaan alas di kaki, telapak kakinya terasa derita dengan batu-batu kecil yang kadangkala menghunus deras.

Diketuk pintu rumah itu dengan sepenuh tenaga, namun tenaga yang tinggal hanya secebis cuma. Dikuatkan juga untuk terus mengetuk, seketika muncul seorang lelaki separuh abad di muka pintu, Pak Ayub yang berkain pelikat tersembol di muka pintu dengan tasbih ada di tangan kanannya.

 Isterinya baru sahaja meninggal dunia tidak sampai sebulan. Dia yang kini tinggal keseorangan sekali-sekala tiada di rumah. Dibawa anak-anak ke bandar untuk giliran jagaan. Nasib baik hari ini Pak Ayub tidak ke rumah anak-anaknya. Hanya rumah itu yang paling dekat untuk diterjah.

Pak Ayub pelik melihat keadaannya, bagai orang yang tidak terurus. Dengan bajunya yang lencun dengan lumpur, berkaki ayam, seluar pula diselak menampakkan betis. Dirinya yang tercungap-cungap melihat Pak Ayub kemudiannya bersuara dengan lemah.

“Pak Ayub.. Pak Ayub.. ada orang kat pokok sana.. tergantung!”

Hanya itu yang terluah dari lidah yang diterjemahkan oleh bibirnya, dia tidak tahu kata apa lagi yang paling sesuai untuk dikatakan. Sambil tangannya menunjuk ke arah belakang rumah Pak Ayub, dia meluah sekuat tenaganya. Matanya terasa berpinar-pinar. 

Pak Ayub kemudiannya melangkah ke belakang rumahnya untuk memastikan apa sebenarnya yang terjadi. Setelah disuluh dengan lampu suluh berbateri dua, diyakini ada seseorang yang tergantung di pokok sana. Pak Ayub kemudiannya memanggil orang-orang kampung yang lain.

Satu kampung gempar dengan berita itu. Emaknya juga datang untuk melihat. Kerisauan juga bertandang anak lelakinya belum lagi sampai di rumah. Anggota polis turut tiba di tempat kejadian. Tragis sekali tragedi itu. 

Dikenali, mayat yang terbujur kaku itu rakan baiknya suatu ketika dahulu sebelum mereka membawa haluan dengan dunia masing-masing. Kawan yang bersama-sama bermain perang-perang. Kawan yang sama-sama mengharung lumpur, kawan yang pernah meminjamkan basikal untuk ditungganginya kali pertama. Namun mereka ada perbezaan, harta dunia membezakan, keturunan dan pangkat menjadi penghalang. 

Rakannya anak tunggal seorang kaya dan berpangkat besar di kampung. Disayangi oleh kedua ibu bapanya dengan penuh kasih namun dimanjai dengan limpahan wang yang banyak. Satu ketika, mereka terasing dengan dunia sendiri. Mereka terpisah dengan kehendak keluarga. 

Orang miskin sepertinya tidak dibenarkan mendekati anak mereka yang dikira mulia dengan limpahan harta. Orang miskin macamnya yang dihina dan dianggap hanya sampah-sampah jalanan yang menghuni di ceruk dunia.

Walau rumah buruknya yang dilihat tidak kurang seperti pondok kecil saja, walaupun di dalamnya kurang serba serbi, di dalamnya kurang makanan dan harta, namun di dalamnya penuh dengan ilmu agama. Di dalamnya penuh dengan kasih sayang seorang ibu. Walau tanpa ayah tidak pernah ibu melepaskan tanggungjawab.

 Ilmu agama diusahakan untuk diajarkan pada tiap anaknya. Mereka kaya dengan harta untuk dibawa ke akhirat, rumah mereka sentiasa dibasahi dengan kalimah-kalimah Allah, dihujani dengan nasihat-nasihat dan dipagari dengan ayat-ayat al-Quran.

Ternyata dengan didikan ibunya itu dia yang kini menjadi pelajar cemerlang di sekolah. Dia yang menjadi juara dalam tilawah al-Quran, menjadi pelajar contoh dengan beroleh keputusan PMR paling cemerlang dan dia juga yang menjadi wakil pidato sekolah menjadi juara di peringkat daerah. 

Cuma, itulah hanya miskin yang dipandang orang, kekayaan dalaman mereka tidak nampak bahkan kekayaan luaran yang diterjemahkan dengan mata. Manusia dibeza-beza untuk memilih kawan sekasta.

Dia tidak kisah, baginya cukuplah dia menjadi mulia di sisi Allah walaupun bukan di sisi manusia. Didikan yang tidak baik, jadilah tidak baik manakala didikan yang baik pastinya berakar umbi dengan kebaikan juga.

Bunuh diri satu perkara yang berat, sudah nyata Islam menyatakan bahawa bunuh diri itu suatu perbuatan yang dicela di dalam Islam. Kenapakah masih ada juga yang lakukannya. Tanpa agama manusia lupa diri, tanpa agama manusia sesat dalam kembara dunia, dan tanpa agama pastinya manusia hanyut dalam derita. 

Orang ramai masih lagi membanjiri kawasan kejadian. Emak dan ayah rakannya itu merintih pilu di tempat kejadian, anaknya yang terbukti meninggal kerana menggantungkan dirinya yang ditangannya terdapat gam yang dihidu sehari-hari. Ketagihnya buatkan dia tidak sedar diri. Atau juga rosak dengan dunia, sampai bunuh diri yang jadi pilihan hati.

“Ya Allah.. ampunkan dia.” Dia berbisik sendiri.

Kejadian itu masih lagi menghantui dirinya kini, apabila melewati ladang getah itu hatinya kian diburu resah. Teringat kenangan silam yang menerjah fikirannya. Laluan belakang rumah Pak Ayub tidak ditapaknya lagi namun laluan yang lain ditelusuri. Hari ini kejadian yang sama berulang lagi, malam makin menghampiri. 

Langkah kaki dihayun laju, mahu sahaja kakinya melangkah ke kawasan jambatan untuk sampai ke rumah namun, hatinya terdetik untuk sampai cepat sahaja. Dikuatkan hati untuk melalui kawasan tragedi.

Di bawah pohon itu terlihat seorang manusia kelihatan memandang ke arahnya.. sambil melambai-lambaikan tangannya, di hatinya berdetik, bukankah itu dia.. 

"Qayyum.."



Nukilan
--
InanNaurah



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Ad