Thursday 2 January 2014

Jambatan Syurga

***

Terdengar sayup-sayup suara anak-anak bermain di tepian sawah. Berlari sana sini, berkejar-kejaran satu sama lain. Sawah kelihatan menguning dengan padi yang minta untuk dituai. Ikan-ikan di kali berenang girang.

Layang-layang terbang melayang di bawa arus angin petang. Indah suasana yang dianugerahkan Tuhan kepada penduduk kampung Murni. Tenang, damai dan tenteram.




Dari jauh terlihat Wadi mengayuh basikal dengan cepat. Termengah-mengah gayanya bagai mahu memberitahu satu perkara besar.

“Pak Leman, ada orang bandar datang bawa hajat!”

Pak Leman tersenyum dengan secawan kopi masih di tangan.

“Hajat apa, cuba bawa bertenang. Kau ni perkara yang kecil selalu juga kau besar-besarkan.”
Pak Leman sekadar bergurau. Dia tahu Wadi seorang anak muda yang sensitif dan cakna dengan keadaan kampung namun pemikirannya masih tidak matang.

Bunyi deruan enjin kereta memecah hening petang. Wadi menunjuk-nunjuk jarinya ke arah kereta tersebut. Kereta bewarna merah jingga itu kian menghampiri Pak Leman. Seketika kereta sederhana besar itu terhenti, seorang pemuda yang bertubuh agak sederhana, berkemeja biru muda dan berkopiah putih mengukir senyum sambil melangkah keluar daripada perut kereta.

“Assalammualaikum, ni Pak cik Leman ya, penghulu kampung Murni?”

Pak Cik Leman membalas senyum seraya menjawab salam yang dihulur. Kemudian mengangguk-anggukkan kepala.

 “Nama saya Yusha’, dari JAWHAR. Nama penuhnya Jabatan Wakaf, Haji Dan Zakat.” Dia menghulurkan tangan kepada Pak Cik Leman untuk berjabat salam.

Pak leman memandang ke arah Yusha’ sambil mempelawanya masuk ke rumah.

“Jemputlah masuk ke rumah.”

“Tak pe la pakcik, kita dekat luar ni best juga. Dapat tengok pemandangan sawah yang cantik ni.”

“Kalau macam tu marilah ke pondok sana, kat situlah petang-petang pakcik dengan makcik duduk-duduk, bercerita, berdating.” Tersengih-sengih Pak Leman bergurau.

Yusha’ dan Pak Leman bergerak ke pondok yang dimaksudkan. Di bawah pohon yang agak rendang dan betul-betul di tepi sawah.

Yusha’ senyum ikhlas, kemudian memulakan bicara.

“Saya ni dari JAWHAR yang saya sebut tadi. Saya khusus dari Jabatan Wakaf. Sebenarnya saya dimaklumkan bahawa kami menerima notis bahawa tanah wakaf yang sepatutnya diistibdalkan tidak dapat diteruskan dengan sebab tentangan daripada pihak waris.

“Maaf nak pak cik tak faham. Istibdal tu apa? Kalau wakaf, pakcik hanya faham berkenaan tanah kubur dan masjid sahaja?”

Yusha’ mendengar dengan penuh perhatian. Kemudian menerangkan kepada pakcik tersebut dengan penuh hemat.

“Pak cik, sebenarnya wakaf ni bukan hanya tertumpu pada tanah kubur dan masjid sahaja. Wakaf ni sebenarnya adalah suatu harta yang berterusan atau berkembang untuk diperoleh manfaatnya oleh ramai orang. Apabila seseorang mewakafkan harta, khususnya menyerahkan kepada pihak pengurusan macam kami di JAWHAR. Harta tersebut akan menjadi tanggungjawab pihak pengurusan untuk menguruskan harta tersebut dan harta tersebut sebenarnya telah menjadi milik Allah SWT. Oleh itu, harta tersebut tidak boleh dijual, dihibah dan diwarisi.

Maksud harta yang berkembang ni sebenarnya harta tu mestilah harta yang dapat dikembangkan dan dapat dimanfaatkan secara berterusan. Contohnya pembinaan sekolah, rumah anak yatim,yang digunakan secara berterusan sampai bila-bila. Sekarang bermacam wakaf telah timbul, ada juga wakaf tunai, wakaf saham, yang mana wakaf tunai ni kita boleh wakafkan wang kita untuk pihak pengurusan menguruskan. Hotel wakaf juga telah dibina. Di negara kita ni dah ada empat hotel wakaf di berlainan negeri.

Pak leman mengangguk-angguk. Kemudian bertanya.

“Istibdal tu macamana pula?

“Istibdal tu adalah penggantian harta wakaf. Contohnya dalam kampung yang sama ada dua orang yang nak wakafkan tanahnya untuk dibuat masjid, dan kedua-dua tanah berkenaan adalah berdekatan. Jadi satu tanah tu boleh dijual dan diambil duitnya untuk dibuat di tempat lain. Tempat yang belum ada masjid lagi. Ia lebih bermanfaat daripada dibuat masjid di satu kampung yang sama malah berdekatan pula.”
Pak leman seolah-olah berfikir sambil kedua tangannya ditongkatkan ke dagu.

“Berwakaf ni pakcik ramai yang tak tahu besar manfaatnya. Suatu jambatan syurga. Sebab harta yang kita wakafkan tu hartanya mengalir sampai hari kiamat. Kita akan perolehnya secara berterusan. Kalaulah manusia nampak manfaatnya nescaya ramai yang berebut-rebut nak wakafkan harta.

Kalau kita lihat contoh pertama wakaf adalah wakaf yang dilakukan oleh Saidina Umar al Khattab yang mewakafkan tanah di Khaibar. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Imam al-Bukhari yang membawa maksud:

“Daripada Ibnu Umar, ia berkata ‘Umar al-Khattab bertanya kepada Rasulullah SAW: “Sesungguhnya aku telah mendapatkan seratus saham di Khaibar, aku tidak pernah memperolehi harta yang berharga yang menakjubkan aku sebelum ini, aku ingin mendermakannya. Jawab Rasulullah SAW: Jika engkau suka tahanlah tanah itu dan engkau sedekahkan manfaat atau hasilnya.”

Rasulullah SAW juga bersabda yang membawa maksud: “Tahanlah pokoknya dan sedekahkan buahnya.” Yang diriwayatkan oleh Sahih al Bukhari dan Sahih Muslim. Berdasarkan kedua hadis tersebut, pokok menjadi harta wakaf yang kekal dan buahnya adalah manfaat yang dinikmati oleh seluruh umat Islam.
Itu di antara contoh harta yang diwakafkan, sebenarnya ramai lagi pejuang-pejuang Islam yang berebut-rebut nak mewakafkan tanah masing-masing kerana mereka lihat dengan mata hati. Melihat ganjaran dan nilaian yang besar di akhirat dan tidak takut dengan kehilangan harta yang sedikit di dunia.

Yusha’ memandang wajah pak Leman. Pak leman kelihatan sangat tertarik dengan kata-katanya. Seketika, Pak Leman bersuara.

“Baru pakcik faham. Menarik wakaf ni, memang boleh jadi jambatan ke syurga. Penghubung antara kita di sini dengan akhirat sana. Pembinaan jambatan yang sedikit-sedikit lama-lama akan sampai ke sana jika benar dan ikhlas kerana Allah SWT.

Pak leman pula yang menghujahkan dengan bersemangat.

“Lepas ni pak cik tak nak lepaskan peluang. Siapa yang tak nak ada suatu jalan untuk ke syurgaAllah SWT kan, selagi ada sesuatu untuk disumbangkan buat Islam kitA buat sungguh-sungguh. Untuk redha Allah SWT, inshaAllah semuanya dengan izin-Nya.

“Anak Yusha’ katakan tadi ada waris yang tidak mahu memberikan kerjasama. Siapa orang tu ya?”

Sebenarnya ada waris di kampung ini yang agak keliru. Sebenarnya bapanya telah menyerahkan sebidang tanahnya untuk diwakafkan menjadi sekolah. Agak besar juga kira-kira sepuluh ekar. Namun, tanah tersebut terletak di pinggir kampung malahan di kawasan tersebut tidak ramai penduduk dan berhampiran dengan pohon getah.

Kami mahukan tanah itu diistibdalkan kerana ada syarikat getah yang berminat untuk membeli dan membayar dengan harga yang berpatutan. Jadi jika bersetuju tanah tersebut akan dijual dan wang yang diperoleh hasil daripada jualan tadi kami akan beli tanah di tempat lain yang lebih strategik dan ramai penduduk untuk pembinaan sekolah.

Namun, pihak waris tidak bersetuju kerana mereka mahukan sekolah diibina di tanah tersebut juga kerana mahu memenuhi kehendah ayah mereka. Oleh itu, urusan jadi lambat kerana pihak syarikat getah mahukan urusan dengan cepat dan agar proses berjalan dengan lancar.

“Siapa nama waris tu?”

“Deraman pak cik , Deraman bin Idris.”

“Hmm, itu ayah kepada Wadi. Ayah kepada budak yang mengayuh basikal tadi.”

“Yeke, pak cik penghulu di kampung ni. Jadi saya berharap sangat agar pak cik boleh terangkan dengan lebih baik kepada mereka. Mungkin mereka akan dengar nasihat orang yang lebih berpengalaman macam pak cik di kampung ni. Lagipun besar manfaatnya kalau kita bina sekolah ni. Memberi ilmu pada orang ramai dan dapat pula memberi peluang pekerjaan kepada orang ramai.

Kalau pak cik nak tahu, tempat saya belajar dahulu pun merupakan tanah wakaf, iaitu Universiti Al-Azhar. Al-Azhar sekarang dari tahun ke  tahun ada sahaja pelajarnya, sangat bermanfaat kerana ramai ilmuwan-ilmuwan yang lahir. Ruginya jika tanah sebesar itu dilambat-lambatkan. Lagi pula pihak kami merancang untuk membina sekolah yang berteraskan Islam, sekolah yang berakar umbikan pendidikan Islam, InshaAllah.

Pak leman bersetuju dan berjanji akan membantu sedaya yang termampu agar pengurusan lancar dan tanah dapat dimanfaatkan secepatnya.

Azan maghrib sayup-sayup kedengaran. Tidak disangka waktu sudah senja, jam sudah menunjukkan jam 6.55 petang. Maghrib masuk awal pada bulan Muharam.

Kedua-duanya kemudian beriringan ke masjid. Yusha’ mengucap syukur dalam hati, di samping menguruskan harta wakaf yang perlu diistibdalkan. Dia juga boleh memberi faham kepada pak CIK Leman berkenaan besarnya manfaat wakaf.

Dia berfikir-fikir dalam hati agar jika ada kesempatan untuk membuat bengkel wakaf kepada orang kampung agar semuanya faham akan konsep wakaf, kepentingan, dan manfaatnya kepada masyarakat Islam khususnya.

“Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda! (Pemberian Allah) yang dijadikan-Nya kamu menguasai-Nya sebagai wakil. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian daripada harta itu pada jalan Allah), mereka tetap beroleh pahala yang besar.” (Surah al-Hadid; ayat 7)

 ***
SekuntumSenyum
InanNaurah
20140102




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Ad