Wednesday 1 January 2014

Ashabul Ukhdud: Kisah Benar dari Surah al-Buruj


“Drap..drap..”

Cangkul terus-menerus menggali tanah yang ada di hadapan. Kak Nita sekejap-kejap menghela nafas panjang, ada juga terkadang tercungap-cungap nafasnya meneruskan cangkulan demi cangkulan. Parit itu perlu disiapkan sebelum hujan mula mencurah lagi seperti semalam, lebat dan deras.

“Aiman nak cangkul juga,” kata Aiman sambil bercekak pinggang.

Kak Nita senyum, peluh memercik ligat di dahinya. Angin mula bertiup sepoi-sepoi bahasa, ada udara segar yang menerjah nyaman.


“Boleh, tapi Kak Nita nak tanya, kenapa Aiman nak cangkul ni?”

“Emm.. sebab nak cuba, macam seronok tengok kakak buat.” Dia sengih, kemudian menyambung kata “Aiman nak tolong kakak la..”

Aiman berumur sembilan tahun. Ketika kanak-kanak seusianya galak bermain di padang dan bendang. Dia pula sibuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan terutama keluarganya sendiri.

Aiman banyak terpengaruh dengan kata-kata ustaz di sekolah. Kata ustaz sesiapa yang rajin membantu orang lain akan disayangi Allah SWT. Kata-kata ustaz lagi, sebaik-baik bantuan adalah bantuan yang diberikan kepada keluarga dan segala bantuan yang diberikan mestilah dengan ikhlas. Kata-kata itu Aiman selalu ulang-ulang di rumah ketika waktu makan. Anak kecil masih putih fikirannya, cerdas pula mindanya jika disuap dengan maklumat-maklumat yang baik dan logik.

“Bagus adik kakak ni, suka sangat bantu kakak. Selalu tolong mak juga dekat rumah. Boleh la kakak panggil adik kakak ni superhero kanak-kanak kan?” Kemudian Kak Nita mengusap-usap kepala Aiman. Sengaja memujinya tanda menghargai bantuan yang ingin dihulur.

“Hehe, superhero kanak-kanak? Ada ke?” Tanya Aiman.

“Yang Aiman tahu superhero tu macam Batman, Spiderman, Ironman dan banyak lagi yang man, man.”

Kak Nita senyum, “Sebenarnya dalam Islam pun ada superhero, superhero kanak-kanak. Melihat parit yang kakak gali ni, kakak teringat kisah Asbahul Ukhdud yang bermaksud para penggali parit.

“Ashabul Ukhdud ni berkait rapat dengan kisah seorang kanak-kanak yang bernama Ghulam. Aiman nak dengar cerita ni tak?”

“Nak, nak!. Kakak cerita je, Aiman dengar sambil cangkul sikit-sikit.” Kak Nita duduk di atas tikar yang dihampar. Dia kemudian meneruskan cerita setelah meneguk segelas air kosong yang dibawa bersama bekal makanan.

“Ghulam ni seorang kanak-kanak yang bijak. Dia hidup pada suatu masa di mana seorang raja yang mengaku dirinya Tuhan. Nak disebutkan kisahnya, pada masa tu ada seorang tukang sihir yang bernama Sahir ingin mencari seorang pelapis ilmu hitamnya kerana dia takut ilmunya itu akan hilang suatu masa nanti.

Ghulam antara yang terpilih untuk mempelajari ilmu hitam Sahir. Semasa mempelajari ilmu tersebut, tukang sihir ni sangat tegas dan selalu memukul Ghulam. Setiap kali pergi kepada si tukang sihir, Ghulam akan melintasi seorang Rahib yang taat kepada Allah SWT sedang berucap. Ghulam sangat tertarik dengan ucapan Rahib itu.

Oleh itu setiap kali untuk pergi belajar ilmu sihir, Ghulam akan singgah mendengar ucapan si Rahib sehinggakan setiap kalinya dia akan terlambat ke kelas yang mengajar sihir. Apabila si tukang sihir selalu memukulnya kerana lambat ke kelas, Ghulam mengadu kepada si Rahib.

Setelah mendengar aduan daripada Ghulam, Rahib mengajarkan helah yang dibenarkan dalam agama iaitu helah yang dibolehkan untuk mengekalkan akidah, untuk mengelakkan daripada manusia yang zalim yang boleh membunuh.

Si Rahib berpesan kepadanya jika terlambat ke kelas, katakanlah bahawa keluargamu yang melewatkan urusanmu sehingga melambatkan perjalanan. Manakala jika terlewat pulang ke rumah, katakanlah si tukang sihir yang melambatkan urusanmu.

Pada suatu masa Allah takdirkan, muncul seekor binatang yang besar ataupun raksasa bolehla kalau nak panggil monster, sangat besar yang menganggu orang-orang kampung. Haa, cerita ni macam superhero sekarang kan, ada raksasa.” Kak Nita bertanya pada Aiman. Aiman mengangguk-anggukkan kepalanya sambil memegang cangkul.

“Kak Nita, lepas tu ..lepas tu..”

Kemudian, Ghulam yang melihat peristiwa ini terasa benar ingin menolong orang-orang kampung kemudian dia berkata, “Ya Rabbi, hari ini akan aku tahu siapa sebenarnya yang lebih disukai oleh Allah, adakah si tukang sihir ataupun si Rahib. Mana yang benar sebenarnya.”

Ghulam memang sudah mempercayai si Rahib berbanding si tukang sihir. Namun dia memerlukan suatu pengukuhan kepada keimanannya. Kemudian dia berkata: “Ya Allah kalau benarlah apa yang diajarkan oleh si Rahib yang aku selalu jumpa di pertengahan jalan. Maka Kau tunjukkanlah aku kebenarannya.”

Kemudian,  apabila Ghulam membaling batu dengan disebutkan nama Allah. Dia menyeru kepada Allah, maka Allah menunjukkan kebenaran di pihak Rahib dengan hanya sekadar membaling batu, binatang besar atau raksasa tu mati.

Kemudian, seluruh penduduk di kawasan itu heboh berkenaan peristiwa tersebut. Ghulam menjadi terkenal dan pengaruhnya mula tersebar luas. Setelah kejadian tersebut, Ghulam menceritakan peristiwa tersebut kepada tok gurunya, si Rahib tadi. Apabila diceritakan peristiwa tersebut, si Rahib tersebut menyatakan.

“Aku ingin memberitahu suatu perkara wahai anakku, hari ini kamu ternyata telah mencapai suatu tahap yang aku sendiri tidak pernah capai. Kamu diberikan suatu kelebihan dan kamu lebih baik daripadaku. Kamu kena ingat bila kamu berjaya melakukan perkara ini kepada masyarakat. Suatu masa nanti kamu akan diuji dengan ujian yang besar. Apabila kamu diuji, kamu akan ditangkap oleh raja. Seterusnya, raja ingin mengetahui bagaimana kamu boleh mengalahkan binatang besar atau raksasa tersebut. Kamu jangan ceritakan satu patah perkataan pun berkenaan aku.”

Apabila Ghulam mula terkenal, dan dia juga telah berjaya merawat pelbagai jenis penyakit yang dihadapi oleh masyarakat. Dalam menyembuhkan penyakit ramai orang, Ghulam tetap menyatakan bahawa semuanya adalah anugerah daripada Allah SWT, bukan datang daripada dirinya.

“Baik kan Ghulam ni Aiman, dia tetap mengingati Allah SWT walaupun dia telah menjadi terkenal.” Kak Nita pula yang mencangkul-cangkul lagi parit yang sudah hampir siap.

Aiman berehat sekejap kemudian dia menjawab “Aah, umie selalu pesan, sewaktu susah kita kena ingat Allah SWT, sewaktu senang pun kita kena ingat Allah SWT. Barulah menjadi hamba Allah SWT yang soleh dan diredhai Allah SWT. Lepas tu kak, Ghulam tak kena ujian ke?”

“Kena, ujian dia berat sangat. Kita sebagai manusia hidup dan perjalanan kita ini Allah dah kata kita akan kena uji, ujian ringan mahupun berat kerana darjat orang yang beriman seiring dengan ujian yang dialami kan. Aiman pernah dengar Surah Al-Ankabut, ayat 2, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

‘Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan mereka telah beriman, sedangkan mereka belum diuji?’

Ujian itu lumrah dalam hidup dengan ujian kita akan kenal siapa diri kita, setakat mana sabar kita, setakat mana iman kita, nafsu kita. Dengan ujian juga Allah SWT akan meninggikan darjat orang yang beriman, orang yang sabar InshaAllah.”

Aiman seolah-olah sedang berfikir, kemudian tersenyum puas. Mungkin berpuas hati dengan ulasan kak Nita. “Kak, apa ujian yang Ghulam hadapi lepas tu?”

Kak Nita menyambung ceritanya, “Suatu masa, ada seorang pembesar kepada raja yang zalim ketika tu datang dan membawa pelbagai jenis hadiah. Dia sangat berhasrat agar Ghulam merawat penyakit buta yang dihadapinya sejak lahir.

Ghulam berkata, “Kamu nak mendapatkan khidmat aku untuk merawat penyakit buta kamu, ketahuilah bahawa aku tidak boleh merawat sesiapa pun. Yang hanya boleh merawat adalah Allah SWT. Kalau kamu beriman kepada Allah SWT, aku akan berdoa kepada Allah SWT. Maka dengan doa ini Allah akan merawat kamu.”

Alhamdulillah, pembesar tersebut kemudiannya beriman kepada Allah SWT dan matanya telah dapat melihat. Pembesar tersebut kemudiannya menghadiri majlis yang diadakan oleh raja yang zalim itu.

Kemudian, apabila raja melihat dia. Raja merasa tersangat hairan dan bertanya macam mana pembesar tersebut sudah dapat melihat sedangkan sebelum ini dia mengetahui bahawa pembesar tersebut seorang yang buta.

Kemudian, si pembesar tersebut mengatakan yang menyembuhkan aku adalah Tuhan. Kemudian raja tersebut mengatakan “Mana ada Tuhan selain diriku”. Si pembesar berkata, “Ada, Tuhan itu adalah Tuhan aku dan Tuhan kamu.” Kemudian, pembesar tersebut telah diseksa dan diazab. Oleh kerana teruknya seksaan yang diterima, dengan takdir Allah SWT, dia terberitahu berkenaan dengan Ghulam.

Setelah raja mengetahui berkenaan dengan Ghulam. Kanak-kanak itu ditangkap, disoal siasat dan diseksa. Oleh kerana si Ghulam yang masih kanak-kanak teramat sakit dengan seksaan yang sangat berat, Ghulam terberitahu pula berkenaan dengan Rahib tersebut. Rahib tersebut kemudiannya ditangkap dan raja memberikan ancaman bahawa,

“Kamu kena kembali kepada agama asal kamu ( Dengan menyatakan tiada Tuhan selain aku).”

Kemudian si Rahib berkata “Aku tidak akan mengungkapkan ungkapan yang kufur tersebut.”

Kemudian, raja tersebut ingin memberikan hukuman yang sangat berat, yang sangat ngeri kepada Rahib tersebut. Para pegawai diraja diarahkan untuk membawa gergaji yang besar dan diletakkan di atas kepala si Rahib. Kemudian raja berkata “Kamu hendak mengaku aku Tuhan atau tidak. Jika kamu mengatakan ada Tuhan selain diriku, gergaji ini akan kena kepala kamu.”

Si Rahib menyatakan “Allah Tuhanku.” Kemudian pegawai diraja terus turun dan menggergaji Rahib tersebut daripada kepalanya sehingga dikatakan terbelah dua badannya. Darah yang terpancut, raungan yang sangat ngeri dan perkara ini disaksikan sendiri oleh si Ghulam dan pembesar raja yang telah sembuh penglihatannya tadi.

Seterusnya pembesar pula ingin dihukum. Pembesar yang baru beriman kepada Allah SWT tidak berganjak dengan keimanannya dan terus menyatakan keimanannya kepada Allah SWT. Kemudian pembesar tersebut juga telah digergaji sama seperti si Rahib tadi.

Setelah itu, Ghulam yang menyaksikan peristiwa tersebut juga turut dipanggil oleh si raja dan ditanyakan bahawa adakah Ghulam akan meninggalkan ajaran agama Allah SWT. Si Ghulam yang masih kanak-kanak itu turut menolak dan tetap dengan pendirian bahawa hanya Allah SWT yang layak disembah.

Disebabkan Ghulam ini masih seorang kanak-kanak. Ghulam tidak digergaji dan diberikan masa berfikir yang lama. Kemudian apabila Ghulam masih bertegas dengan pendiriannya. Raja merasa marah dan menyuruh tenteranya membawa Ghulam ke tempat yang tinggi dengan harapan Ghulam akan merasa takut.

Namun, apabila sampai di tempat yang tinggi tersebut, Ghulam memohon doa kepada Allah SWT agar menyelamatkan dirinya. Dia menyatakan “Allah, selamatkan aku.”

“Aiman, kakak dahaga air la. Boleh tak Aiman tolong ambil air dekat dapur rumah?” Kak Nita memandang Aiman dengan senyuman.

“Baik kak.” Aiman berlari-lari ke dapur rumah. Kemudian datang dengan sebotol air masak. Tercungap-cungap dia berlari.

“Kenapa Aiman lari? Tak sempat kakak nak cakap apa-apa tadi Aiman terus pergi.”

“Tak sabar nak dengar sambungan cerita kakak, hehe.” Aiman sengih.

“Hehe, baik-baik kakak sambung ya.”

Kemudian, dengan kuasa-Nya, Allah SWT memperkenankan doanya lalu bergoncanglah bukit itu dan matilah semua tentera-tentera yang diperintahkan untuk menjatuhkan hukuman terhadapnya. Kemudian, Ghulam tidak melarikan diri malah berjalan pulang ke istana dan mencari raja.

Raja merasa hairan dan mengatakan kenapa engkau Ghulam masih lagi hidup. Kemudian, raja bertanya apa yang telah dilakukan oleh tentera aku ini kepada kamu. Ghulam berkata “Allah menyelamatkan aku.”

Seterusnya raja memerintahkan semula agar Ghulam ini dihumbankan ke dalam laut. Ghulam dibawa ke laut dalam. Kemudian dia ditanya, “Kau hendak mengaku raja itu Tuhan atau kamu hendak kembali kepada agama baru kamu ini?”

Ghulam tetap dengan keimanannya, lalu Ghulam dibawa oleh bala tentera si raja ke tengah laut. Kemudian, apabila berada di laut, Ghulam memohon keselamatan kepada Allah SWT. Ghulam berdoa sekali lagi “Allah selamatkan aku.”

Allah SWT mendengar dan memperkenan doa Ghulam. Dengan kuasa Allah SWT, kapal yang dinaiki mereka terbalik dan matilah kesemua bala tentera yang membawanya. Ketika itu, hanya Ghulam yang diselamatkan oleh Alah SWT dan berjaya kembali ke pinggiran. Dia kemudiannya kembali menuju kepada raja yang zalim itu.

Raja merasa amat hairan kerana Ghulam masih lagi hidup. Kemudian Ghulam bersuara dan memberitahukan rahsia bagaimana cara untuk mematikannya. Kanak-kanak itu memberitahu bahawa jika raja ingin membunuhnya. Dia mestilah mengumpulkan orang ramai dan menyalibnya  pada sebatang pokok. Kemudian ambil anak panah daripada busurnya dan raja tersebut mestilah mengatakan suatu  perkataan iaitu,

Bismillahi Rabbil Ghulam yang bermaksud dengan nama Allah Tuhan kepada Ghulam dan raja dikehendaki memanahnya setelah itu. Apabila raja mendengar apa yang dikatakan oleh Ghulam, raja terus dengan keinginan yang membuak-buak di hati untuk membunuh Ghulam.

Bayangkan seorang kanak-kanak memberitahu raja bagaimana cara untuk membunuhnya, bukankah sebenarnya raja yang memiliki bala tentera yang ramai tidak boleh membunuh seorang kanak-kanak? Raja tidak tahu bahawa seorang kanak-kanak sedang membulinya. Kan Aiman? Kak Nita bertanya kepada Aiman yang sedang khusyuk mendengar ceritanya.

Muka Aiman penuh dengan tanda tanya, dia menjawab “Seterusnya kak?”

“Raja yang zalim itu kemudiannya mengumpulkan ramai orang dan membuat seperti apa yang diberitahu oleh Ghulam. Dengan disaksikan oleh rakyat-rakyatnya si raja menyebut Bismillahi Rabbil Ghulam

Maka, matilah Ghulam dengan disaksikan ramai orang dengan keadaan badannya yang disalib. Setelah kejadian tersebut berpusu-pusulah rakyat yang meyaksikan kejadian tersebut memeluk agama Allah SWT. Rakyat lebih memahami perkataan yang diungkapkan oleh si raja, sedangkan si raja sendiri tidak memahaminya.

Setelah ramai yang memeluk Islam. Maka terjadilah apa yang ditakuti oleh si Raja selama ini.  Rakyat di situ keseluruhannya beriman kepada Allah SWT. Walaupun masa hidupnya Ghulam tidak dapat melihat mereka memeluk agama Allah SWT, namun setelah matinya dia mampu menjadikan ia suatu dakwah. Dakwah yang besar.

Kak Nita dan Aiman berehat di bawah pohon rendang yang berdekatan. Setelah berehat sebentar, Kak Nita menyambung cerita.

Setelah raja tidak tahu nak buat apa kerana ramai sangat rakyatnya yang mengesakan Allah SWT. Dia kemudiannya memerintahkan agar tenteranya menggali parit yang besar untuk membakar mereka yang tidak mengaku dirinya Tuhan.

Parit yang besar itu kemudiannya dihujani oleh api dan manusia-manusia yang mengaku Allah SWT sebagai Tuhan. Yang hebatnya, mereka semua yang beriman kepada Allah SWT. Mereka sangat berani, tidak takut langsung dengan api yang akan membakar tubuh badan mereka bahkan berebut-rebut untuk syahid di dalamnya.

“Aiman, kisah ini kisah benar. Ada disebutkan dalam ayat 4 hingga 6 surah al Buruj yang bermaksud gugusan bintang, surah yang ke 85 dalam al-Qur’an.” Allah berfirman yang bermaksud: “Celakalah kaum yang menggali parit. (Parit) api yang penuh dengan bahan bakaran. (Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya.”

Aiman khusyuk mendengar cerita sambil menongkatkan sebelah tangannya ke dagu.

“Jadi, apa kesimpulan yang kita boleh buat daripada cerita ni Aiman?”

“Kita kena selalu ingat Allah SWT,” Aiman senyum.

“Betul,” kak Nita mengiyakan kata-kata Aiman dengan bersemangat.

“Sebenarnya banyak pengajaran yang dapat kita peroleh daripada cerita ni. Pertamanya betul, kita kena selalu ingat Allah SWT. Jangan menyekutukan-Nya dengan apa pun. Walaupun banyak halangan ujian, bahkan orang memaksa keras untuk kita keluar daripada ajaran Allah SWT, kita perlu tekad dengan agama yang satu, Islam.

Yang keduanya, walaupun Ghulam ni masih seorang kanak-kanak, namun dia berfikiran sangat matang, kenapa? Kerana dia rajin menuntut ilmu dan berfikir berkenaan ilmu yang dia pelajari sehingga tahu membezakan antara hak dan yang batil. Jadi, Aiman kena rajin menuntut ilmu, berfikir dan bertanya pada orang jika tidak tahu.

Yang ketiganya, walaupun kita berada di atas, kita seharusnya mendengar apa yang orang bawahan katakan jika itu adalah benar. Namun, jika salah kita perlu menegur bukan hanya mengikut sahaja.

Yang keempatnya, dalam cerita ini gurunya adalah seorang guru yang prihatin dan boleh berkongsi rasa hati ke hati dengan pelajarnya. Jika guru bukan seorang yang prihatin, pelajar tidak akan mahu berkongsi rasa. Maka, inilah  contoh guru dan pemimpin yang kita mahu. Pelajar boleh berkongsi masalah dan berfikir cara menyelesaikannya. Di samping itu, mahu pula menghargai apa yang pelajar dapat walaupun lebih daripada dirinya.

Yang kelima, kita tak boleh sombong dengan segala harta dunia kerana semuanya milik Allah SWT. Segala harta akan habis. Namun, harta berlandaskan iman kepada Allah SWT akan kekal selama-lamanya.

Yang keenamnya, jangan takut jika kita berada di pihak yang benar. Allah akan sentiasa membantu kita, yang penting kita ikhlas, jujur dalam menegakkan kalimah Allah SWT.

Yang ketujuh, berdakwahlah dalam apa jua bentuk selagi niat kita benar kerana Allah SWT. InshaAllah Allah sentiasa ada menemani kita.

Yang kelapan, kisah-kisah penceritaan banyak diceritakan di dalam al Qur’an, maka jadikanlah al Qur’an itu sumber pembacaan yang utama. Baca tafsir-tafsirnya kerana di situlah akan letaknya penghayatan ilmu yang benar, inshaAllah. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al-Qur’an itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.” (Surah Yusuf: 111)

Akhirnya yang kesembilan, kisah ini menceritakan berkenaan dengan keberanian dan kekentalan yang sangat hebat oleh orang beriman. Mereka tidak takut mati, tidak takut dengan apa pun yang akan terjadi. Kerana apa? Kerana mereka memahami dan menghayati betapa hebatnya Allah SWT. Mereka mengenali Allah SWT. Jika manusia tidak mampu untuk menghayati dan memahami apa yang Allah SWT sampaikan, tidak tadabbur dan tidak memahami ayat-ayat Allah SWT dan suruhan yang disampaikan daripada Rasulullah SWT. Keberanian itu tidak akan muncul malah tidak akan ada rasa untuk mati syahid.

Cuba kita melihat kepada keadaan di mana peperangan berlaku di sana sini. Di Syria, di Mesir, anak-anak muda, malah kanak-kanak tidak gentar langsung untuk syahid di jalan Allah SWT. Kerana mereka sudah menghayati dan memahami syahid kerana Allah SWT itu suatu nikmat dan bukan suatu kesusahan. Bagi mereka dunia hanyalah sementara, akhirat kekal selamanya.

Mata Aiman terkedip-kedip mendengar apa yang Kak Nita ulaskan. Walaupun Aiman hanya berumur sembilan tahun tetapi Kak Nita banyak mengajar Aiman untuk berfikir. Baginya sewaktu awal usia beginilah seharusnya kanak-kanak ini dididik untuk berfikir secara kritis dan kreatif. Imaginasi yang baik akan melahirkan manusia yang berfikiran kreatif, dan berdaya kritis. InshaAllah.

Setelah matahari mula meninggi, Kak Nita mengajak Aiman untuk bersolat Dhuha. Kak Nita tidak pernah meninggalkan solat Dhuha, solat yang dicintai Rasul dan juga yang mendekatkan cinta Allah SWT dengan diri manusia.

Aiman mengikut di belakang, dia tidak pernah melepaskan peluang untuk berdampingan dengan Kak Nita selama Kak Nita bercuti semester kerana baginya Kak Nita sentiasa bercerita cerita-cerita yang sangat best dan kisah benar. Mereka kemudiannya beriringan pulang ke rumah yang berada tidak jauh dari parit yang sudah siap digali.


***
Sekuntum Senyum
InanNaurah
20140102

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Ad